Friday, April 9, 2010

PENGERTIAN

Kau Insan istimewa. Insan pilihan di sisi Allah. Bersyukurlah ke hadrat Allah kerna Dia bukakan hatimu untuk menerima cahaya hidayah-Nya. Jangan kecewakan Dia yang menciptakanmu. Jangan sesekali mengabaikan tanggungjawabmu sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi. Tidak diciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat padaNya. Hidupmu di muka bumi bukan untuk suka-suka, bukan untuk mengejar material dunia semata-mata tapi mengejar redhaNya. Dunia ini tempat persinggahan, oleh itu kutiplah bekalmu untuk alam yang nyata. Perjalanan kita masih jauh.

Wahai manusia sedarkah kamu bahawa kamu diciptakan dengan satu amanah, yakni menegakkan kalimah Allah. Sedarkah kamu wahai keturunan Adam dan Hawa? Hidupmu di muka bumi ini dengan ihsan dan kasih sayang Allah. Kau diberi kesempatan untuk menghirup udaraNya, berpijak dibumiNya dan memakan rezekiNya dan yang paling beruntung, jika kau dikurniakan nikmat iman. Dilahirkan sebagai seorang yang beragama islam. Menjadi manusia yang yakin dengan persaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Pernahkah kau sedar anugerah itu? Syahadah itu suatu persaksian yang memerlukan pengertian. Pengertian dengan hati lalu dizahirkan dengan perbuatan kerna rasa yakin dengan janji Tuhan.

Islam? Apakah yang membezakan orang islam dengan bukan islam? Adakah kerna nama kita? Adakah kerna kita dilahirkan dalam keluarga dan keturunan yang beragama islam? adakah kerna kita menutup aurat atau tidak makan benda-benda yang diharamkan Allah? Adakah sekadar solat, puasa dan haji? Cukupkah sekadar semua itu untuk meletakkan kita diangkat satu darjat sebagai umat yang mendapat rahmat dan kasih sayang Allah? Adakah ini sahaja yang membezakan antara seorang mukmin dengan seorang kafir? Rakan-rakan jawapannya tidak sama sekali.

Allah itu maha pemurah. Allah itu maha penyayang. Pemurah Allah kerna dia tetap memberikan rezeki pada hambaNya tidak kira islam mahupun kafir, tidak kira taat mahupun kufur. Allah memberikan kita peluang yang sama menghirup udaraNya, berpijak dibumiNya, bahkan dikurniakan nikmat rezeki pada setiap makhluk tak kira cacing di celah batu sekalipun. Tak terkecuali menerima nikmat dan rezekinya, pemurahnya Allah. Kasih sayang Allah untuk siapa pula? Adakah untuk semua makhlukNya? Kasih sayang Allah hanya pada hambanya yang tunduk dan patuh serta meyakini bahawa Allah sahaja yang patut disembah dan ditaati. Kasih sayang itu hanya pada hambaNya yang tunduk dan patuh pada perintahNya. Nikmat syurga itu hanya pada mereka yang beriman. Itulah erti kasih sayang Allah. Allah itu maha adil.

Tahukah teman-teman jawapan kepada persoalan yang membezakan kita dan mereka yang kafir? Perkara yang jelas membezakan kita dengan mereka adalah kalimah syahadah. Keyakinan yang kita letakkan di hati tentang persaksian kita hanya Dia Allah tuhan yang berhak disembah dan pengakuan kita bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Pengakuan inilah yang membezakan islam dan kafir, tapi perlu diingat teman-teman persaksian yang nyata itu hanya terlahir melalui perbuatan kita. Layakkah kita mengaku sebagai individu muslim jika kita masih menentang hukum Allah. Memang kita tidak menentang hukum Allah secara zahir tapi lihatlah tingkahlaku dan perbuatan kita terhadap wahyuNya. Adakah kita berusaha untuk memahaminya. Al-Quran itu catatan cinta dari pencipta buat hambanya terkandung didikan yang nyata. Bagaimana pula dengan hadis. Wasiat dari penyampai kalimah cinta agung kita ketepikan. Tersemat indah tinta pada lembaran kaku tanpa kau berusaha untuk memahami dan mempelajarinya. Di manakah bukti persaksian kita itu? Di mana? Adakah sekadar janji-janji palsu sang panglipur lara yang cuba mengindahkan cerita. Khayal dalam kisah hidup yang kau cipta. Kelihatan indah tapi fatamorgana belaka.

Hanya anda tahu siapa anda hari ini? Sisa-sisa jahiliah masih berkarat dalam setangkai hati yang yang mengaku mukmin tanpa kau mengerti realiti dan kualiti. Muslim itu bukan pada nama tapi pada perbuatan yang jelas dan nyata, terlahir dari hati yang sentiasa disirami pengertian syahadah. Bangunlah dari dibuai mimpi yang panjang. Hari sudah petang namun anda masih belum terlambat sebelum malam gelap melabuhkan tirainya. Bangitlah dari kekalahan tamadun hidupmu semalam. Peluang masih ada selagi kau diberi kesempatan untuk terus bernafas. Muhasabah diri. Tuntutlah ilmu tentang islam agamamu agar kau lebih mengerti realiti kehidupan seorang muslim. Muslim yang bebas dari kesamaran jahiliah, yang mengerti nilai syahadah dan berada pada jalan hidayah. Hidup ini medan ujian. Berjuanglah miliki kasih sayang Allah agar kau tak kalah di tangan syaitan laknatullah...

[AyuMe: 9 April 2010]