Tuesday, November 10, 2015

DIA YANG MENJAGA

“Eh, kerusi tu macam nak patah?”

“Mana?”

“Cuba tengok ni, kaki dia dah senget.”

“Aa.., betul la.”

“Sini, ayah betulkan.”

Pada wajah tua itu, terserlah peka sang ayah. Tak ingin puterinya cedera. Tak lupa ayah titipkan pesan, “jangan lupa bagi tahu pihak pengurusan pusat latihan ni untuk tukar kerusi baru.”

“Ya! Ayah.”

Terkenang Aina akan pesan ayahnya 3 hari lepas. 3 hari lepas Aina hadiri bengkel di pusat latihan. Alhamdulillah selesai sudah bengkel penyelidikan. Maka menjadi tugas seorang pembantu penyelidik (RA) membumikan hasil bengkel dalam bentuk dokumentasi.

*********************************************************************************
Cuti umum atau tidak sama sahaja bagi seorang RA. Kerja tak kira masa. Asal ada mood komputer Aina pasti menyala. Petang ni Aina rancang nak siapkan analisis semalam yang masih berbaki. Perut mula menyanyi irama keroncong. Sebelum perut  bertukar irama rancak, Aina mencapai selipar lalu melangkah ke dapur. Aina tengok di atas meja banyak makanan. Pelik! Housemate rasanya belum masak. Lupa pula pagi tadi ada program. Patutlah banyak makanan. Elak membazir maka di bawa balik lah semua makanan ke rumah bujang kami. Ada habuan untuk dijamah. Alhamdulillah, rezeki bihun goreng. Sedap ke, tak sedap ke perkara nombor dua. Apa yang penting perut terisi. Aina bermonolong sendirian.

Bihun goreng Aina tambah 2 kali. Menyelerakan di kala hujan membasah bumi.

“Akak buat apa tu? Makan seorang je ke?” 

Aina senyum je. Sudah terang lagi bersuluh. Masa kan ada orang lain kalau di meja makan tu dia seorang je. Bicara Aina dalam hati. Adik serumah Aina cuba berbasa basi.

“Dah makan?” , tanya Aina pada Lia.

“Kalau belum, jom teman akak makan. Tak baik membazir makanan.”

Lalu ditarik kerusi sebelah Aina kemudian Lia menceduk bihun ke dalam pinggan.

Aina tengok muka Lia berkerut-kerut sambil badan membongkok dan tangan memengang perut.

“Kenapa tak sihat ke?”

Senggugut, katanya. Perkara biasa bagi seorang perempuan. Dalam sebulan ada lah hari ABC. Allah bagi cuti.

“Lia dah tengok mesej dekat group whatapps usrah kita?”

“Belum. Ada apa kak?”

“Kak Ain bagi tahu dia tak jadi pergi program malam ni. Dia tanya nak jumpa tak?

“Boleh je. Akak dah respon?”

“Belum. Kan Lia tak berapa sihat?”

“In sya Allah, Ok.”

“Akak tak ada mood nak ke usrah hari ni. Sakit kepala.”

Dalam sebulan memang ada hari yang mood Aina jadi tak berapa stabil, PMS. Time ni perangai dia pelik sikit. Sensitif dan emosi tak menentu. Kadang suka buat decision ikut perasaan. Nampak macam senang tapi sememangnya tak mudah nak kawal emosi dan perasaan apabila hormon dalam kondisi tidak stabil. Setiap orang berbeza simptom nya. Time ni kalau aina cakap dia tak nak buat sesuatu tu, dia tak akan buat. Erti kata lain tak makan saman, tak makan pujuk. Susah nak rasional dan suka buat tindakan ikut emosi.

“Lia nak pergi juga ke?."

"Insyaallah. Yang penting kita katakan ya dulu. Kita usahakan sehabis upaya. Selebihnya kita serahkan pada Allah. Hanya dia yang tahu.”

“Ala.. Kalau majoriti respon ok, usrah on.”

“Akak tak ada mood la. Tambah sakit kepala. Kalau pergi pun tak boleh bagi perhatian. Kalau usrah jadi pun malam ni akak tak nak pergi.”

“Ikut suka akak lah. Akak bagi tahu sendiri dekat kak Ain, ya.”

“Ye, lah.”

Aina habiskan suapan terakhir. Selesai basuh pinggan Aina mendaki tangga menuju bilik tidur di tingkat atas.  Sambil menapaki tangga, fikirannya ligat memikirkan apa yang nak dibuat selepas ni. Pelan tindakan dirangka-rangka di kotak minda. Pertamanya nak sambung kerja analisis data semalam.

*********************************************************************************
Pintu bilik dikuak perlahan.  Dicapainya komputer riba di lantai lalu dialih ke meja studi di dalam bilik.  

“Aduh!, sakitnya.”

Sempat Aina menampan tangan ke lantai. Nasib baik tak cedera. Kerusi yang Aina duduk satu kakinya patah. Yang peliknya kerusi tu kerusi besi. Bila lah pula patah. Aina mengomel di dalam hati. Ketika tu Aina teringat pesan ayahnya 3 hari lalu, supaya maklum kepada pentadbiran pusat latihan supaya tukarkan kerusi.

Sebenarnya Aina tak maklumkan kepada pusat latihan tersebut untuk berbuat demikian. Setiap kali duduk di kerusi tersebut Aina berdoa, moga Allah menjaganya. Alhamdulillah. Di sana tak berlaku apa-apa. Tapi nak dijadikan cerita memang ditakdirkan Aina tetap akan jatuh kerusi. Cuma lokasinya sekarang bukan di pusat latihan tetapi di rumah sewa. Aina senyum sendiri. Dikatakan pada diri sesungguhnya hanya Allah yang menjaganya. Alhamdulillah tak cedera tapi peringatan sayang dari Allah untuknya.

Usrah malam tersebut memang batal. Naqibahnya kak Ain, izinkan mereka berehat setelah setengah hari berprogram dan seharian menyiapkan persiapan. Tapi sakit di lengan Aina masih berbekas. Bukan berbekas kerana luka tapi berbekas di sanubari. Kesakitan kecil ini peringatan kasih sayang Allah untuknya. Setiap kali Aina nak buat hal je, Allah selalu memberikan peringatan mesra agar dia kembali mendekatinya. Bermuhasabah dan beristigfar mengingatinya.

Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan Jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” 
(Yunus 10:107)

Tika aku hampir menjauh
Dia menarik aku datang dekat
Lalu aku dibiar rasa sakit
Digugah dari langkah selesa
Diketuk pintu muhasabah

Semalam aku hampir rebah
Dia sambut aku dengan kaseh
Dia belai aku dengan mahabbah
Lalu detik itu aku temui hikmah

Tika aku rasa lelah
Langkah aku kian lemah
Jiwa aku jadi resah
Lalu Dia datang
Datang memberi cahaya tenang

Dia titip pesanan cinta
Kadang melalui bicara sang ukhti
Kadang tika ku selak lembar qurani
Pengubat jiwa, pembasah ruhi

Gelora semalam kembali tenang
Dia beri aku pesan penuh kelembutan
Dia beri aku jalan kebijaksanaan
Dia beri aku semangat dan kekuatan

Kerna apa?
Kerna Dia yang menjaga.

Ayume
Teratak Sakeenah
10 November 2015


Moga Allah terus membimbing kita menuju redhanya. Hanya kepada Mu kami berharap. Allah penjaga langit dan bumi serta isinya. Allah Maha Kuasa menyusun pergiliran siang dan malam. Allah Maha Kuasa menjaga setiap sesuatu. Setiap daun yang jatuh ke bumi pun Allah Maha tahu inikan pula apa yang berlaku kepada hambanya.

#Feeling muhasabah

#Janganlupabacamathuratpagi&petang

Tuesday, August 20, 2013

SEBIJI GELAS DI KAKI



Sudah lama jari kecil ini tidak menari di papan keybord meng ‘update’ blog. Ku kira hampir 9 bulan. Kalau ibu mengandung pun ku kira sudah melahirkan mujahid atau mujahidahnya. Mengulum senyum sendiri. Alasan tidak mengupdate blog. Bussy.. Bussy.. Malu pula rasanya menyatakan kesibukan jika masa yang ada itu sepatutnya bisa digunakan untuk perkongsian yang bermanfaat. Ku cuba azam kali ini untuk tidak menjadi ‘sibuk’ itu sebagai alasan. Tidak salah mencuri sedikit masa untuk memberi perkongsian yang bermanfaat. Menasihati orang lain bermakna menasihati diri sendiri =) Hari ni ana nak share dengan teman-teman kisah ‘Sebiji Gelas di Kaki’. Moga ia bisa menghadirkan hikmah pada insan yang membacanya.

*****************************************************************

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. Sedih.. Tapi ia tetap kan pergi. Itulah sunatullah putaran waktu yang sentiasa silih berputar. Syawal pula hadir menggantikan Ramadhan.

"Pejam celik.. Pejam celik hari ini sudah 13 Syawal 1434 H,” Aina bermonolog sendirian sambil mengenangkan peristiwa pagi tadi.Tersenyum dalam kesakitan. Sakit yang membawa dua makna. Ingatannya ligat mengimbas kembali peristiwa yang berlaku awal pagi tadi.

Cuaca pagi memang enak menarik selimut tebal walaupun tidurnya hanyalah beralaskan carpet. Rumah bujang katakan. Aina terjaga dari dibuai lena. Jam di dinding menunjukkan pukul 5.30 pagi. Jam itu 10 minit awal. Jadi masa sebenar ketika itu adalah 5.20 pagi. Kekuatan niatnya sebelum tidur semalam membangkitkan dia dari terus dibuai lena. Sebelum tidur Aina telah berniat bahawa dia akan bangun awal esok untuk bersahur. Niat di hati hendak berpuasa. Ketika itu mata pastinya telah terbuka tetapi selimut ditarik erat. Mata dibuka sedetik.. dua detik.. tiga detik.. Masa itu diambil untuk melafaskan niat. Lalu mata yang celik itu cuba dipejam semula. Bermalas-malas untuk bangun sahur. Lima minit kemudian.. Kemalasan itu berjaya dipecahkan..Mata yang cuba dipejam itu kembali dibuka.

“ Kak! Kak! Bangun sahur”. Ada sentuhan dan suara yang menggegarkan tidurnya.

Seminit.. Dua minit.. Tangannya menarik selimut lalu bangun bersila. Mata dihalakan ke tandas. Pintu tertutup rapat. Tandas bercahaya. Maknanya ada orang. Aina melangkah berat mendaki tangga ke master bedroom di tingkat atas. Di situ juga ada tandas. Pintu tandas master bedroom itu dikuak perlahan. Air paip di sinki mengalir perlahan. Air yang sejuk itu menjamah muka. Mata yang kuyu dimamai tidur itu kecelikan. Segar. Merangsang otot tubuh yang longlai kembali aktif. Tangga dituruni pantas dan menghala ke meja makan.

Lauk ayam masak kicap semalam masih ada. Lalu tiga sahabat serumah itu menjamah roti gardenia dengan ayam masak kicap. Resepi baru atau menelan sahaja apa yang ada? Semua bersahur ala kadar. Cukup mengalas perut untuk berpuasa hari itu. Pagi ini Aina terasa ingin minum kopi. Lalu dia membancuh kopi dalam sebiji mug hijau yang dicapainya dari rak. Dibancuhnya air kopi itu laju-laju. Mengejar masa. Sebelum azan subuh pagi itu dilaungkan. Keladak kopi di mug masih berbaki. Lalu dia bangun dari meja makan menghala ke filter air untuk mengisi air masak. Mengalas tekak fikirnya.

Selangkah.. dua langkah.. tiga langkah. Langkah yang ketiga itu menghadir dua bunyi.

"Aduh!"

Gebuk! Gede.. gede..! 

Seperti suatu benda terjatuh lalu bergolek. Dua teman yang hendak bersiap-siap mengambil wuduk itu lalu menoleh ke arah Aina. Pandangan itu dibalas dengan senyum menyeringai kesakitan. 

"Pecah tak gelas tu! ",  si teman bertanya.

“Gelas pula yang ditanyanya pecah ke tak? Bukan kaki yang ditanya cedera ke tak?”, Aina membalas dengan respon spontannya ketika itu.

Temannya hanya tersenyum bersalah.

" Ok tak Kak?"  

Ok, Sakit sikit je”. Aina cuba control kesakitan dengan mempositifkan ayatnya walhal sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Gelas terhempas di atas kuku di ibu jari. Bayangkan. Kebas seketika. Rasa macam sakit gigi. Berdengut.. denyut.. Tak berdarah luar tapi kuku kakinya dah sedikit berwarna hitam. Tandanya ada darah beku di situ. Mana mungkin darah mengalir keluar kalau yang kena itu ditengah kuku.

Niat untuk sambung mengambil wuduk itu terhenti. Aina melangkah ke ruang tamu sambil menjingkitkan kakinya. Dia berbaring seketika di situ sambil tangannya memengang ibu jari kaki tadi. Menahan sakit dan kebas yang masih belum hilang. Niat untuk solat sunat sebelum azan subuh tergendala. Angkara insiden kecil yang berlalu di dapur tadi. Dia melirik melihat teman serumahnya Shila menunaikan solat sunat. Kelihatan khusyuk.. Matanya hanya berkelip-kelip memandang. Apabila kesakitan tadi sedikit reda dia menggagahkan diri mengambil wuduk untuk menunaikan solat subuh berjemaah dengan teman-temannya pagi itu.

Solat sunat qabliah subuh pagi itu dilaksanakan dengan kepayahan khususnya ketika hendak duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir. Kebetulan kedudukan Aina tengah antara dua teman. Dikuatkan diri untuk menjadi imam subuh pagi itu. Alhamdulillah kekuatan milik Allah. Setelah selesai solat subuh Aina dan teman-temannya duduk bersama membaca mathurat. Zikir pembuka aktiviti harian. Menenangkan jiwa kehambaan.

Doa rabitah pagi itu dibaca dengan perasan sedih. Touching je.. Entah mengapa hari ini Aina berasa sedih. Perasaan yang dia sendiri tidak fahami. Bukan disebabkan sakitnya kaki ditimpa mug. Bukan.. Selesai membaca doa rabitah seperti biasa mereka saling bersalaman. Kekuatan ukhwah yang terbina menyebabkan mereka saling berkasih sayang kerana Allah. Umat Islam itu bersaudara dalam kalimah “lailahaillah muhammadar rasulullah”. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Aina mencari ubat penenang jiwa. Kalam Al-Quran itu dicapai di meja studinya. Bacaan ayat suci Al-Quran pagi ini benar-benar menyentuh jiwa Aina. Dia sebak dalam sendu. Ayat pembukanya pagi ini surah Al-Hujurat. Surah yang temanya adalah ukhuwah. Makin dibaca makin sebak rasanya. Kalam Allah menyentuh hati nuraninya. Pada ketika itu dia membaca ayat al-Quran sebelum mentadabur maknanya. Hatinya seolah-olah berbicara merasakan ruh yang berlagu dalam kalimah suci itu. Bila ayat itu ditadabur. Makin berderai air matanya. Fikirannya mula menerawang mengingatkan keadaan saudara syahadahnya di Mesir, Syria dan Palestin. Apa khabar mereka? Pagi ini dia masih dapat bersahur dua keping roti dan segelas kopi. Bagaimana keadaan mereka. Makankah mereka? Minumkah mereka? Di mana mereka berteduh? Cukupkah ubat-ubatan mereka? Apa yang sedang mereka lakukan? Kenapa saudaraku di sana diperlaku sebegitu zalim? Terbayang gambaran-gambaran kekejaman yang dilakukan pada saudaraku di sana. Dia bermonolog sendirian. Derai air mata makin deras melaju.. Banjir di pagi hari menyuburkan taman jiwa. Muhasabah dalam mencari cinta Allah. Aina makin memahami lafaz “ukhuwah fillah” yang dilafaskan oleh teman-teman usrah sebelum ini setelah membaca buku “Dalam Dakapan Ukhuwah”, tulisan Salim A. Fillah. Buku yang mencerahkan kefahamannya tentang ukhuwah dan menyuburkan benih takwa sang hamba. 

Aina sebelum membaca surah Al-hujurat turut mentadabur makna surah Al Fath pada ayat akhirnya. Ayat 29 yang berbunyi..  

Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras kepada orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaannya…...

Al Hujurat ayat 6 
Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, telitilah kebenarannya.

 * Telitilah dengan mata fikrah imaniyah. Dalam konteks kita media massa kini. Pilihlah sumber maklumat yang sahih jika kita ingin mengetahui isu-isu semasa ummah kini.

Al Hujurat ayat 9 dan 10 
Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perengailah(golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah... 

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.

Aina menyambung bacaan kalimah suci itu dalam sendu. Surah Qaf dan Az-Zariyat dibaca dan ditadabur maknanya. Pagi itu dirasa tenang dan damai.

Qaf ayat 16
Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami dekat kepadanya daripada urat lehernya.

Az-Zariyat ayat 56.
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-ku.

***************************************************************** 
Aina tersedar dari lamunan. Dia tadi hanyut dalam imbasan kembali peristiwa yang berlaku pagi tadi. Dia merasa syukur dengan nikmat kesakitan yang Allah berikan kerana kesakitan itulah yang mengingatkan kesakitan yang di rasai oleh saudaranya di Mesir, Syria, Palestin dan seluruh dunia. Kesakitan yang kecil itu telah berjaya trigger perasaannya pada kesakitan ummah ini. Hanya kerana hentakan sebiji mug pada kakinya. Kelihatan kecil tetapi impaknya besar pada diri Aina. Keadaan itu membuatkan dia tersentak dari zon selesa hidupnya.. Buat dia banyak mengingati Allah. Menjadikan dia lebih bersyukur, banyak beristigfar dan berdoa untuk saudaranya.

*******************************************************************
Moga kisah Aina yang ana kongsikan itu bisa menjadi bahan muhasabah kita semua. Insyaallah. Moga hikmahnya tersirna dari celahan kisahnya. Marilah kita sama-sama lebih cakna akan isu ummah. Banyakkan membaca doa qunut Nazilah. Banyakkan berdoa kepada Allah agar kemenangan itu tiba. Di sebalik kesukaran itu pasti ada kemudahan. Di sebalik kesukaran itu pasti ada kemudahan. Janji Allah dalam surah al-Insyirah. Yang penting kita sama-sama berusaha apa yang termampu.. Sejarah telah membuktikan bahawa dari halangan dan dugaan itu akan hadir kemenangan yang besar. Ini sifir kemenangan Islam. Sifir percaturan Allah dalam lukisan sunatullah.

Firaun telah membunuh 10 000 ahli sihir yang beriman dan semua anak lelaki bani Israel sebelum Allah tenggelamkan semua taghut di laut. Tentera salib membunuh 70 000 penduduk baitulmaqdis sebelum Allah keluarkan Salahuddin al Ayubi dari Mesir dan menghancurkan tentera Salib di Hittin. Tentera Monggol membunuh sejuta penduduk Baghdad dan 10 juta di tempat lain, sebelum Allah keluarkan Saifudin Qutuz dari Mesir untuk menghancurkan tentera Moggol di Ain Jalut.

Tadbir! Allahuakhbar!! 

Jika kita berbicara solat ummah ini. Kita sepatutnya merasakan denyut nadi ummah ini. Kesakitan ummah ini kesakitan kita, kezaliman terhadap ummah ini adalah kezaliman kepada kita kerna kita semua 1. Bersatu dalam syahadah yang sama. Umpama kesan darah beku pada kuku kaki aina hasil hentakan mug pada kakinya itu hanya bersifat luaran. Hitam pada kuku kakinya. Tetapi didalamnya ada luka dan darah. Begitu juga dengan ummat ini. Dilihat luaran cedera fizikal ummah di sana tapi kita sepatutnya merasakan luka yang dalam itu. Luka emosi kerana keadilan itu dikhianati. Kerana saudara kita diratah golongan tentera bersekutu dengan manusia yang sudah hilang nilai kemanusiaan, yang sudah hilang fitrah insan yang bertuhankan kesombongan. Mereka lupa sifat sombong dan zalim itu jugalah yang telah menjauhkan iblis dan firaun dari pintu hidayah dan redha Allah. Marilah kita bersama-sama merenung dan bermuhasabah dalam mencari redha Allah. Ku akhiri perkongsian ini dengan beristigfar pada Allah. Sesungguhnya yang hebat itu Allah dan yang kurang itu dating dari kelemahan ana sebagai insan biasa. Kalian bisa membaca tapi buah hikmah itu akan bermula dengan amal atau tindakan masing-masing. Selamat beramal. =)






 Nukilan
Ana Ayume
18 Ogos 2013.