Sunday, March 21, 2010

MUHASABAH SEORANG MUKMIN


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku bersyukur ke hadrat Mu ya, Allah, kerna Kau bukakan hati ini untuk melihat realiti dunia Islam Apabila aku ketahui tentang kebenaran, tentang apa yang terjadi pada dunia Islam kini, hati ini nanar. Sakit dan teramat sakit. Tak mampu aku ungkapkan dengan kata-kata. Selama ini aku tidak sedar tentang apa yang berlaku di persekitaranku. Aku telah menzalimi diri sendiri. Aku pentingkan diri sendiri. Aku fikir jika aku boleh hidup aman, bebas dari peperangan itu cukup untuk aku. Aku tidak pernah fikir penderitaan umat Islam yang lain. Aku tak pernah risau tentang ancaman terhadap agamaku, Islam.

Kini aku semakin sedar, aku tahu siapa aku. Aku hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Aku tidak sanggup melihat umat Islam derita. Aku tak sanggup melihat saudara seagamaku terus tertindas dan diperlakukan sesuka hati. Bahang peperangan semakin aku rasai. Aku kian sedar bahawa aku kini bukan berada pada zon aman tapi sebenarnya aku sedang berada pada suatu medan perang. Aku mesti sedia dan berani dalam menegakkan agamaMu ya Allah. Jihad demi redha-Mu. Kurniakanlah aku kekuatan dalam menhadapi semua ini, ya Allah. Hanya padaMu aku berserah. Medan peperangan ini walaupun bukan menggunakan tentera-tentera berkuda seperti zaman rasulullah dan para sahabat tetapi ia memerlukan kekuatan mental dan kecerdasan intelektual. Perang kini bersifat serangan teknologi dan pemikiran. Bagiku ianya amat bahaya berbanding serangan fizikal. Menyusup secara halus.

Sebuah gunung jika ditarah setiap hari pasti gondol. Percayakah kalian jika aku katakan iman kita juga begitu. Jika kita tak bina benteng untuk menyelamatkan iman kita ia pasti menjadi seperti gunung yang gondol dan gersang itu. Saban hari tentera iblis melakukan pelbagai cara untuk memesongkan kita, sama ada melalui tenteranya yang terdiri daripada syaitan, jin mahupun manusia yang bertopengkan syaitan. Sedarkah kita teman-teman? Dari perkara sekecil zarah itu mereka berusaha menjadikan ia sebesar atom sehinggalah sebesar galaksi ini sekalipun. Pernahkah kita sedar teman-teman? Kita benar-benar dalam ancaman. Jika kita gagal menundukkan nafsu yang wujud secara semulajadi dalam diri kita ini, maka kita akan dipandu pula oleh nafsu dan bisikan syaitan. Mereka tidak mampu menghumban kita ke neraka tapi mereka mampu membisikkan kita dengan bisikan yang melalaikan dan melupakan kita dari tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Mereka mempunyai misi yang besar iaitu menjadikan umat Islam teman penghuni neraka bersama mereka. Mahukah anda menjadi sebahagian daripada perencana misi mereka? Saya percaya anda akan mengatakan tidak, tapi pernahkan anda bermuhasabah diri, benarkah anda bukan pengikut mereka? Benarkah cara hidup kita hari ini benar-benar mengikut al-Quran dan al-Sunnah? Sedar atau tidak hidup kita ini dipenuhi dengan zon-zon kelabu. Putih itu zon mukmin dan hitam itu zon kafir. Jika kelabu bermakna kita berada di tengah-tengahnyanya. Antara Islam dan kafir. Bila-bila masa boleh tertarik ke zon hitam. Jika beralih ke zon putih alhamdulillah, jika ke zon hitam nauzubillah. Semoga Allah menjauhkan kita dari segala bentuk kesesatan. Mereka tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak adam walaupun sesaat hinggalah hari kiamat. Mereka melupakan kita bahawa akan wujud satu hari yakni hari pertemuan manusia dengan pencipta-Nya. Segala amal akan dihitung. Segala kebaikan akan diberi balasan dan segala keburukan juga akan diberi balasan setimpal dengannya. Pada hari itu tiada sesiapa yang dapat membantu kita. Hanya amal menjadi saksi ketaatan kita pada pencipta. Mulut terkunci mati.

Perkara batil dilihat sebagai sesuatu yang hak. Kebatilan yang tersusun bisa mengalahkan kebenaran yang berselerak. Pernahkah anda berfikir tentang ini? Yang batil itu dilihat sebagai yang betul dan yang hak itu dilihat sebagai sesuatu yang salah. Mereka berjaya menghuru-harakan persepsi manusia melalui media massa dan media elektronik yang dikawal oleh mereka. Dunia kini dipenuhi dengan pelbagai sandiwara. Banyak boneka-boneka iblis berdiri megah kononnya memperjuangkan keadilan. Merekalah polis dunia. Mereka bongkak dan mengatakan merekalah yang berkuasa. Mereka berselindung disebalik tembok-tembok maya yang mereka cipta. Mereka berjaya membutakan mata dan hati umat manusia supaya sibuk mengejar material. Pernahkan kita fahami dengan hati isi yang terkandung dalam al-Quran? Sesungguhnya ia petunjuk yang nyata. Mukjizat agung untuk umat Muhammad. Jika kita selami sirah nabi terdahulu telah berlaku peristiwa yang sama, maka Allah membinasakan mereka kerana kekufuran mereka. Umat nabi Musa dan nabi Lut yang yang kufur telah dimusnahkan oleh Allah sebagai balasan di atas kekufuran mereka. Sesungguhnya terdapat pengajaran yang nyata dalam al-Quran itu. Pernahkah kita menjadikannya sebagai manual dalam kehidupan?

Kita jadikan kitab al-Quran kitab hiasan di dalam almari. Jika kita bacapun ianya sekadar suatu amalan harian, tapi pernahkah kita cuba fahami dan mendalami makna dan mesej yang terkandung di dalamnya? Kita umat yang sangat rugi jika kita mengabaikan isi kandungan al-Quran. Al-Quran itu benteng kekuatan kita. Al-Quran itu mengandungi petunjuk dan ilmu yang tak terhidung nilainya. Mereka memisahkan kita dengan pengetahuan bahasa Arab dalam rencana memisahkan kita dari kitab suci ini. Sistem pembelajaran anak-anak kini berjaya disekularkan. Mereka memisahkan al-Quran dalam bidang ilmu. Sedar tidak sedar kita telah diasuh dengan acuan palsu. Kita bangga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaaan awam. Kita berbangga dengan gelaran mahasiswa dan segulung ijazah. Kita berbangga dengan pangkat dan gelaran ciptaan manusia, tetapi adakah kita berbangga memiliki status seorang Islam yang memiliki kitab agung? Adakah anda pemilik ijazah al-Quran? Mungkin ada yang tertawa jika saya berkata begini bukan? Inilah realiti kehidupan kita kini. Fikir-fikirkanlah. Siapa kita dan untuk apa kita diciptakan? Apakah tindakan yang mampu kita lakukan untuk agama tercinta ini? Jangan tanya apa yang telah Islam sumbangkan untuk anda tapi tanyalah apa sumbangan anda untuk Islam.

Islam Is Way of Life
KU Impi RedhaMU

~AYUME~ [21/03/10]


1 comment:

  1. AMIN...moga Allah sentiasa mnlindungi kita dr sgala bntuk kesesatan,kjahatan,dan kmgkaran insyaAllah =)...

    ReplyDelete