Saturday, February 18, 2012

Cinta & Jodoh


Assalamualaikum. Apa khabar iman kita hari ini teman-teman? Moga sihat luar biasa di bawah lembayung rahmat-Nya. Sedar tak sedar tahun 2012 sudah di fasa Februari. Fasa di mana usia ana sudah bertambah dalam bilangan numerical nya.. Tapi bertambahkah iman dan kematangan ana.. Ku renung dalam memahami makna di sebalik persoalan itu. Ya Allah moga iman dan kematangan ku bertambah seiring putaran waktu yang berlalu. Ameen.. Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan dipertemukan Allah di alam maya ini. Berkongsi menerusi frequensi gelombang dan kelajuan cahaya melalui transformasi tenaga. Itu maknanya ada jodoh namanya walaupun jarak dan masa memisahkan kita. Hari ini ana ingin berkongsi satu isu yang menarik dengan anda semua. Tentu anda semua tertarik dan sememangnya de Bom dalam kalangan anda. Malah isu ini juga hebat diperbincangkan dalam kalangan akhwat dan ikhwah kita. Bila satu tahun berlalu maka hadirnya tahun baru. Maka bertambahlah angka umurku dan umurmu. =)

Ana seperti tidak percaya tahun ini usia ana sudah 24 tahun. Rasa macam baru semalam sweet seventeen. Hehe.. Rasa seperti masih remaja. Rasa seperti baru semalam ana meninggalkan alam persekolahan dan baru menjejakkan kaki ke universiti. Rupanya ana sudah dewasa. Alhamdulillah, ana sudah berjaya memperoleh ijazah pertama pada 25 september tahun lalu. Selesai sudah misi yang pertama. Namun impian ana dalam dunia akademik masih jauh. Insyaallah ana akan teruskan perjuangan ini. Hari ini ana nak kongsi dengan teman-teman tentang topik Jodoh. Bila usia makin dewasa topik macam ni menjadi semakin hangat. Lebih panas dan laku berbanding goreng pisang panas atau lebih moden lagi KFC panas.. hehe..

Setiap orang mendambakan jodoh yang terbaik sebagai penyeri kehidupan pada masa akan datang. Setiap orang punya cita rasa yang tersendiri dalam memilih pasangan suami atau isteri idaman. Manusia hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Walaupun Allah yang menentukan namun manusia perlu berusaha mencarinya. Kalau kita tak mulakan langkah pertama untuk mencarinya, peluang kita untuk menjumpainya akan rendah. Itulah hukum kebarangkalian yang pernah ana pelajari dalam subjek matematik di  sekolah malah di dalam kuliah analisis dan penyelesaian masalah yang ana pelajari di universiti. Jadi kalau kita sudah mula mengorak langkah mencari. Bagaimanakah ciri atau pasangan yang perlu dicari agar ia seiring dengan tuntutan Islam? Pilihan kita untuk membina baitul muslim yang ada elemen baitul jannati wal hasanah itu perlu teliti. Memilih bakal suami atau bakal isteri bukan seperti memilih ikan di pasar. Asal ikan dan boleh makan. Beli sajalah. Memilih pasangan yang sesuai penting sebab ia melibatkan soal jangka masa panjang. Soal masa depan. Bukan untuk hidup sehari tapi untuk hidup bersama selagi hayat di kandung badan. Insyaallah.

Daripada Abu Hurairah, nabi bersabda “Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia.” Hadis ini bukan sahaja ditujukan kepada kaum adam malah pada kaum hawa sebagai rujukan memilih pasangan. Berdasarkan hadis ini jelaslah bahawa ciri utama yang mesti ada pada pasangan kita menurut ISLAM adalah perihal agama. Jika kamu memilih pasangan kerana harta semata-mata, harta akan habis. Jika kamu memilih pasangan hanya kerana keturunan belum tentu keturunan boleh menjamin pasangan yang dipilih berakhlak mulia. Jika kamu memilih pasangan hanya sekadar pada kecantikan luaran dia akan tua dan akan di makan usia. Semua itu bersifat sementara melainkan kamu pilih pasangan yang beragama. Dengan agama semua yang di atas pasti kamu miliki.  Dalam surah Al-Baqarah ayat 122, Allah menegaskan bahawa, “ Janganlah kamu nikahi wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik walaupun ia menarik hatimu.”

Jika seorang memilih pasangan kerana agamanya, cinta yang hadir adalah cinta yang murni. Cinta yang hadir adalah cinta yang ikhlas kerana Allah. Cinta beginilah akan kekal lama kerana ia terlahir dari rasa tanggungjawab dan pengabdian diri kepada Allah. Menurut teori cinta yang dikemukan oleh ahli psikologi sosial Stenberg. Menurut beliau cinta tersebut adalah selari dengan makna consummate love yang dikemukan olehnya.. Comsummate love adalah cinta yang terhasil dari gabungan intimacy, passion dan commitment. Menurut Strenberg lagi cinta tersebut adalah cinta yang paling sempurna. Teori yang dikemukan beliau ini adalah selari dengan pandangan Islam. Comsummate love hanya akan terhasil apabila cinta yang terbentuk adalah beracuan agama Islam. Cinta kepada seseorang kerana Allah. Sternberg's Triarchic Theory of Love.

Indah bukan cinta yang begitu? Sebagai manusia biasa, kita pastinya mendambakan cinta manusia walaupun cinta Allah itu cinta pertama dan utama. Setiap orang akan berusaha mencari pasangan yang terbaik. Itu fitrahnya. Nak ke kita pasangan yang tak baik? Tepuk dada tanya iman. Mat dan minah rempit di kaki lima pun bila ditanya pasangan yang bagaimana mereka inginkan? Laju sahaja di mulut isteri yang solehan. Suami yang soleh jawabnya. Inikan kita, teman-teman. Tapi, bagaimana kita ingin mencari pasangan yang sebegitu? Ana bukan pakar cinta tapi ana ingin berkongsi dengan teman-teman agar kita memperoleh manfaatnya bersama. Ana harap input ini bisa memberi panduan kepada insan-insan di luar sana yang masih mencari-cari jawapan. Jawapan ini ana kutip hasil pengetahuan, pemerhatian dan pengalaman ana di sepanjang perjalanan kehidupan ini. Walaupun pengalaman ana cetek jika nak dibandingkan dengan orang-orang yang telah lama makan garam dahulu tetapi ana yakin ianya bisa memberi perkongsian yang bermakna. Ku kongsikan rahsia ini bersama. Bukan sekadar dikongsi tapi boleh diaplikasi. Insyaallah.

Pada ana ada dua cara kita boleh gunakan untuk mencari pasangan yang terbaik. Adakah melalui couple? Couple test and break? Try and error? Tak ok, break dan cari yang baru sehingga dirasakan sesuai? Anda rasa adakah itu jawapannya. Kajian membuktikan bahawa teknik tersebut diminati dan diamalkan ramai namun hasilnya? Anda sendiri tahu jawapannya bukan. Ramai yang tersasar di tengah jalan, kandas dalam memburu cinta. Bahagia yang dikejar namun derita yang diperoleh. Kenapa keadaan ini berlaku? Jawapannya mudah kerana cinta yang dibina bukan atas dasar kasih sayang kerana Allah tapi atas garisan nafsu yang infiniti. Dua cara yang boleh kita gunakan dalam mencari pasangan yang terbaik; pertama berusaha untuk menjadi yang terbaik, kedua mewakilkan orang yang baik (agama, akhlak dan memahami diri kita)  untuk memilih pasangan yang terbaik untuk kita. Kita perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik jika kita inginkan pasangan yang terbaik. Allah berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud," Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahad untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. (an-Nur: 26). Itu janji Allah. Janji Allah adalah janji yang pasti.

Kedua-dua wasilah ini boleh digabungkan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Kenapa ana kata kedua idea ini merupakah wasilah yang terbaik dalam usaha mendapatkan pasangan yang terbaik? Sebab diri anda umpama magnet. Diri anda mampu menjadi “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda. Sifat magnet ialah menarik sesuatu yang mendekati medan magnetnya. Menarik sesuatu yang mempunyai persamaan dengannya. Magnet hanya menarik bahan logam atau besi. Magnet tidak menarik kayu atau plastik. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa individu yang baik (agama dan akhlaknya) akan menarik individu yang juga mempunyai persamaannya dengannya.  Individu yang berkawan dengan pembuat minyak wangi, dia juga turut berbau wangi  namun individu yang berkawan dengan tukang besi ia juga akan turut merasa bahangnya api. Analogi ini menjelaskan bahawa individu yang baik akan berkawan dengan orang yang baik. Baik dalam konteks ini merujuk kepada baik agama dan akhlaknya.

Cuba anda fikirkan secara logik, adakah seorang yang kaki masjid akan berkawan dengan seorang yang kaki botol? Jika ada. Aneh bukan. Kerana kedua-dua ciri tersebut terlalu kontra. Dalam hal mencari jodoh atau pasangan ini juga begitu. Jika anda seorang yang baik adakah anda akan tertarik hati atau berminat kepada orang yang tidak baik. Secara logiknya jika anda mewakilkan orang yang baik untuk mencari jodoh anda mana mungkin dia akan mencari jodoh yang tidak baik kepada anda? Biasanya lingkungan rapatnya juga orang baik. Jadi yakinlah dengan pertimbangan dan wasilah ini walaupun ada yang dalam kalangan kita yang tidak memahami mengatakan cara ini cara kuno. Cara orang zaman dahulu. Biar apa pun komentar mereka anda tahu bahawa cara ini adalah cara yang terbaik untuk anda. Malah cara ini juga diamalkan oleh nabi Muhammad dan para sahabat. Mereka berusaha mencari yang terbaik dan mewakilkan orang yang baik untuk memilih pasangan yang sesuai. Jika anda ingin kepastian berdasarkan pengalaman cubalah sendiri cara ini dan ana yakin anda akan menemui hikmah dan buktinya. Insyaallah.

Apakah ciri pasangan terbaik yang boleh melengkapi hidup kita? Pilihlah agama sebagai yang utama, nescaya kamu akan bahagia. Kita sudah tahu ciri pasangan yang boleh menjadi pertimbangan dan juga wasilahnya tetapi  bagaimana pula kita hendak memastikan bahawa orang yang ditemui itu benar-benar jodoh kita? Bukan mudah untuk menjawab persoalan ini. Soal jodoh adalah rahsia Allah, tapi Allah menghadiahkan kita sesuatu yang sangat berharga dalam mengenal cinta Allah dan cinta manusia iaitu gerak hati. Hati yang sentiasa dekat kepada Allah mempunyai daya kepekaan yang tinggi dalam mengenal betul dan salah. Gerak hati orang yang beriman sering kali benar dalam memberi jawapan. Yakinlah. Cara mengenal insan yang ditemui itu jodoh kita, pertamanya ialah melalui gerak hati. Hati kita akan berdebar pada denyutan yang luar biasa. Hati itu seolah memahami apa yang dialami pemilik diri. Kita mungkin menemui perempuan cantik mahupun lelaki hensem dalam kehidupan tetapi ia gagal menarik hatimu kerana dia buka jodoh kamu. Anda setuju dengan kenyataan ana? Deria hati memang hebat. Masyaaallah. Maha sempurna ciptaanmu. Dan hati itu dikurniakan kepada setiap makhluk hidup yang bernama manusia.

Gerak hati boleh dijadikan pertimbangan yang pertama. Bagaimana cara untuk mengukuhkan gerak hati ini dan meyakini pilihan yang dibuat? Kita boleh lakukan solat istikharah.  Berdoalah supaya Allah teguhkan hati dalam membuat keputusan. Daripada Aishah r.a  meriwayatkan daripada Abu Bakar bahawa Nabi s.a.w apabila hendak melakukan sesuatu perkara baginda berdoa, “ Ya Allah berikanlah kebaikan kepadaku dan pilihlah untukku.” Doa ini juga boleh kita jadikan amalan. Agar segala pilihan yang kita buat itu adalah pilihan dari Allah bukan pilihan berdasarkan nafsu.

Antara tips lain yang boleh digunakan untuk mengenali jodoh kita adalah 3M. Apa itu 3M? 3M itu merujuk kepada perkataan MEMAHAMI, MEMAAFKAN dan MEMOTIVASIKAN. Individu yang memiliki ciri tersebut selain geraj hati mampu menjadi petanda dia adalah jodoh kita. Pasangan yang baik mestilah saling memahami antara satu sama lain. Saling melengkapi. Tak faham dan tak kenal maka tak cinta. Untuk kenal dan faham mestilah melalui proses ta'ruf yang berterusan. Mampu menerima kelemahan dan kelebihan pasangan serta berusaha untuk saling melengkapi dengan memperbaiki diri bersama. Menghargai pasangan seadanya. Sifat memaafkan juga penting dalam memastikan hubungan kekeluargaan itu bisa kekal lama. Pasangan yang jujur dan ikhlas pasti berani untuk mengaku salah dan menegur pasangan. mereka juga sedia memaafkan pasangan. Selain itu, pasangan yang baik adalah pasangan yang mampu memotivasikan dan menghormati pasangannya. Sanggup susah dan senang bersama. Saling sokong menyokong antara satu sama lain. Pasangan suami isteri itu ibarat simbiosis bukan parasit. Simbiosis itu sifatnya saling berkongsi dan keduanya memperoleh manfaat bersama manakala parasit pula menindas satu pihak yang lain untuk kepentingan diri sendiri. Ciri itu hanya sebahagian yang ana boleh kongsikan  dan ada banyak lagi. Bagaimana untuk mendapatkan lebih input? Maka banyakkanlah membaca. Membaca itu kunci gedung ilmu =)

Diharapkan perkongsian itu mampu menghadirkan hikmah. "Ya Allah kurniakanlah kami pasangan yang bisa mendekatkan kami pada-Mu bukan yang menjauhi kami dari agama-Mu. Lindungilah kami dari jurang nafsu yang melalaikan. Bimbinglah kami Ya Rab, bukakanlah pintu hati kami untuk mengenal jodoh kami. Temukanlah kami dengan pasangan yang soleh/solehah pada masa dan tempat yang sesuai. Ameen ya rab. Pada-Mu kami berharap.


~by: Ana AyuMe~



Friday, February 17, 2012

Dimensi Masa



Alhamdulillah, Syukur pada pencipta yang maha agung, yang masih memberikan ana kesempatan untuk terus bernafas di buminya. Terus menghirup udaranya. Malah memberikan ana kesempatan untuk terus menulis. Begitu pantas masa berlalu. Kadang-kadang ana rasa macam tak terkejar dek dimensi masa itu. Terfikir seketika. Jika ana duduk dan hanya memerhatikan masa yang berlalu apakah yang bisa berlaku? Macam mana ya ana boleh perhatikan masa, sebab masa itu bukan objek tapi ia adalah dimensi waktu. Kita menyedari perubahan yang berlaku sedang kita tidak dapat menyentuhnya. Suatu dimensi yang abstrak, konseptual atau dalam erti kata yang lain masa itu bukanlah bersifat konkrit. Walaupun masa itu tidak nampak secara konkrit oleh indera tapi kita menyedarinya bukan.

Anda nak tahu macam mana masa yang abstrak itu boleh dilihat secara konkrit? Caranya mudah sahaja. Setiap hari ana lakukannya. Sebab ia rutin harian ana apabila pergi dan balik dari kerja.. hehe.. Apabila kita menunggu bas di tepi jalan raya, kita akan lihat banyak kenderaan yang bergerak bukan? Kenderaan yang lalu di hadapan kita itu ibarat masa. Jika kita tidak memilih untuk menaiki salah satu kenderaan yang lalu itu, kita akan ketinggalan. Dan terus ketinggalan. Ditinggalkan oleh masa yang sentiasa bergerak. Jika anda memilih untuk menjadi penunggu yang tiada reaksi, maka masa itu tidak akan mempedulikan anda. Kesimpulannya kita yang akan rugi. Hargailah masa yang kita miliki sebaiknya, kerana bersama masa itu ada ruang dan peluang. Rebutlah kesempatan itu untuk mencari makna kehidupan. Bekalan dunia dan akhirat. Mencari redha Allah.

Orang Melayu kata masa itu umpama emas, sangat berharga. Orang cina kata masa itu umpama wang. Jika kamu gagal menggunakan masa dan peluang itu kamu akan rugi. Orang Arab kata masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu. Apa pula kata anda tentang masa? Bagi ana masa itu umpama CINTA. Kenapa ana katakan masa itu umpama cinta? Jika kita meletakkan cinta pada tempat yang salah kita akan derita. Jika kita meletakkan ia pada tempat yang sesuai kita akan gembira dan bahagia. Begitu juga dengan masa. Jika kita menggunakan masa dengan sebaiknya. Melakukan aktiviti yang berfaedah kitalah yang memperoleh manfaatnya. Jika kita membuang masa, kitalah yang akan derita di kemudian hari.

Teringat ana pada kuiz imam Al-Ghazali yang pernah suatu ketika dahulu ana baca. Dia bertanya anak muridnya apakah yang paling berharga dalam kehidupan manusia selain nikmat Islam? Maka jawabnya perkara yang paling berharga selain nikmat Islam adalah masa lalu. Kita tidak mampu membeli masa lalu. Walaupun dia seorang jutawan dia tidak boleh membeli masa lalu. Dia tidak mampu memutarkan masa yang berlalu kembali kepada waktu asalnya. Sebab masa itu sifatnya sentiasa berputar seiring gerakan bumi. Regulasi waktu, putaran siang malam itu akan terus berlaku sehingga hari pengakhiran yang ditetapkan Allah. Semuanya berlaku dengan izinnya. Subhanallah.

Sabda nabi, rebutlah 5 perkara sebelum tiba 5 perkara. Masa muda sebelum tua. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum miskin. Masa lapang sebelum sempit dan masa hidup sebelum mati (Diriwatkan oleh at-Tirmidzi dan muslim daripada Amru bin Maimun). Allah juga turut menekankan tentang pentingnya seorang muslim itu menjaga waktunya. Surah Al-‘Asr ayat 1 hingga 3. Allah bersumpah. “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. Muslim yang hebat adalah muslim yang istiqamah dalam menjaga waktunya. Melakukan perkara berfaedah untuk dirinya dan perjuangan ummah. Selamat beramal. Jzkk.. =)


~by: Ana AyuMe~