Sunday, March 21, 2010

MUHASABAH SEORANG MUKMIN


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku bersyukur ke hadrat Mu ya, Allah, kerna Kau bukakan hati ini untuk melihat realiti dunia Islam Apabila aku ketahui tentang kebenaran, tentang apa yang terjadi pada dunia Islam kini, hati ini nanar. Sakit dan teramat sakit. Tak mampu aku ungkapkan dengan kata-kata. Selama ini aku tidak sedar tentang apa yang berlaku di persekitaranku. Aku telah menzalimi diri sendiri. Aku pentingkan diri sendiri. Aku fikir jika aku boleh hidup aman, bebas dari peperangan itu cukup untuk aku. Aku tidak pernah fikir penderitaan umat Islam yang lain. Aku tak pernah risau tentang ancaman terhadap agamaku, Islam.

Kini aku semakin sedar, aku tahu siapa aku. Aku hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Aku tidak sanggup melihat umat Islam derita. Aku tak sanggup melihat saudara seagamaku terus tertindas dan diperlakukan sesuka hati. Bahang peperangan semakin aku rasai. Aku kian sedar bahawa aku kini bukan berada pada zon aman tapi sebenarnya aku sedang berada pada suatu medan perang. Aku mesti sedia dan berani dalam menegakkan agamaMu ya Allah. Jihad demi redha-Mu. Kurniakanlah aku kekuatan dalam menhadapi semua ini, ya Allah. Hanya padaMu aku berserah. Medan peperangan ini walaupun bukan menggunakan tentera-tentera berkuda seperti zaman rasulullah dan para sahabat tetapi ia memerlukan kekuatan mental dan kecerdasan intelektual. Perang kini bersifat serangan teknologi dan pemikiran. Bagiku ianya amat bahaya berbanding serangan fizikal. Menyusup secara halus.

Sebuah gunung jika ditarah setiap hari pasti gondol. Percayakah kalian jika aku katakan iman kita juga begitu. Jika kita tak bina benteng untuk menyelamatkan iman kita ia pasti menjadi seperti gunung yang gondol dan gersang itu. Saban hari tentera iblis melakukan pelbagai cara untuk memesongkan kita, sama ada melalui tenteranya yang terdiri daripada syaitan, jin mahupun manusia yang bertopengkan syaitan. Sedarkah kita teman-teman? Dari perkara sekecil zarah itu mereka berusaha menjadikan ia sebesar atom sehinggalah sebesar galaksi ini sekalipun. Pernahkah kita sedar teman-teman? Kita benar-benar dalam ancaman. Jika kita gagal menundukkan nafsu yang wujud secara semulajadi dalam diri kita ini, maka kita akan dipandu pula oleh nafsu dan bisikan syaitan. Mereka tidak mampu menghumban kita ke neraka tapi mereka mampu membisikkan kita dengan bisikan yang melalaikan dan melupakan kita dari tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Mereka mempunyai misi yang besar iaitu menjadikan umat Islam teman penghuni neraka bersama mereka. Mahukah anda menjadi sebahagian daripada perencana misi mereka? Saya percaya anda akan mengatakan tidak, tapi pernahkan anda bermuhasabah diri, benarkah anda bukan pengikut mereka? Benarkah cara hidup kita hari ini benar-benar mengikut al-Quran dan al-Sunnah? Sedar atau tidak hidup kita ini dipenuhi dengan zon-zon kelabu. Putih itu zon mukmin dan hitam itu zon kafir. Jika kelabu bermakna kita berada di tengah-tengahnyanya. Antara Islam dan kafir. Bila-bila masa boleh tertarik ke zon hitam. Jika beralih ke zon putih alhamdulillah, jika ke zon hitam nauzubillah. Semoga Allah menjauhkan kita dari segala bentuk kesesatan. Mereka tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak adam walaupun sesaat hinggalah hari kiamat. Mereka melupakan kita bahawa akan wujud satu hari yakni hari pertemuan manusia dengan pencipta-Nya. Segala amal akan dihitung. Segala kebaikan akan diberi balasan dan segala keburukan juga akan diberi balasan setimpal dengannya. Pada hari itu tiada sesiapa yang dapat membantu kita. Hanya amal menjadi saksi ketaatan kita pada pencipta. Mulut terkunci mati.

Perkara batil dilihat sebagai sesuatu yang hak. Kebatilan yang tersusun bisa mengalahkan kebenaran yang berselerak. Pernahkah anda berfikir tentang ini? Yang batil itu dilihat sebagai yang betul dan yang hak itu dilihat sebagai sesuatu yang salah. Mereka berjaya menghuru-harakan persepsi manusia melalui media massa dan media elektronik yang dikawal oleh mereka. Dunia kini dipenuhi dengan pelbagai sandiwara. Banyak boneka-boneka iblis berdiri megah kononnya memperjuangkan keadilan. Merekalah polis dunia. Mereka bongkak dan mengatakan merekalah yang berkuasa. Mereka berselindung disebalik tembok-tembok maya yang mereka cipta. Mereka berjaya membutakan mata dan hati umat manusia supaya sibuk mengejar material. Pernahkan kita fahami dengan hati isi yang terkandung dalam al-Quran? Sesungguhnya ia petunjuk yang nyata. Mukjizat agung untuk umat Muhammad. Jika kita selami sirah nabi terdahulu telah berlaku peristiwa yang sama, maka Allah membinasakan mereka kerana kekufuran mereka. Umat nabi Musa dan nabi Lut yang yang kufur telah dimusnahkan oleh Allah sebagai balasan di atas kekufuran mereka. Sesungguhnya terdapat pengajaran yang nyata dalam al-Quran itu. Pernahkah kita menjadikannya sebagai manual dalam kehidupan?

Kita jadikan kitab al-Quran kitab hiasan di dalam almari. Jika kita bacapun ianya sekadar suatu amalan harian, tapi pernahkah kita cuba fahami dan mendalami makna dan mesej yang terkandung di dalamnya? Kita umat yang sangat rugi jika kita mengabaikan isi kandungan al-Quran. Al-Quran itu benteng kekuatan kita. Al-Quran itu mengandungi petunjuk dan ilmu yang tak terhidung nilainya. Mereka memisahkan kita dengan pengetahuan bahasa Arab dalam rencana memisahkan kita dari kitab suci ini. Sistem pembelajaran anak-anak kini berjaya disekularkan. Mereka memisahkan al-Quran dalam bidang ilmu. Sedar tidak sedar kita telah diasuh dengan acuan palsu. Kita bangga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaaan awam. Kita berbangga dengan gelaran mahasiswa dan segulung ijazah. Kita berbangga dengan pangkat dan gelaran ciptaan manusia, tetapi adakah kita berbangga memiliki status seorang Islam yang memiliki kitab agung? Adakah anda pemilik ijazah al-Quran? Mungkin ada yang tertawa jika saya berkata begini bukan? Inilah realiti kehidupan kita kini. Fikir-fikirkanlah. Siapa kita dan untuk apa kita diciptakan? Apakah tindakan yang mampu kita lakukan untuk agama tercinta ini? Jangan tanya apa yang telah Islam sumbangkan untuk anda tapi tanyalah apa sumbangan anda untuk Islam.

Islam Is Way of Life
KU Impi RedhaMU

~AYUME~ [21/03/10]


Sunday, March 14, 2010

Jangan bersedih jika itu takdir Dia untuk mu..


Perihal takdir Allah swt termasuk dalam hal yang disebut sebagai tauqifiyah (diberhentikan perbicaraan mengenainya hanya sekadar pada dalil yang sampai dari kitab dan sunnah).

“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Hud : 123).

Nabi salallahualaihiwasa lam pernah berdoa dengan menyebut : "Dan Aku mohon berikanlah aku menjadi redha kepada Qadar" (hadith sahih diriwayatkan oleh Nasaie dan Hakim dan disepakati oleh Adz-Zahabi).

Juga baginda bersabda lagi : " Sesungguhnya telah hancur golongan sebelum kamu kerana berselisihnya mereka dengan para nabi mereka dan tidaklah sekali-kali beriman seorang di antara kamu selagi dia tidak beriman dengan qadar kesemuanya sama ada yang baik atau yang buruk" (Hadith hasan lihat dalam Kitab Sunnah oleh Ibn Abi Asim).

Bagaimanakah berlakunya takdir itu ?

Disebut dalam hadith yang sahih bahawa takdir itu yang berlaku ke atas hamba-hamba Allah yang ditetapkan oleh Allah menjadikan segala sesuatu itu terjadi takdir yang berlaku secara sudah tertulis sejak awal.

Adapun begitu amal dan perbuatan tetap menjadi kiraan kerana sesuatu takdir itu menimpa di atas amal yang dilakukan dan amal itu berlaku berasaskan takdir yang telah ditentukan.

Hadith Umar ra yang bertanya nabi tentang amal dengan mengatakan : " Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan apakah ianya sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : "Sesungguhnya telah pun ditetapkan segala sesuatu pada setiap perkara" maka di balas oleh Umar : "Apakah kita harus menyerah sahaja kalau demikian ? Maka bersabdalah baginda nabi : "Beramallah wahai anak Khattab, segala sesuatu itu sudah dipermudahkan adapun barangsiapa yang tergolong dari ahli kebaikan (syurga) maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan barangsiapa yang tergolong dalam ahli siksa maka dijadikan dia beramal jahat untuk neraka " (Hadith sahih, riwayat Ahmad 29 Jilid 1).

Demikianlah juga kisah yang berlaku dalam Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa as kepada Adam as dan lain-lain riwayat yang menunjukkan kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.

Seseorang itu mendapat takdir yang menimpanya ialah berdasarkan perbuatannya dan perbuatannya itu sudah pun ditakdirkan oleh Allah swt akan apa yang akan dilakukan dan dia sendiri tidak menyedarinya.

Kita (lelaki) misalnya akibat kebodohan kita, keegoan dan pelbagai lagi kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kita kehilangan perempuan yang kita kasihi dan sesungguhnya perbuatan kita itu menjadi sebab berlakunya takdir (perpisahan) yang menyedihkan tetapi perbuatan kita (melukakan hati perempuan yang dikasihi dan lain-lain kesilapan) juga sebenarnya merupakan sesuatu yang sudah ditakdirkan.

“Dikalangan mereka (manusia) ada yang celaka dan ada yang bahagia”
(Hud : 105).

Kerana itu Orang yang beriman dan berilmu mengetahui dan beriman dengan segala takdir Allah swt baik yang suka atau yang pahit. Mereka mengerti kesilapan yang dilakukan itu adalah kerana ditakdirkan dan akhirnya membawa satu takdir yang wajib diimani.

Nabi salallahualaihiwasa lam bersabda : "Adapun ahli syurga dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka" (Hadith sahih dengan ijal yang siqah dikeluarkan oleh Al-A'jari ).

Lalu mereka (orang yang beriman) segera bertaubat memohon kepada Allah swt supaya dipilih untuk termasuk dalam kalangan yang dipermudahkan kepada amalan kebaikan dan dipilih supaya termasuk di kalangan mereka yang diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.

Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasa lam kerap membaca doa : “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkanny a sebagaimana yang dikehendaki- Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Bagaimana Mahu Menghadapi Takdir Allah yang Pedih dan Sedih dan Cara mendapat takdir yang baik dan menghindari dari Takdir yang Buruk ?

Melalui penjelasan ringkas sebelum ini sudah memberi kesedaran dan pemahaman bahawa takdir itu sudah ditetapkan oleh Allah swt sejak dalam perut ibu lagi kepada hamba-hamba- Nya ini seperti yang disebut dalam hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).

Maha suci Allah hanya kepada-Nya kita kembali dan memohon perlindungan dari takdir yang buruk dan pengakhiran yang tidak baik.

Sesungguhnya hendaklah kita berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan dengan berusaha meminta dan memohon kepada Allah swt tanpa henti dan tangguh supaya termasuk di kalangan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.

Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan :

1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah : "Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi) .

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Memperbanyakkan amalan Soleh seperti sedekah

Dari riwayat Anas bin Malik ra bahawa rasulullah salallahaulaihiwasa lam bersabda : " Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan Al-Rabb (Allah)" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 664).

2) Bersabar serta bersangka baik kepada Allah swt dan mengharap rahmat-Nya serta tidak berputus asa di atas segala derita yang menimpa dan takut serta harap kepada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Sabda baginda salallahualaihiwasa lam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

“ Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk” (Al-Baqarah : 45).

3) Bertawakal kepada Allah swt selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk Allah dan rasul dan bersangka baik serta menyerah kepada takdir Allah swt dengan penuh keredhaan dan lapang hati serta yakin.

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadith dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasa lam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :

“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu :

Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau,

jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah.

Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan

jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau.

Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan)” (Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).

Bahkan turut disebut dalam Hadith yang lain riwayat Anas bin Malik bahawa baginda sentiasa membaca doa “ Dengan nama Allah aku bertawakkal hanya kepada Allah” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no.2724 ).

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Surah Ali-Imran : 159).

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

Rujukan :

i) Tafsir Al-Qur’an
ii) Kitabul Sunnah oleh Ibn Abi Asim (wafat 287 Hijrah)

Qoute :

Sesungguhnya tulisan ini ditulis sebagai meringankan beban batin yang menekan bagi sesiapa
yang diuji dalam kehidupan moga beroleh penyelesaian dan pemahaman.
Oleh : Ustaz Emran

Dipetik dari laman web taman2syurga kiriman Mohd Naim Mohd Zain

Renung-renungkan lah.. Jangan bersedih jika itu takdir Allah untukmu, tapi carilah sinar hikmah yang tersembunyi disebalik derita yang kau alami. Kesabaranmu menghadapi ujian meletakkan kamu pada suatu tingkat keimanan yakni redha kerana Allah.. Setiap kejayaan itu dimulakan dengan langkah pertama. Jika kau jatuh kau harus bangun dan bangun.. betulkan niat, usaha,doa, tawakal dan redha dengan ketentuannya.

~AyuMe~

Friday, March 12, 2010

Ujian Kehidupan Bagi Manusia


Jiwa seorang mukmin itu pastinya ditarbiyyah untuk berhadapan dengan pelbagai ujian dan kesukaran. Ada kalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan – kemewahan hidup, kejayaan dan sebagainya.

Kesenangan seperti ini walau dilihat bukanlah sesukar ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun hakikat ujian ini tidak kurang cabarannya. Seseorang yang diuji dengan kemewahan hidup, memiliki harta yang melimpah ruah dan kekayaan yang berganda tentu sahaja perlu memikirkan bagaimana dan ke mana perlu disalurkan wang dan harta yang dimiliki. Adakah untuk kegunaan sendiri dan keluarga semata-mata atau terfikirkah untuk menginfakkan ke jalan Allah?

Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian dari ujian. Walau nyata berbeza sebagaimana ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah ujian, yang akan menguji tahap keimanan seorang hamba. Perjalanan hidup bagi seorang manusia lazimnya akan melalui berbagai cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Hatta untuk mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut sekalipun, memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan.

Firman Allah :
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah : 156)

Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, dan Dialah yang berkehendak untuk melakukan apa jua perkara ke atas makhluk ciptaanNya. Manakala hamba yang diciptakan ini perlu menghadapi segala yang telah diaturkan dengan sempurna oleh Maha Pencipta dengan cara yang termampu olehnya.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (al-Ankabut : 2)

Mukmin itu tidak cukup hanya dengan ungkapan beriman dan mengaku sebagai Islam sahaja, tanpa memenuhi tuntutan sabar dan tabah hati mengharungi ujian, sama ada ujian berupa perintah – melaksanakan kewajipan dan perintah, mahupun ujian berupa larangan yang perlu dijauhi. Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (al-Mulk : 2)

Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan tikanya lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walau seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa.

"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. Kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan : "Ini adalah dari sisi Allah", dan sekiranya mereka ditimpa sesuatu bencana, maka mereka berkata : "Ini datangnya dari sisi kamu (Muhammad)." Katakanlah : "Semuanya datang dari Allah." Maka mengapa orang-orang yang hampir tidak memahami nasihat sedikitpun?" (Al-Nisa’ : 78)

Apakah dikira segala hutang yang masih belum dilangsai, persengketaan yang belum lagi terlerai, janji yang tak tertunai, cita-cita yang masih tak tercapai, kejayaan yang belum sempat digapai mampu menangguhkan saat dan ketentuan ajal yang datang? Tidak kira sesiapapun, maut tetap datang menjemput. Sama ada ahli keluarga yang tercinta, sahabat handai yang dikasihi, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan seuniversiti, dekat mahupun jauh, ataukah diri kita sendiri yang masih terkapai dalam pencarian ini, andai telah ditentukan saatnya, akan pergi jua akhirnya meninggalkan dunia yang fana, bukan untuk seminit dua, bahkan untuk selama-lamanya. Waktu yang tak mungkin dapat diundur, lalu tinggallah segala kegembiraan yang pernah dikecapi, abadilah segala kenangan bersama, detik suka mahupun duka akan berputar kembali memenuhi ruang fikiran teman-teman yang ditinggalkan.

Saat ini disedari betapa tinggi dan bernilainya sebuah uhkuwwah dan persahabatan yang terbina. Tika ini jualah mengerti dan menghargai seorang insan yang takkan dapat lagi hidup bersama di dunia. Seterusnya, penyesalan demi penyesalan yang tidak punyai makna apa-apa…

Saidatina ‘Aisyah berkata : Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaan-Nya dan Syurga-Nya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya seksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya." (Sohih Muslim, bab Do’a, Taubat & Istighfar, 4845)

Cukuplah mati sebagai peringatan buat diri seorang mukmin. Padanya tiada yang lebih berharga di dunia, keluarga, pangkat, mahupun harta melainkan keredhaan dariNya, dan pengharapan agar dapat dipertemukan dengan Yang Maha Pencipta, pemilik segala hati manusia. Apabila mati menjadi peringatan, terlerailah segala persengketaan, bersemilah ukhuwwah dan terbinalah persaudaraan, tertunailah segala janji yang dipatri, terlaksanalah tanggungjawab dan amanah Allah, kan terlangsailah jua hutang yang terkumpul.

Peringatan buat diri yang sentiasa alpa, leka dengan nikmat dunia yang bersifat sementara, agar memperteguhkan iman dan ilmu, memperbanyakkan amal sebagai bekal, menuju ke satu destinasi yang pasti dan abadi. Bangkit dari lena, teruslah bermujahadah, thabatkan diri dalam perjuangan yang suci ini, walau diri lemah dan tidak berdaya, walau diri tidak punya apa-apa, tetapi tenanglah duhai hati seorang mukmin, yakinlah dengan janji Ilahi, kesabaran menghadapi ujian membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan……!

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? " (Ali ‘Imran : 142)

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar." (Ali ‘Imran : 146)

Oleh : Umm Habibah
dipetik dari laman web tamanSyurga: kiriman Mohd Naim Mohd Zain

"Kehidupan ini adalah ladang ujian. Jadilah kita manusia yang gagah menongkah gelombang, yang tak karam dirempuh badai dan tak tersasar di ditiup taufan. Jika kompas al-Quran dan Sunnah sentiasa menjadi petunjuk jalan, Insyaallah bahtera kehidupan ini bisa sampai ke destinasinya"

-AYUME-