Sunday, February 20, 2011

Mawar itu tajam



Gunakanlah prinsip: Ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan.

Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu

Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu.

Jangan mengeluh, kenapa anda tidak berjaya seperti insan-insan lain. Jika kita terus mengeluh, kaki kita akan melekat selamanya di anak tangga ujian itu. Kita tidak akan meningkat lebih tinggi. Terimalah dengan pasrah, tetapi jangan sekali-kali mengalah. Hati tunduk akur berteman sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar!

Jangan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa? Justeru kita tidak akan dapat mengubah realiti. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Jalan sebaik-baik, terimalah seadanya, ya itu telah berlaku, ya itulah keadaannya … tak kira bagaimana keadaannya sekalipun anda tetap hamba Allah. Jangan cuba jadi “Tuhan” walaupun pada kehidupan anda sendiri.
Tunduk dan akurlah pada takdir yang ditetapkan Ilahi.

(Pahrol Mohd.Juoi)

Ronda-ronda di laman maya facebooks, terbaca satu artikel yang bagiku sangat menarik. Bahasanya puitis tapi mesejnya terasa dekat dengan realiti kehidupan. Nasihat yang mampu menghadirkan kesedaran. Mawar itu memang cantik. Merah warna dan harum baunya. Mawar itu berduri. Untuk mencapai sesuatu yang bermakna dalam kehidupan ini pastinya kita perlu melalui liku berduri itu. Bagaimana kita mempersepsi ujian dan dugaan itu bergantung kepada nilai dan kepercayaan yang kita pengang. Insan yang positif dengan kehidupan meanggap ujian itu suatu tarbiyah dan cabaran untuk mara cemerlang tetapi insan pesimis melihat dugaan itu sebagai suatu musibah. Fikirkanlah anda di pihak yang mana, insan optimis atau insan pesimis. Kita tidak akan bisa memiliki mutiara yang indah, jika tidak berani melawan ombak berenang di lautan yang dalam. Fosil bisa jadi permata setelah melalui proses luluhawa dalam suatu jangkamasa yang lama. Insan yang hebat ialah insan yang tabah menghadapi kehidupan dan sentiasa bersyukur nikmat dan ujian pemberian Tuhan.

~Kritis Ayume~


Saturday, February 19, 2011

KeredhaanMu

Ya Allah, Ya Tuhanku

HambaMu merindukan
Rahmat kasih sayangMu
Dan jua keredhaanMu
Dalam hidupku

Meskipun ku ulangi dosa noda
Yang menjanjikan azab sengsara
Namun ku sedari
KeampunanMu tidak bertepi

Ku akui diri ini
Hamba yang mungkir pada janji-janji
Jadikanlah taubat ini yang sejati
PadaMu Ilahi

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku
Ya Allah, redhakanlah kehidupanku
Moga terhapus penghijab kalbu
Antara Kau dan aku

Tuhan,
Ku zalimi diri ini
Andai Kau tak ampuni dan rahmati
Alangkah ruginya diri

Tuhan,
Jangan Kau palingkan hati ini
Setelah Kau beri hidayah
Sesungguhnya Kau Maha Pengasih
terimalah diri ini

~Inteam~

Friday, February 18, 2011

Disebalik Kenikmatan Minuman Kopi

Sejak kebelakangan ini aku sering diserang sakit kepala. Sakit kepala yang pasti menganggu rutin harianku. Kadangkala aku terpaksa tidur lebih dari waktu yang sepatutnya. Bimbang juga aku dengan simptom ini. Tugas-tugas harian ku banyak yang tergendala angkara sakit kepala yang aku tidak duga. Sakit kepala yang tidak tahu sebab musababnya. Jika aku stres sakit kepalanya berbeza. Bagi aku, mengambil panadol bukanlah penyelesaian kepada masalah sakit kepala tapi ia bakal memberi kesan yang lebih buruk pada masa depan. Panadol bagiku penyerang secara senyap. Pengambilan panadol atau paracetemol secara berterusan boleh menyebabkan kerosakan fungsi hati. Bahaya bukan?

Ubat kepada segala penyakit perlu dicari dari punca asasnya. Hal ini mendorong aku mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran. Apakah sebab aku sakit kepala? analisis demi analisis berkaitan rutin harian aku lakukan. Pengetahuan tentang fisiologi dan psikologi aku aku gabung jalinkan dalam mencari jawapan ini. Akhirnya aku temui bahawa sakit kepala yang aku alami ini berkemungkinan besar disebabkan oleh kesan pengambilan minuman kopi secara berterusan. Aku lupa bahawa kopi mengandungi kafein yang boleh memberi kesan negatif kepada fisiologi dan psikologi individu tanpa sedar. Pengambilan kafein juga boleh menyebabkan individu yang mengalami gestrik mengalami kesan yang lebih buruk.

Setiap individu mungkin ada sebab yang tersendiri mengapa mereka mengambil minuman berkafein? Mungkin sebab aromanya yang memukau, atau sebab untuk bertahan lebih lama ketika mata mulai layu. Sedar tidak sedar kita sebenarnya mengundang risiko withdrawal. Withdrawal adalah satu simptom yang berlaku kepada individu yang mengalami ketagihan sama ada kafein, dadah, alkhohol mahupun rokok. Individu akan cenderung mengambil dalam kuantiti yang banyak apabila gagal mencapai kenikmatan atau kepuasan dalam suatu jangka masa.

Pada mulanya anda mungkin boleh bertahan hingga larut malam dengan hanya mengambil secawan kopi tetapi lama kelamaan secawan kopi sudah tidak memberi kesan kepada anda untuk berjaga lebih lama. keadaan ini menyebabkan anda mengambil beberapa cawan kopi dalam jangka masa terdekat atau menambah kepekatannya untuk mendapatkan kualiti jaga yang sama dengan peringkat awal yang anda alami. Minuman berkafein memang mampu membuatkan anda segar atau dapat berjaga hingga lewat pagi tapi awas dengan kesan sampingannya.

Kesan withdrawal dan ketagihan menyebabkan anda boleh mengalami sakit kepala. Jika anda tidak mengambil minuman tersebut sakit kepala anda boleh berterusan. Ketagihan kafein biasanya berlaku tanpa sedar, oleh itu pekalah dengan rutin pengambilan makanan dan minuman kita dalam kehidupan supaya kita mudah mengenalpati permasalahan kesihatan yang berlaku dalam diri dan mencari penyelesaiannya. Di sini ana kongsikan artikel dari KOSMIK bertajuk di sebalik nikmatnya kopi dan kesan kafein untuk info bersama.

Kafein adalah sejenis dadah yang terhasil secara semulajadi dalam daun dan biji beberapa jenis tumbuh-tumbuhan. Kafein juga dihasilkan secara tiruan dan digunakan sebagai bahan penambah atau perisa dalam sesetengah makanan. Kafein dikenali juga dengan nama kimianya trimetilkantina dalam keluarga metilsantina. Bahan ini berbentuk serbuk berwarna putih dan sedikit rasa pahit. Bahan kimia lain yang yang terdapat dalam kumpulan ini adalah teofilin yang terdapat dalam daun teh dan teobromin yang didapati dalam biji koko. Kafein juga boleh ditemui dalam biji kopi (Coffea Arabica), daun the (Theasinensis) dan biji koko (theobrama cacao). Kafein juga boleh didapati dalam lebih 60 jenis tumbuh-tumbuhan lain. Antaranya pokok guarana (paullina cupana) yang terdapat di Amazon. Kafein sering digunakan terutamanya dalam minuman ringan. Kebanyakan remaja sekarang begitu gemar mengambil minuman berkarbonat kola yang bukan sahaja mengandungi kafein tetapi juga tinggi kandungan gula. Kafein juga digunakan dalam sesetengah ubat untuk merawat beberapa jenis penyakit, antaranya sakit kepala, migrain, penyakit jantung dan mengendurkan pernafasan dalam rawatan penyakit asma.

KESAN PENGAMBILAN KAFEIN

Kesan pengambilan kafein bergantung kepada jumlah yang diambil dan berbeza bagi setiap individu yang mengambilnya. Secara purata semakin kecil saiz atau pun berat badan seseorang itu, semakin kurang kafein yang diperlukan untuk menghasilkan kesannya. Namun begitu, kesan kafein kebanyakkannya bergantung kepada jumlah yang diambil. Pengemar kopi selalunya memerlukan pengambilan yang tinggi untuk mencapai tahap kenikmatannya. Ini bermakna lebih banyak kafein yang diambil setiap hari untuk mencapai tahap kenikmatannya.

Kafein akan memasuki sistem tubuh setelah beberapa jam mengambilnya, kemudian akan keluar menerusi urin. Kafein memberikan kesan berterusan ke atas tubuh kita selagi ia masih berada dalam darah. Jangka masa yang diperlukan oleh tubuh untuk menyahkan separuh daripada jumlah kafein yang diambil adalah dari beberapa jam hingga beberapa hari. Secara puratanya bagi orang dewasa, kesannya boleh dirasai selama lima hingga tujuh jam. Terdapat beberapa faktor yang melambatkan jangka hayat kafein dalam tubuh kita, antaranya seseorang yang mengambil ubat-ubatan, menghidap penyakit hati dan wanita mengandung. Bagi wanita mengandung pengambilan kafein hendaklah dikurangkan atau dihentikan sama sekali kerana kafein akan meningkatkan risiko keguguran dan ketidaksuburan. Ada juga bukti yang menunjukkan kafein boleh mengakibatkan kecacatan bayi sewaktu lahir.

Kafein boleh menyebabkan pesakit yang mengalami masalah jantung dan kegagalan saraf menjadi lebih teruk dan kebanyakan pengguna tidak sedar keadaan ini boleh berlaku ke atas mereka. Kajian telah menunjukkan bahawa kafein memberi kesan seperti penggunaan dadah peransang yang lain. Kafein cenderung untuk meransang otak dan sistem saraf pusat kemudiannya bertindak ke atas jantung, pembuluh darah dan buah pinggang. Salah satu simptom yag biasa dihadapi oleh pengguna ialah dehidrasi (pengeluaran air terlalu banyak daripada badan menyebabkan badan kekurangan air). Walaupun anda menganggap dengan meminum air berkafein yang banyak badan dapat mengekalkan kandungan air tersebut tetapi kafein akan bertindak sebaliknya ke atas badan. Di sini kafein bertindak mempercepatkan penghadaman dan meransang pengeluaran air kencing yang banyak.

Bagi remaja yang aktif bersukan dan gemar mengambil minuman berkafein anda digalakkan untuk meminum lebih banyak air atau mengurangkan minuman berkafein bagi mengelakkan kadar dehidrasi. Pengambilan kafein juga boleh menyababkan badan kehilangan kalsium serta potassium. Hal ini boleh menyebabkan kesakitan otot dan melambatkan masa untuk rehat selepas menjalani senaman. Bagi wanita dalam peringkat menapaus yang gemar mengambil minuman berkafein akan mempercepatkan lagi proses osteoporosisi disebabkan kehilangan bahan-bahan mineral tersebut.

Kesan kafein berbeza di antara seorang pengguna dengan pengguna yang lain namun begitu pengamal perubatan menasihatkan agar pengambilan kafein setiap hari mestilah tidak lebih daripada 100 mg atau lebih kurang satu cawan kopi sehari. Selain itu, terdapat pelbagai saranan yang diutarakan mengenai pengambilan kafein yang unggul. Walaupun apa pun saranan yang diutarakan mengenai pengambilan kafein yang unggul dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya kita menghidap penyakit tertentu yang mungkin alah kepada kafein.

Pengambilan pada dos 250-750 mg (dua hingga tujuh cawan kopi) boleh menyebabkan seseorang itu mengalami situasi cemas, letih, tidak nyenyak tidur, sakit kepala dan sakit perut. Namun begitu pengambilan kafein akan meningkatkan rasa waspada dan meningkatkan penumpuan terhadap tugas. Pengambilan kafein yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan tidur. Jika kafein diambil lebih dari 750 mg (tujuh cawan kopi) sehari akan menyebabkan sakit kepala, cepat marah, menimbulkan rasa takut dan tidak dapat tidur (insomnia). Pengambilan dos yang tinggi juga akan menyebabkan kekejangan dan mungkin diikuti dengan maut.

KESAN JANGKA PANJANG

Ulser - Kafein dipercayai boleh mengakibatkan ulser keranan bahan ini meransang penghasilan asid dan peptin di dalam perut. Sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan perut rasa tidak selesa. Seseorang yang mengalami ulser dinasihatkan tidak mengambil kopi kerana akan menyebabkan ulser menjadi lebih teruk. Tetapi perlu diingatkan bahawa bukan kafein sahaja yang boleh mengakibatkan terjadinya ulser. Lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk membuktikan sama ada kopi berkafein dan tanpa kafein boleh menyebabkan ulser.

Masalah Jantung - Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa kafein boleh menyebabkan denyutan jangtung tidak menentu (cardiac arrhythmia) kepada sesetengah orang. Biasanya penghidap sakit jantung dinasihatkan tidak mengambil minuman berkafein sama sekali. Walaupun demikian tiada bukti menunjukkan kafein adalah faktor penyebab sakit jantung.

Ketagihan- Kafein boleh membuatkan seseorang itu menjadi ketagih. Jika individu terbabit berhenti dari meneruskan pengambilan kafein, ia akan mengalami simptom pengunduran (withdrawal symptoms) seperti sakit kepala. Simptom ini biasa dialami oleh penggemar kopi dan sakit kepala ini akan hilang dengan sendirinya dalam masa satu hingga lima hari atau ia akan sembuh semula dengan pengambilan kopi kembali atau mengambil ubat. Kebanyakan pengemar kopi yang cuba mengurangkan pengambilan kafein akan mengalami rasa gementar, sakit-sakit, tidak berupaya untuk bekerja, lesu, mengantuk dan sakit kepala.

Bagi membuang tabiat ketagihan kafein bukannya mudah. Cara yang berkesan adalah mengurangkan kuantiti pengambilannya setiap hari. Amalkan minum air kosong yang banyak serta jus buah-buahan dalam sajian harian anda. Better prevent than cure. Teman-teman sebelum anda mengalami masalah ini adalah dinasihatkan besederhanalah dalam pengambilan minuman berkafein.

Jenis Makanan & Minuman

Kandungan Kafein (mg)

Dos

Kopi Tapis/Saring

100 – 150

satu cawan

Kopi Segera

50 – 70

satu cawan

Teh

30 – 90

satu cawan

Teh Uncang

65

satu cawan

Kopi Nyah Kafein

1 – 6

satu cawan

Minuman Kola

72

360g

Soda Oren Sunkist

42

360g

Minuman Coklat Panas

5

satu cawan

Kek Coklat

20 – 30

satu potong

Ubat-ubatan

Ubat Migrain

100 mg/dos

Analgesik

15 - 40 mg/dos

Batuk/Selsema

15 – 125 mg/dos



Sumber: www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/sun/1996/sun35.html

Rujukan: Dewan Kosmik- Disember, 2002 (Wan Zainal Azman Wan Abdullah): Disebalik nikmatnya kopi dan kesan kafein.