Wednesday, November 14, 2012

Monolog Sang Murabbi

Hujan renyai-renyai membasahi bumi. Menyegarkan pohonan yang dahagakan rintik hujan. Angin lembut menghembuskan alunannya. Menyegarkan suasana petang, menghasilkan rasa damai pada sekeping hati. Sedar tidak sedar.. tahun 1433 hijrah sudah di penghujungnya. Masuknya waktu maghrib tahun ini, bermakna tahun baru telah melabuhkan tirainya.  Peristiwa semalam telah menjadi catatan sejarah dalam kanvas kehidupan dan lukisan baru bakal di corak pada kembara kanvas masa depan. Ya Allah mudahkanlah perjalanan ini. Sesungguhnya aku tahu bahawa jalan menuju redhaMu ini tidak akan dihidangkan dengan permaidani merah mahupun sepatu cinderella.. Apa yang di depannya adalah gelombang cabaran yang menggoyangkan. Pengorbanan yang tidak mengenal erti putus asa dan kecewa. Aku hanyalah insan biasa yang cuba untuk menjadi rijal luar biasa dalam membangunkan ummah ini. Ya Allah mudahkanlah perjalanan ini. Tetapkanlah hati ini agar berada dalam barisan hambaMu yang berusaha mengembalikan kegemilangan Islam. Satukanlah hati-hati kami, pemikiran dan tindakan kami dalam menegakkan amanah syahadah yang kami pegang ini Ya Rab. Jika aku khilaf dalam mengatur langkah, menyusun ayunan rentak perjalanan ini. Tegurlah daku ya Allah. Sama ada  melalui tarbiyyah langsung dari Mu atau melalui insan-insan yang dekat dengan Mu ya Rab. Hanya Engkau Tuhan yang aku sembah, Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Pemberi Petunjuk. Mudahkanlah perjalanan ini. Ameen ya Rabbal Alamin. ..Menolog sekeping hati...
Mentari senja membenamkan cahaya jingganya di ufuk Barat. Azan Maghrib berkumandang di dada langit menandakan masuknya tahun baru. Terasa begitu pantas masa berlalu. Menurut hukum masa jika sesuatu tidak bergerak seiring detiknya ia bakal ditinggalkan oleh roda masa yang sentiasa berputar laju. Tiada siapa yang dapat menghentikan putarannya melainkan pemilik-Nya, Allah. Masa aku yang dulu dan hari ini terasa begitu berbeza. Sedangkan detik masanya sama dalam sehari. 86400 detik sehari, bersamaan 24 jam. Hakikat masa itu tidak berubah, yang berubah hanya aktiviti yang dilakukan untuk mengisi masa itu. Orang yang bosan atau sedih merasakan masa itu terlalu panjang. Sedangkan orang yang sibuk atau dalam emosi gembira pula merasakan masa itu terlalu pendek. Siapakah yang meletakkan neraca masa itu panjang dan pendek? Jawapan mudah. Tentulah orang yang berhadapan dengan masa itu sendiri bukan?
Masa seorang murabbi begitu berharga. Murabbi itu bukan membina bangunan kaku tapi membina insan bernama manusia. Sifatnya tidak kaku seperti batu mahupun konkrit. Mutarabbi itu sensitif sifatnya. Perlu disentuh dengan sentuhan seni. Perlu diadun dengan belaian kasih. Perlu disantuni dengan jiwa bersih. Memerlukan kesabaran tahap super maksima. Bukan mudah untuk menjadi murabbi berjiwa kental, berhati waja. Semuanya tidak mustahil dengan tarbiyyah yang terbina. Murabbi itu bukan menyuapkan mulut mutarabbi itu dengan hidangan ilmu enak yang hanya sedap dihidu atau dipandang mata. Ilmu yang dihidangkan itu perlu diadun dengan nilaian fikrah  dan amal. Perlu dihadam dan bergerak dalam seluruh urat nadi dan menjadi serasi dengan hati, akal dan jasad mutarabbi. Sebati dalam menghasilkan kualiti. Membina bukan atas dasar ilmu semata tapi berdasarkan rukun faham dan amal. Murabbi itu hadir untuk membentuk insan yang soleh wal muslih. Yang faham tentang tujuan penciptaannya. Yang tahu dia adalah abid dan khalifah di muka bumi Allah ini. Yang sentiasa mendokong perjuangan mengembalikan khilafah Islamiyyah. Yang berusaha mengembalikan Islam dipuncak rujukan. Agar ia kembali menjadi role order dunia. Menjadi rujukan seluruh alam (ustaziyatul alam).
Tanggungjawab murabbi bergelar daei’ itu besar, menggalas dakwah illallah. Mengajak manusia kepada mengesakan Allah.
“ Katakanlah, Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tiadalah termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yusuf: 108).
Membawa misi para rasul Allah. Menyeru manusia kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Apabila tugas yang digalas setanding misi para rasul, adakah amalnya sekadar cukup seperti orang biasa-biasa. Sepatutnya dia dengan Allah lebih dekat. Lebih dekat dia dengan manusia maka dia sepatutnya lebih dekat dengan Allah.
Berhadapan dengan insan bergelar manusia yang bermacam latar belakang, bermacam ragam dan personaliti memerlukan murabbi yang mampu beradaptasi. Beradaptasi dalam membentuk magnet. Insan magnet yang bersifat positif itu bukan sahaja boleh menarik orang yang memang sedia baik tetapi menarik orang yang sedang cuba menjadi baik dan sedia berubah. Umpama magnet.. Magnet yang positif akan menyediakan medan elektromagnetik yang sedia menarik perkara postif. Begitu juga dengan manusia bernama murabbi. Untuk menghasilkan daya tarikan positif, murabbi itu yang pertamanya perlu menjadi hamba kepada Allah dan khalifah kepada manusia. Tarbiyyah diri dan mentarbiyyah mutarabbi itu perlu seiring agar rantaian generasi pewaris syahadah itu terus teguh menyusun barisan rijal umpama al-Fateh dan Sallehuddin al-Ayubi. Jika itu misinya dan indikatornya. Insyaallah kita akan menang suatu hari nanti.
Wahai insan yang bergelar murabbi dalam arena tarbiyyah berwasilah usrah. Yakinlah bahawa yang memiliki hati manusia itu Allah. Yang memiliki hati dan jiwa kita ini Allah. Mendapatkan sesuatu yang datang dari Allah, kita kena kembali kepada Allah. Bersabarlah dalam membina mutarabbi yang diamanah Allah ini. Bajailah mereka dengan rasa izzah terhadap Islam. Jangan pernah rasa penat dan kecewa dalam perjalanan yang panjang ini. Ketahuilah bahawa sunnatullah penegak al haq (kebenaran) itu berliku dan penuh onak cabaran. Ketahuilah bahawa usaha  yang dilakukan itulah yang dinilai Allah bukan natijahnya.
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta mengerjakan amal soleh, sambil berkata, “sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri!” (Fussilat: 33)
Yakinlah janji Allah. Allah akan menghadiahkan tempat terbaik untuk hambanya yang berjuang untuk agamanya, yakni syurga yang penuh kenikmatan. Kenikmatan yang tidak sebanding dengan nikmat fatamorgana yang dikejar manusia wahan.. Muhasabah dalam memburu cinta Allah. =)

Nukilan
Ayume
1 Muharam 1434 H
15 Nov 2012