Friday, April 15, 2011

Manusia dan Undang-undang Kehidupan


Alhamdulillah ku panjatkan kesyukuran pada pencipta yang maha sempurna. Terima kasih ya Allah kerna Kau sering membuka pintu kesedaran dalam diri ini. Tika ku hanyut dengan arus masa, Kau ingatkan aku dengan pengantaraan hamba-Mu, tanpa ku sedar. Dengan kasih sayang dan izinMu ya Allah, kau ilhamkan aku untuk menzahirkan yang hak melalui perantaraan maya. Hati ini tersentuh bila membaca kalimah cintaMu. Kau susun hikmah-hikmah Al-Quran itu dengan jalinan seribu satu makna. Merentasi zaman dan releven selamanya. Anugerah agung untuk sekalian manusia. Wahai makhluk yang memiliki akal, fahamilah bait cinta dari Tuhanmu dengan indera yang kau miliki. Sucikan hatimu, dengarlah seruan ilahi kerana kita di sini bukan kekal hakiki. Setiap ketentuan Allah untuk hambanya, pasti ada hikmah yang maha sempurna. Akal rasionalmu wahai anak adam tidak mampu menjadi kompas tega dalam hidupmu. Jika kau hanya memiliki kompas tetapi kau tidak memahami peta, apakah gunanya? Kau bisa saja menghalakan kompasmu ke mana saja, mengikut haluan kaki bergerak mungkin! tapi belum tentu kau mampu sampai ke destinasi dengan selamatnya. Jika kau miliki peta dan bisa memahami peta, sudah tentu kompasmu itu bisa berfungsi dengan jayanya. Implikasinya kau bisa sampai ke destinasi sasaran dengan jayanya. Insyaallah.

Manusia itu secara semula jadinya dikurniakan sifat inkuiri, yakni sifat ingin tahu. Kita sering bertanya itu dan ini? Kenapa dan bagaimana? Seribu satu persoalan sering muncul apabila kita berhadapan dengan situasi yang kita kurang arif tentangnya. Secara fitrahnya manusia itu sering berfikir dan memberi jawapan berdasarkan akal rasionalnya. Namun, akal rasional itu tidak cukup menjadi hujah kepada perkara-perkara ghaib, perkara yang diluar batasan fikirannya, oleh itu manusia memerlukan wahyu sebagai panduan. Logik manusia boleh sahaja berubah merentasi masa dan pengalaman. Satu ketika dulu untuk manusia berada di awan, terbang seperti burung suatu yang tak logik dek akal bagi manusia di era itu. Ada juga manusia yang gila dan punya wawasan luar biasa. Dia percaya manusia boleh terbang suatu hari nanti. Mampukah kita terbang teman-teman pada hari ni? Anda punya jawapannya. Kita mungkin tidak mampu terbang secara lansung seperti burung tapi kita punya alat canggih yang membolehkan kita terbang di awan pada hari ini. Hari ini manusia terbang di awan adalah sesuatu yang logik. Hal ini menjelaskan fikiran manusia itu bisa sahaja berubah. Semalam perkara itu tidak logik. Hari ini perkara itu menjadi logik.

Bercakap soal logik akal ini, ana sebenarnya terpanggil untuk berkongsi dengan teman-teman tentang soal undang-undang. Apakah beza antara undang-undang manusia dengan undang-undang Allah? Ana bukanlah, graduan undang-undang yang bisa membentangkan akta-akta perundangan negara atau menghujah tentangnya, tapi ana hanyalah hamba dan khalifah Allah yang ingin berkongsi hakikat kebenaran. Undang-undang secara umumnya diwujudkan untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraaan sejagat. Tanpa undang-undang segalanya bisa sahaja jadi kucar kacir. Undang-undang itu ada yang bertulis dan ada yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi secara lisan. Undang-undang lisan itu sering kali berkait dengan undang-undang moral dan adat.

Alam ini juga punya undang-undang yang tersendiri. Manusia juga secara fitrahnya punya undang-undang yang tertulis dalam hati dan anggotanya. Adakah kita sedar tentang undang-undang tersebut teman-teman? Siang dan malam silih berganti dengan peraturan dan ketetapan Allah. Matahari, bulan, bumi dan planet-planet lain berputar pada paksinya dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan Allah. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan juga taat pada ketentuan dan peraturan Allah walaupun mereka tidak dikurniakan akal, malah mereka sentiasa bertasbih memuji Allah. Tangan, kaki, mata, hidung, telinga, jantung dan segala anggota kita juga berfungsi mengikut ketetapan dan peraturan yang telah ditetapkan Allah. Tugas mata hanya untuk melihat dan ia akan terus kekal menjadi pancaindera penglihatan. Mana mungkin mata digunakan untuk menghidu. Menghidu itu tugasnya hidung. Semuanya berfungsi mengikut ketetapan yang telah disyariatkan oleh Allah. Allahuakhbar.. Subhanallah..

Manusia itu dikatakan makhluk yang berkelas tinggi kerana ia dikurniakan akal. Manusia diberi kelebihan dalam membuat pilihan kerana ia punya akal untuk berfikir betul dan salah. Adakah manusia itu menggunakan akal dengan sewajarnya dalam membuat pertimbangan betul dan salah? Selain dikurniakan akal manusia juga dikurniakan hati untuk memahami. Gerak hati boleh membantu akal rasional dalam melakukan pertimbangan. Dalam diri manusia ada segumpal darah, jika baik ia maka baiklah manusia. Ketahuilah bawa ia adalah hati. Hati umpama raja yang mentadbir satu daerah dalam diri insani. Seorang yang berakal mungkin tidak mempunyai sifat prihatin dan kemanusiaan tanpa hati. Gandingan antara akal dan hati melahirkan wilayah pentadbiran peribadi. Maka lahirlah individu yang berakhlak dan berbudi pekerti jika keduanya serasi berkoleberasi.

Dalam diri manusia itu juga ada nafsu. Jika nafsu itu yang mengambil takhta menguasai wilayah diri manusia, maka hancurlah sahsiah. Insan yang hebat tidak akan membiarkan nafsu menunggangi akal dan hati. Penguasaan nafsu pada diri individu bukan sahaja boleh merosakkan dirinya tetapi boleh mengamcam orang disekitarnya. Hati yang rosak, akal yang sonsang dan nafsu yang bermaharajalela menyebabkan wujudnya sifat sombong, tamak, dengki, dendam dan seangkatan dengannya. Maka, suburkanlah iman dihati, bajai takwa dalam diri dan teguhkan akalmu dengan ilmu agar kau bisa menjinakkan nafsu menjadi hamba yang setia. Implikasinya wujudlah insan berjiwa waja, berhati mulia dan sentiasa taat pada perintah penciptanya, kerana dia tahu dirinya adalah hamba dan khalifah di daerah pentadbiran Allah.

Kenapa ada manusia yang mempertikaikan undang-undang Allah? Siapalah kita untuk mempertikai semua itu? Allah lebih tahu di sebalik setiap ketetapan itu. Allah maha mengetahui semua perkara; sama ada yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku, di langit mahupun di bumi. Semuanya tak terlepas dari pengetahuan Allah, malah apa yang terdetik di hatimu sekalipun kau tak menzahirkan, Allah maha mengetahui. Allah menciptakan kita, Dia maha tahu apa kekuatan dan kelemahan kita. Jangan kamu samakan Allah dengan kita. Itu syirik namanya. Akal rasional kita terbatas dalam membuat pertimbangan. Ada yang berhujah undang-undang hudud dan kisas tidak sesuai dilaksanakan dalam negara yang berbilang bangsa dan agama. Ada yang berkata kita perlukan masa untuk melaksanakan. Selain itu, ada juga yang menjadi pemerhati bisu dengan suasana semasa. Sekadar mengangguk dan menggeleng.

Ana ingin bertanya, siapa yang menjadikan kita? Sudah tentu jawapannya, Allah. Allah ada sebab menjadikan kita pelbagai bangsa dan warna kulit. Walaupun siapa kita dan di mana kita berada kita adalah hamba Allah, tidak kira seseorang itu beragama Islam, Kristian, Yahudi mahupun Nasrani. Itulah fitrah yang kita semua patut tahu. Yang membezakan individu muslim dengan mereka adalah kalimah syahadah yang kita pengang. Persaksian kita bahawa tiada Tuhan yang kita sembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Kita kata kita Islam, tapi ada juga perkara yang antara kita masih tidak dapat menerima ketetapan dan perintah yang sewajarnya dilaksanakan tanpa keraguan.

Sebagai seorang Islam perkara yang berkait dengan syariat tiada kompromi. Tidak ada alasan itu dan ini. Yang wajib, tetap wajib dan yang wajib tetap perlu dilaksanakan walau apa cara sekalipun. Islam itu sendiri bermakna tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Iman itu pula mengaku dengan hati, mengucap dengan lidah dan melaksanakan dengan perbuatan. Jika kita mengaku sebagai Islam maka sewajarnya kita menjadi seorang yang beriman. Seorang yang beriman tidak akan mempertikaikan perintah dan larangan Allah. Mereka tidak akan hanya mengambil undang-undang yang mereka rasa sesuai dengan diri mereka dan meninggalkan undang-undang yang tidak bersesuaian dengan kepentingan dan nafsu mereka. Islam itu bukan bermakna melaksanakan apa yang suka dan meninggalkan apa yang kita tak suka, tapi melaksanakan segala perintah Allah tanpa sebarang keraguan padanya.

Wajarkah kita tidak melaksanakan perintah Allah?, kalau kita takut tidak sesuai dengan agama lain, melanggar hak asasi manusia dan sebagainya hanya untuk menjaga hati manusia, lupakah kita hati siapa yang berhak dijaga, berhak diutamakan. Adakah manusia itu memberikan rezeki pada diri kita? Jawapannya tidak bukan. Allah yang memberikan rezeki kepada kita, yang memberikan kita bernafas sehingga hari ini. Wajarkah kita menentang perintah Allah? Kalau ada yang mengatakan wajar, jangan makan rezeki yang dikurniakan Allah dan jangan tinggal di muka bumi ini. Habis nak tinggal dekat mana? Jawapannya bagaimana? Mati pun kena kembali kepada Allah. Nak sembunyi dari Allah, boleh ke? Di mana sahaja Allah nampak dan tahu apa yang kita buat. Undang-undang mana patut kita ikut, undang-undang manusia atau undang-undang Allah? Tepuk dada tanya iman dan zahirkanlah melalui tindakan. Akhir kata, undang-undang Allah itu perlu ditegakkan walau apa cara sekalipun. Moga perkongsian ini bisa menghadirkan hikmah pada insan yang punya akal untuk berfikir dan menilai antara yang hak dan batil. Sesungguhnya ilham itu milik Allah, yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari kelemahan ana sendiri. Wassalam..

Komentar: Ayume


Maklumat Tambahan yang berkaitan: Renung-renungkan, fikir-fikirkan..

….Janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. Dan kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (Taurat) bahawa jiwa (dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, luka-luka (pun) ada kisasnya. Barang siapa yang melepaskan hak (kisas)nya, maka lepaskanlah hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barang siapa tidak memutuskan perkara itu menurut apa yang diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang zalim. (Al Maidah: 44-45)

Dan hendaklah orang-orang yang mengikut Injil memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah didalamnya. Barang siapa tidak memutuskan perkara-perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. Dan kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara menurut apa yang Allah turunkan, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka yang meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu, dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka. Dah berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturun Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (Al-Maidah: 47-50)

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Ali Imran: 104)

Dia-lah Allah (yang disembah), baik di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan
(Al-An’am: 3)

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha mengenal. (Al-Hujurat: 13)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudaramu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan, dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (At-Taubah: 21)

Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui. Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang bertakwa. (Yunus: 5-6)

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata
( Al-Baqarah: 208)

Kumpulan Hadis Arbain

Hadis Keenam
"Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. '

Hadis Ketiga puluh
Dari Abi Tsa'labah Al-Khusani, Jurthum bin Nashir r.a, daripada Rasulullah SAW, yang bersabda : " Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya. Dan ia telah menetapkan beberapa hudud ( batasan ), maka janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa benda maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia telah mendiamkan beberapa pekara sebagai suatu rahmat terhadap kamu, bukan kerana lupa maka janganlah kamu membahas mengenainya."

Hadis Ketiga puluh Empat
Dari Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : " Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya ( kuasanya ). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.

Hadis Keempat puluh Satu
Dari Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a katanya : " Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Tiada beriman sesaorang dari kamu sehingga hawa nafsunya patuh kepada apa yang aku sampaikan. ' "