Thursday, February 18, 2010

5 SYARAT MELAKUKAN MAKSIAT ?

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, " Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar melakukan maksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, " Jika kamu mahu menerima 5 syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh melakukan maksiat."

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, " Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, " syarat pertama, jika kamu melakukan maksiat pada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar jawapan tersebut lelaki itu lalu mengangkat keningnya seraya berkata, " Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? " "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. " Kalau kamu sudah memahaminya, masih wajarkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

Syarat kedua kata Ibrahim, " Jika kamu masih mahu melakukan maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuatkan lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, " Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan_Nya?" "Ya! Anda benar", kata lelaki itu.

Lelaki tersebut kemudiannya, bertanya pula syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau, kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, apakah ini suatu nasihat? Mana mungkin Allah tidak dapat melihat kita?" "Ya, jika kamu memang yakin bahawa Allah Maha melihat, apakah kamu masih berkeinginan malakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkannya, " Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku, kerana aku belum bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" "Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaiman engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya." Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak akan membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim,. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah," katanya sambil teresak-esak.
Renung-renungkanlah..


By: Ana AyuMe

No comments:

Post a Comment