Manusia hanya selalu mengambil berat soal makanan jasad tetapi lupa soal makanan rohani. Apabila keduanya tidak seimbang maka wujudlah kepincangan jiwa. Yang luar nampak hebat yang dalam berongga. Umpama buah yang dilihat cantik diluar tapi berulat di dalam. Islam itu holistik. Mukmin yang sejati mestilah seimbang dari kedua-dua aspek. Luar cantik dalam pun mesti cantik. Terfikir diri ini kenapa manusia pada zaman kini sibuk mencantikkan jasmani tapi lupa dalam mencantikan rohani? Manusia sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk kecantikan diri, membeli barang kosmetik, diet itu ini, senaman dan membeli makanan penjagaan kesihatan malah sanggup melakukan penbedahan plastik.
Bila sakit pula ramai di antara kita akan mencari ubat atau cara penyelesaian alternatif. Ada yang memilih berjumpa doktor, membeli ubat di farmasi mahupun mendapatkan pelbagai bentuk rawatan alternatif yang ada kini. Kesibukkan menjaga makanan dan kecantikan luaran atau jasmani menyebabkan manusia hari ini lupa bahawa mereka juga memerlukan makanan dalaman atau rohani. Makanan jiwa inilah yang sebenarnya penting setanding dengan makanan jasmani.
Orang yang berbadan sasa, cantik dan hebat dari fizikal sekalipun tewas apabila mereka miskin jiwa. Kekuatan luaran individu digerakkan oleh kekuatan dalaman individu. Dalam realiti kehidupan kita selalu dengar ada orang kaya yang memiliki segalanya, harta, pangkat mahupun populariti dalam masyarakat bertindak membunuh diri. Adakah mereka tidak bahagia sedangkan mereka miliki segalanya yang bersifat kemewahan? Jawapannya hanya satu kerana mereka miskin jiwa. Mereka kaya dari sudut material tapi mereka miskin dari sudut jiwa. Mungkin orang biasa melihat mereka sihat dan bahagia kerana memiliki segalanya tetapi orang lain tidak nampak bahawa mereka sedang derita kerana kemiskinan jiwa. Mereka rasakan hidup mereka kosong dan tidak bermakna. Kehidupan yang dilalui terasa membosankan.
Kenapa mereka berasa bosan dengan hidup? Sebab makna hidup bagi mereka hanya sekadar kehidupan dunia. Mereka tidak tahu bahawa ada kehidupan selepas itu. Seorang muslim yang miskin harta namun mereka kaya jiwa. Mereka tidak takut mati malah mengharapkan kematian disegerakan dalam menegakkan agama Allah. Mati dalam jihad adalah sesuatu yang didambakan. Mereka percaya bahawa selepas berhijrah dari alam dunia mereka akan ke alam lain yang bernama akhirat. Di sana balasan yang setimpalnya pasti menjadi milik mereka. Kenapa generasi al-Quran pada zaman rasulullah tidak takut mati? Sebab mereka tahu bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat itu ada balasan yang kekal abadi. Mereka sentiasa hidup walaupun jasad mereka lebur dimakan bumi tapi roh mereka akan tenang menemui pencipta Agung, Tuhan sekalian makhluk. ALLAH. Sebab itu tidak ada makna tewas dalam diri umat Islam yang kaya jiwanya.
Misi hidup mereka hidup mulia dan mati syahid. Kedua-duanya amat bermakna. Hal ini berbeza pada zaman kita. Zaman kita umat Islam ramai tapi kita tewas diboneka yahudi dan AS. Kenapa semua ini terjadi? Nabi Muhammad bersabda sebelum kewafatannya bahawa pada suatu ketika umat Islam itu ramai tetapi mereka umpama buih-buih di lautan. Apabila dipukul ombak ia akan pecah. Umat islam ketika itu wahan, ‘cintakan dunia dan takutkan mati’. Hal itu benar-benar terjadi pada zaman kita. Aqidah yang menjadi asas ketauhidan tidak tertegak dalam diri individu yang mengaku muslim. Muslim hanya pada nama. Sedangkan Islam itu sendiri bermakna tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Pergi mana nilai iman generasi Islam kini. Mengaku Islam tidak melakukan apa yang disuruh Allah malah berani mencabar dengan melanggar larangan Allah.
Solat hanya sebagai suatu rutin. Solat itu kehilangan roh keimanan. Solat tanpa jiwa. Maka tidak hairanlah bahawa maksiat bermaharajalela kerana solat yang dilakukan tidak memberi impak. Solat itu kosong tidak meresap ke dalam jiwa. Jiwa mereka tandus kerana dibajai dengan perjuangan material semata-mata. Jadilah individu yang gemuk luar, kurus dalam. Mereka goyah jati diri, mudah dipengaruhi budaya hedonistik dan tenggelam dalam arus globalisasi tanpa sepadan. Mereka punya deria fizikal yang sempurna tapi cacat dalam mengenal perkara yang hak dan batil. Sayang seribu kali sayang kerana kita umat Islam hari ini memiliki modal insan tetapi modal insan yang ada hari ini kurang kualiti. Penyelesaiannya hanya satu kembalilah kepada diet fitrah iaitu keseimbangan dari aspek jasmani dan rohani. Pengukuhan dalaman mampu mengukuhkan luaran. Sebuah kediaman yang kukuh juga bermula dari pasak tiang yang utuh. Bermula dari kerangka dalaman yang kukuh. Begitu juga kita, umat Islam hari ini perlu melakukan transformasi jiwa kembali kepada fitrah.
Apabila umat Islam tahu tujuan hidupnya? Hidup mereka bermatlamat. Maka usaha ke arah pemerkasaan jiwa dan fizikal itu juga jelas dan terancang. Hidup akan terasa lebih bermakna. Apabila kita berjaya membina individu muslim yang kukuh imannya, sihat fizikal dan intelektualnya maka kita juga berkemampuan membina keluarga yang bersifat baiti jannati. Apabila institusi keluarga yang ada dibina atas dasar Islam yang teguh maka wujudlah komuniti Islam yang terancang. Jika hal ini berlaku ana yakin dan percaya bahawa masa Islam kembali gemilang akan tiba. Negara Islam yang sebenar akan tertegak. Al-Quran dan Sunnah akan diterima ramai sebagai asas perlembagaan. Sesungguhnya daku mendambakan bumi ini akan bercahaya seperti bumi Yathrib (Madinah al-munawarah) setelah kedatangan Islam holistik. Tanggungjawab siapa untuk merealisasikan semua ini. Jawapannya tanggungjawab kita semua.
Setiap dari kita adalah khalifah. Kita bertanggungjawab terhadap diri kita sendiri dan agama Islam tercinta. Tanya iman ketuklah hati dan mindamu.. Fikir-fikirkan, adakah kita telah laksanakan tanggungjawab kita.. Anda ada pilihan terserah kepada anda. Ana menyeru pembaca budiman, marilah kita sama-sama membina diet seimbang dalam proses awal membentuk ummah cemerlang duniawi dan ukhrawi. Diet ini tidak memerlukan banyak modal yang penting kesedaran dan usaha yang istiqamah. Diet holistik ini pasti bisa dicapai. Insyaallah. Semoga Allah menunjukkan kita jalan yang benar dan dipermudahkan.. Ameen Ya Rabb. PadaMu ku berharap.
AyuMe: 11.29 pm: 19 Julai 2011
No comments:
Post a Comment