Tuesday, November 10, 2015

DIA YANG MENJAGA

“Eh, kerusi tu macam nak patah?”

“Mana?”

“Cuba tengok ni, kaki dia dah senget.”

“Aa.., betul la.”

“Sini, ayah betulkan.”

Pada wajah tua itu, terserlah peka sang ayah. Tak ingin puterinya cedera. Tak lupa ayah titipkan pesan, “jangan lupa bagi tahu pihak pengurusan pusat latihan ni untuk tukar kerusi baru.”

“Ya! Ayah.”

Terkenang Aina akan pesan ayahnya 3 hari lepas. 3 hari lepas Aina hadiri bengkel di pusat latihan. Alhamdulillah selesai sudah bengkel penyelidikan. Maka menjadi tugas seorang pembantu penyelidik (RA) membumikan hasil bengkel dalam bentuk dokumentasi.

*********************************************************************************
Cuti umum atau tidak sama sahaja bagi seorang RA. Kerja tak kira masa. Asal ada mood komputer Aina pasti menyala. Petang ni Aina rancang nak siapkan analisis semalam yang masih berbaki. Perut mula menyanyi irama keroncong. Sebelum perut  bertukar irama rancak, Aina mencapai selipar lalu melangkah ke dapur. Aina tengok di atas meja banyak makanan. Pelik! Housemate rasanya belum masak. Lupa pula pagi tadi ada program. Patutlah banyak makanan. Elak membazir maka di bawa balik lah semua makanan ke rumah bujang kami. Ada habuan untuk dijamah. Alhamdulillah, rezeki bihun goreng. Sedap ke, tak sedap ke perkara nombor dua. Apa yang penting perut terisi. Aina bermonolong sendirian.

Bihun goreng Aina tambah 2 kali. Menyelerakan di kala hujan membasah bumi.

“Akak buat apa tu? Makan seorang je ke?” 

Aina senyum je. Sudah terang lagi bersuluh. Masa kan ada orang lain kalau di meja makan tu dia seorang je. Bicara Aina dalam hati. Adik serumah Aina cuba berbasa basi.

“Dah makan?” , tanya Aina pada Lia.

“Kalau belum, jom teman akak makan. Tak baik membazir makanan.”

Lalu ditarik kerusi sebelah Aina kemudian Lia menceduk bihun ke dalam pinggan.

Aina tengok muka Lia berkerut-kerut sambil badan membongkok dan tangan memengang perut.

“Kenapa tak sihat ke?”

Senggugut, katanya. Perkara biasa bagi seorang perempuan. Dalam sebulan ada lah hari ABC. Allah bagi cuti.

“Lia dah tengok mesej dekat group whatapps usrah kita?”

“Belum. Ada apa kak?”

“Kak Ain bagi tahu dia tak jadi pergi program malam ni. Dia tanya nak jumpa tak?

“Boleh je. Akak dah respon?”

“Belum. Kan Lia tak berapa sihat?”

“In sya Allah, Ok.”

“Akak tak ada mood nak ke usrah hari ni. Sakit kepala.”

Dalam sebulan memang ada hari yang mood Aina jadi tak berapa stabil, PMS. Time ni perangai dia pelik sikit. Sensitif dan emosi tak menentu. Kadang suka buat decision ikut perasaan. Nampak macam senang tapi sememangnya tak mudah nak kawal emosi dan perasaan apabila hormon dalam kondisi tidak stabil. Setiap orang berbeza simptom nya. Time ni kalau aina cakap dia tak nak buat sesuatu tu, dia tak akan buat. Erti kata lain tak makan saman, tak makan pujuk. Susah nak rasional dan suka buat tindakan ikut emosi.

“Lia nak pergi juga ke?."

"Insyaallah. Yang penting kita katakan ya dulu. Kita usahakan sehabis upaya. Selebihnya kita serahkan pada Allah. Hanya dia yang tahu.”

“Ala.. Kalau majoriti respon ok, usrah on.”

“Akak tak ada mood la. Tambah sakit kepala. Kalau pergi pun tak boleh bagi perhatian. Kalau usrah jadi pun malam ni akak tak nak pergi.”

“Ikut suka akak lah. Akak bagi tahu sendiri dekat kak Ain, ya.”

“Ye, lah.”

Aina habiskan suapan terakhir. Selesai basuh pinggan Aina mendaki tangga menuju bilik tidur di tingkat atas.  Sambil menapaki tangga, fikirannya ligat memikirkan apa yang nak dibuat selepas ni. Pelan tindakan dirangka-rangka di kotak minda. Pertamanya nak sambung kerja analisis data semalam.

*********************************************************************************
Pintu bilik dikuak perlahan.  Dicapainya komputer riba di lantai lalu dialih ke meja studi di dalam bilik.  

“Aduh!, sakitnya.”

Sempat Aina menampan tangan ke lantai. Nasib baik tak cedera. Kerusi yang Aina duduk satu kakinya patah. Yang peliknya kerusi tu kerusi besi. Bila lah pula patah. Aina mengomel di dalam hati. Ketika tu Aina teringat pesan ayahnya 3 hari lalu, supaya maklum kepada pentadbiran pusat latihan supaya tukarkan kerusi.

Sebenarnya Aina tak maklumkan kepada pusat latihan tersebut untuk berbuat demikian. Setiap kali duduk di kerusi tersebut Aina berdoa, moga Allah menjaganya. Alhamdulillah. Di sana tak berlaku apa-apa. Tapi nak dijadikan cerita memang ditakdirkan Aina tetap akan jatuh kerusi. Cuma lokasinya sekarang bukan di pusat latihan tetapi di rumah sewa. Aina senyum sendiri. Dikatakan pada diri sesungguhnya hanya Allah yang menjaganya. Alhamdulillah tak cedera tapi peringatan sayang dari Allah untuknya.

Usrah malam tersebut memang batal. Naqibahnya kak Ain, izinkan mereka berehat setelah setengah hari berprogram dan seharian menyiapkan persiapan. Tapi sakit di lengan Aina masih berbekas. Bukan berbekas kerana luka tapi berbekas di sanubari. Kesakitan kecil ini peringatan kasih sayang Allah untuknya. Setiap kali Aina nak buat hal je, Allah selalu memberikan peringatan mesra agar dia kembali mendekatinya. Bermuhasabah dan beristigfar mengingatinya.

Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan Jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” 
(Yunus 10:107)

Tika aku hampir menjauh
Dia menarik aku datang dekat
Lalu aku dibiar rasa sakit
Digugah dari langkah selesa
Diketuk pintu muhasabah

Semalam aku hampir rebah
Dia sambut aku dengan kaseh
Dia belai aku dengan mahabbah
Lalu detik itu aku temui hikmah

Tika aku rasa lelah
Langkah aku kian lemah
Jiwa aku jadi resah
Lalu Dia datang
Datang memberi cahaya tenang

Dia titip pesanan cinta
Kadang melalui bicara sang ukhti
Kadang tika ku selak lembar qurani
Pengubat jiwa, pembasah ruhi

Gelora semalam kembali tenang
Dia beri aku pesan penuh kelembutan
Dia beri aku jalan kebijaksanaan
Dia beri aku semangat dan kekuatan

Kerna apa?
Kerna Dia yang menjaga.

Ayume
Teratak Sakeenah
10 November 2015


Moga Allah terus membimbing kita menuju redhanya. Hanya kepada Mu kami berharap. Allah penjaga langit dan bumi serta isinya. Allah Maha Kuasa menyusun pergiliran siang dan malam. Allah Maha Kuasa menjaga setiap sesuatu. Setiap daun yang jatuh ke bumi pun Allah Maha tahu inikan pula apa yang berlaku kepada hambanya.

#Feeling muhasabah

#Janganlupabacamathuratpagi&petang