Sunday, January 31, 2010

JADILAH UMPAMA POHON YANG RENDANG BERBUAH LEBAT


Dari benih yang berkualiti ia bercambah menjadi anak pokok yang subur. Anak benih itu ditanam di suatu dataran yang luas lagi subur. Air, cahaya matahari diperoleh secukupnya. Dari tunas yang kecil ia tumbuh menjadi anak pokok yang kini miliki cabang dan berdaun hijau. Anak pokok sudah mampu membuat makanan sendiri. Matahari yang memancar terik dijana menjadi sumber tenaga dan nutrien pada anak pokok. Makanan mula disentesis melalui proses fotosintesis. Hari demi hari anak pokok yang kecil itu membesar dan menjadi sebuah pohon yang rendang. Mendamaikan pada mata yang memandang.

Pohon itu semakin matang. Ia mula mengeluarkan hasil. Buahnya lebat dan manis isinya. Pohon itu bukan sahaja mampu mengeluarkan buah yang manis malah ia juga mampu menjadi tempat berteduh pengembara yang sesat di perjalanan. Akarnya teguh dan tak mampu digoyah walaupun angin bertiup kencang. Burung-burung berkicau riang menghargai anugerah alam. Pohon itu juga mampu membebaskan oksigen yang sangat diperlukan manusia dan menyerap gas karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia dan haiwan. Berlakulah suatu kitaran yang saling memerlukan antara manusia dan alam. Tidak pernah mengharap tapi sentiasa memberi demi redha ilahi. Ketahuilah kalian kita adalah anak benih itu.

Adakah anda ingin menjadi seperti pohon yang rendang dan berbuah lebat itu atau pohon kering yang hanya menunggu masa untuk mati tanpa tahu erti berbakti dan menghargai? Jadilah manusia yang mampu berdikari, sedia berbakti dan teguh pendirian diri (agama). Tak mudah goyah walaupun cabaran kuat menduga. Kutiplah sebanyak mana ilmu dan pengalaman di sepanjang perjalanan waktu. Setiap sesuatu pasti ada hikmah yang tertentu. Belajarlah dari pengalaman tak kira ia manis untuk dinikmati atau pahit untuk ditelan, yang pasti ia mampu mendewasakan jiwa-jiwa manusia. Hargailah hidup ini kerana setiap daripada kita ada potensi yang tersendiri.Telitilah ia dan kau pasti mengerti misterinya hidup ini. Subhanallah..

Nukilan: Ayume [12.30 am, 30 Januari 2010]

No comments:

Post a Comment