Saturday, September 4, 2010

Orientasi Sebuah Kehidupan


Johan tahu dia tidak sesempurna orang lain. Dia tahu bahawa kakinya cacat dan tidak dapat berjalan cepat seperti orang lain. Majid selalu mengusiknya di dalam kelas terutamanya apabila waktu pendidikan jasmani. Johan hanya mampu melihat kawan-kawannya bermain bola di padang sekolah. Johan menganggap ejekan dan usikan rakan-rakannya sebagai satu cabaran untuk terus berjaya. Falsafah hidup Johan, “Hendak Seribu Daya Tak Hendak Seribu Dalih”.

Johan belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan kebolehannya. Jauh di sudut hatinya, dia mahu mengubah nasib keluarganya yang serba kekurangan. Dia tidak mahu menghampakan harapan ibu bapanya yang telah banyak berkorban untuk memberi pelajaran kepadanya. Kesempitan hidup membangkitkan lagi semangatnya untuk terus berjaya.

Johan bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Dia belajar dengan tekun dan gigih untuk mencapai impiannya. Dalam kesibukkan mengulangkaji pelajaran, Johan tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Johan turut membantu ibu dan ayahnya menjaga warung di samping menjaga adik-adiknya


Hari demi hari telah berlalu. Kini tiba hari Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Johan menjawab soalan peperiksaan dengan tenang. Sehari sebelum peperiksaan tiba, dia telah membuat persediaan fizikal, mental dan rohani secukupnya. Johan menatap helaian biru dengan senyuman setelah selesai menjawabnya. Dua minit kemudian pengawas peperiksaan mengutip kertas jawapan. Johan keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh keyakinan. Hari peperiksaan telah berlalu. Kini tiba hari yang dinanti-nantikan, keputusan peperiksaan akan diumumkan.

Rakan-rakan Johan sibuk beratur untuk mendapatkan slip peperiksaan, tetapi Johan hanya berjalan dengan tenang untuk beratur mendapatkan slip peperiksaannya. Kini tiba giliran Johan untuk mendapatkan slip peperiksaan. Cikgu Azran mengucapkan tahniah kepada Johan sebelum menyerahkan slip peperiksaan. Johan menatap slip peperiksaannya dengan seribu senyuman. Ungkapan pertama yang terucap di bibir Johan ialah “terima kasih cikgu”.Johan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, berbeza dengan Majid yang hanya mendapat keputusan atas pagar sahaja. Majid terkejut setelah mendapat tahu berita kejayaan Johan yang di luar jangkaannya. Majid dengan rasa malu mengucapkan tahniah kepada Johan dan meminta maaf akan kesilapannya yang lalu.


Sebulan setelah mendapat mendapat keputusan peperiksaan, Johan banyak mendapat surat tawaran untuk ke universiti. Johan dalam dilema untuk memilih yang mana satu pilihan terbaik untuk dirinya. Kini soal kewangan bukan lagi menjadi masalah kerana dia mendapat tajaan daripada badan swasta. Akhirnya Johan memilih universiti tempatan, walaupun mendapat tawaran dari universiti luar negara. Johan percaya akan kebolehan Malaysia, negara tempat tumpah darahnya.


Johan melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Setelah lima tahun bertukus-lumus menelaah pelajaran, Johan berjaya menjadi pelajar cemerlang dalam Ijazah Sarjana Pendidikan. Kini Johan telah berjaya menjadi seorang pensyarah berkat ketabahan dan kesungguhannya. Johan berjaya mengubah kehidupan keluarganya.

Nukilan: AyuMe

Mangkuk yang Cantik, Madu & Sehelai Rambut


Pada suatu hari, Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar, Umar dan Uthman bertamu ke rumah Ali. Di rumah Ali isterinya Saidatina Fatimah, puteri baginda menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik. Ketika madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalamnya. Keadaan tersebut diperhatikan oleh baginda rasullullah. kemudian baginda meminta para sahabat untuk membuat perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (mangkuk yang canti, madu dan sehelai rambut) mengikut pandangan masing-masing.

Abu Bakar r.a. berkata," Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih sulit dari menjaga atau meneliti sehelai rambut ini".

Umar r.a. berkata, " Kerjaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meneliti sehelai rambut ini".

Uthman r.a. berkata, "ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik, menuntut ilmu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki lebih sulit dari meneliti sehelai rambut ini".

Ali r.a. berkata, "tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu ini, dan membuat tamu senang sampai mereka selamat kembali ke rumahnya lebih sulit dari meneliti sehelai rambut ini".

Fatimah r.h.a. berkata, "seorang wanita iu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, wanita yang beriman lebih manis dari madu ini dan mendapatkan wanita yang tidak pernah terlihat oleh orang lain kecuali oleh muhrimnya sendiri lebih sulit dari meneliti sehelai rambut ini".

Malaikat Jibril A.s. berkata, " menegakkan tiang-tiang agama itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menyerah diri, harta dan waktu untuk urusan agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meneliti sehelai rambut ini".

Allah S.w.t. berfirman, " Syurga-Ku lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis dari madu, dan jalan menuju Syurga-ku adalah lebih sulit dari meneliti rambut ini".

Sumber: Majalah Cahaya Nabawi

Ayume berkata, "budi pekerti itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik itu, senyuman itu lebih manis dari madu. Menjaga tutur kata dan tingkah laku itu lebih sukar dari meneliti sehelai rambut".

Apa pula kata anda? Satu analogi ada seribu pengertian. Satu soalan ada pelbagai jawapan. Keadaan ini terjadi kerana kita semua adalah istimewa. Walaupun kita berbeza bangsa, berbeza negara, berbeza warna kulit mahupun berbeza bahasa namun kita punya 1 nilai syahadah yang sama..


Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal. (Surah Hujurat: 49:13)





25 Nasihat Luqmanul Hakim


1. Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA dan LAYARnya adalah TAWAKAL kepada ALLAH.

2. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemualiaan dari Allah.

3. Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

4. Hai anakku; seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam -tanaman.

5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6. Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan mu tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

7. Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamun hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

8. Hai anakku; engkau telah merasa betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9. Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10. Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberi akibat yang berbahaya.

11. Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya akan mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Hai anakku, janganlah engkau lansung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah lansung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Makanlah makananmu bersama dengan orang-orang yang bertakwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamananengkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahnya.

16. Hai anakku; bilamana mahu engkau mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang trerhadap orang lain yang pernah memberi barang yang berharga.

18. Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia yang mengharapkan sesuatu daripadamu.

19. Jadilah dirimu dalam segala tingkah laku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerananitu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20. Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaaat bagi orang lain.

22. Hai anakku; jangalah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan hatimu, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24. Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25. Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Janganlah engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. jangalnah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak membinasakan dirimu.

Sesungguhnya nasihat Luqmannul Hakim ini bisa menjadi pedoman dalam kehidupan seharian kita. Saling nasihat menasihati agar kita seiring melangkah menuju redha ilahi.. Akhlak itu bunga diri. Hiasan indah orang yang berbudi pekerti. Cantik dilihat harum baunya. Itulah dia akhlak mulia. Semaikan ia dijiwa ,zahirkan ia pada pekerti. Itulah identiti muslim sejati.


Friday, April 9, 2010

PENGERTIAN

Kau Insan istimewa. Insan pilihan di sisi Allah. Bersyukurlah ke hadrat Allah kerna Dia bukakan hatimu untuk menerima cahaya hidayah-Nya. Jangan kecewakan Dia yang menciptakanmu. Jangan sesekali mengabaikan tanggungjawabmu sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi. Tidak diciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat padaNya. Hidupmu di muka bumi bukan untuk suka-suka, bukan untuk mengejar material dunia semata-mata tapi mengejar redhaNya. Dunia ini tempat persinggahan, oleh itu kutiplah bekalmu untuk alam yang nyata. Perjalanan kita masih jauh.

Wahai manusia sedarkah kamu bahawa kamu diciptakan dengan satu amanah, yakni menegakkan kalimah Allah. Sedarkah kamu wahai keturunan Adam dan Hawa? Hidupmu di muka bumi ini dengan ihsan dan kasih sayang Allah. Kau diberi kesempatan untuk menghirup udaraNya, berpijak dibumiNya dan memakan rezekiNya dan yang paling beruntung, jika kau dikurniakan nikmat iman. Dilahirkan sebagai seorang yang beragama islam. Menjadi manusia yang yakin dengan persaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Pernahkah kau sedar anugerah itu? Syahadah itu suatu persaksian yang memerlukan pengertian. Pengertian dengan hati lalu dizahirkan dengan perbuatan kerna rasa yakin dengan janji Tuhan.

Islam? Apakah yang membezakan orang islam dengan bukan islam? Adakah kerna nama kita? Adakah kerna kita dilahirkan dalam keluarga dan keturunan yang beragama islam? adakah kerna kita menutup aurat atau tidak makan benda-benda yang diharamkan Allah? Adakah sekadar solat, puasa dan haji? Cukupkah sekadar semua itu untuk meletakkan kita diangkat satu darjat sebagai umat yang mendapat rahmat dan kasih sayang Allah? Adakah ini sahaja yang membezakan antara seorang mukmin dengan seorang kafir? Rakan-rakan jawapannya tidak sama sekali.

Allah itu maha pemurah. Allah itu maha penyayang. Pemurah Allah kerna dia tetap memberikan rezeki pada hambaNya tidak kira islam mahupun kafir, tidak kira taat mahupun kufur. Allah memberikan kita peluang yang sama menghirup udaraNya, berpijak dibumiNya, bahkan dikurniakan nikmat rezeki pada setiap makhluk tak kira cacing di celah batu sekalipun. Tak terkecuali menerima nikmat dan rezekinya, pemurahnya Allah. Kasih sayang Allah untuk siapa pula? Adakah untuk semua makhlukNya? Kasih sayang Allah hanya pada hambanya yang tunduk dan patuh serta meyakini bahawa Allah sahaja yang patut disembah dan ditaati. Kasih sayang itu hanya pada hambaNya yang tunduk dan patuh pada perintahNya. Nikmat syurga itu hanya pada mereka yang beriman. Itulah erti kasih sayang Allah. Allah itu maha adil.

Tahukah teman-teman jawapan kepada persoalan yang membezakan kita dan mereka yang kafir? Perkara yang jelas membezakan kita dengan mereka adalah kalimah syahadah. Keyakinan yang kita letakkan di hati tentang persaksian kita hanya Dia Allah tuhan yang berhak disembah dan pengakuan kita bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Pengakuan inilah yang membezakan islam dan kafir, tapi perlu diingat teman-teman persaksian yang nyata itu hanya terlahir melalui perbuatan kita. Layakkah kita mengaku sebagai individu muslim jika kita masih menentang hukum Allah. Memang kita tidak menentang hukum Allah secara zahir tapi lihatlah tingkahlaku dan perbuatan kita terhadap wahyuNya. Adakah kita berusaha untuk memahaminya. Al-Quran itu catatan cinta dari pencipta buat hambanya terkandung didikan yang nyata. Bagaimana pula dengan hadis. Wasiat dari penyampai kalimah cinta agung kita ketepikan. Tersemat indah tinta pada lembaran kaku tanpa kau berusaha untuk memahami dan mempelajarinya. Di manakah bukti persaksian kita itu? Di mana? Adakah sekadar janji-janji palsu sang panglipur lara yang cuba mengindahkan cerita. Khayal dalam kisah hidup yang kau cipta. Kelihatan indah tapi fatamorgana belaka.

Hanya anda tahu siapa anda hari ini? Sisa-sisa jahiliah masih berkarat dalam setangkai hati yang yang mengaku mukmin tanpa kau mengerti realiti dan kualiti. Muslim itu bukan pada nama tapi pada perbuatan yang jelas dan nyata, terlahir dari hati yang sentiasa disirami pengertian syahadah. Bangunlah dari dibuai mimpi yang panjang. Hari sudah petang namun anda masih belum terlambat sebelum malam gelap melabuhkan tirainya. Bangitlah dari kekalahan tamadun hidupmu semalam. Peluang masih ada selagi kau diberi kesempatan untuk terus bernafas. Muhasabah diri. Tuntutlah ilmu tentang islam agamamu agar kau lebih mengerti realiti kehidupan seorang muslim. Muslim yang bebas dari kesamaran jahiliah, yang mengerti nilai syahadah dan berada pada jalan hidayah. Hidup ini medan ujian. Berjuanglah miliki kasih sayang Allah agar kau tak kalah di tangan syaitan laknatullah...

[AyuMe: 9 April 2010]

Sunday, March 21, 2010

MUHASABAH SEORANG MUKMIN


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku bersyukur ke hadrat Mu ya, Allah, kerna Kau bukakan hati ini untuk melihat realiti dunia Islam Apabila aku ketahui tentang kebenaran, tentang apa yang terjadi pada dunia Islam kini, hati ini nanar. Sakit dan teramat sakit. Tak mampu aku ungkapkan dengan kata-kata. Selama ini aku tidak sedar tentang apa yang berlaku di persekitaranku. Aku telah menzalimi diri sendiri. Aku pentingkan diri sendiri. Aku fikir jika aku boleh hidup aman, bebas dari peperangan itu cukup untuk aku. Aku tidak pernah fikir penderitaan umat Islam yang lain. Aku tak pernah risau tentang ancaman terhadap agamaku, Islam.

Kini aku semakin sedar, aku tahu siapa aku. Aku hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Aku tidak sanggup melihat umat Islam derita. Aku tak sanggup melihat saudara seagamaku terus tertindas dan diperlakukan sesuka hati. Bahang peperangan semakin aku rasai. Aku kian sedar bahawa aku kini bukan berada pada zon aman tapi sebenarnya aku sedang berada pada suatu medan perang. Aku mesti sedia dan berani dalam menegakkan agamaMu ya Allah. Jihad demi redha-Mu. Kurniakanlah aku kekuatan dalam menhadapi semua ini, ya Allah. Hanya padaMu aku berserah. Medan peperangan ini walaupun bukan menggunakan tentera-tentera berkuda seperti zaman rasulullah dan para sahabat tetapi ia memerlukan kekuatan mental dan kecerdasan intelektual. Perang kini bersifat serangan teknologi dan pemikiran. Bagiku ianya amat bahaya berbanding serangan fizikal. Menyusup secara halus.

Sebuah gunung jika ditarah setiap hari pasti gondol. Percayakah kalian jika aku katakan iman kita juga begitu. Jika kita tak bina benteng untuk menyelamatkan iman kita ia pasti menjadi seperti gunung yang gondol dan gersang itu. Saban hari tentera iblis melakukan pelbagai cara untuk memesongkan kita, sama ada melalui tenteranya yang terdiri daripada syaitan, jin mahupun manusia yang bertopengkan syaitan. Sedarkah kita teman-teman? Dari perkara sekecil zarah itu mereka berusaha menjadikan ia sebesar atom sehinggalah sebesar galaksi ini sekalipun. Pernahkah kita sedar teman-teman? Kita benar-benar dalam ancaman. Jika kita gagal menundukkan nafsu yang wujud secara semulajadi dalam diri kita ini, maka kita akan dipandu pula oleh nafsu dan bisikan syaitan. Mereka tidak mampu menghumban kita ke neraka tapi mereka mampu membisikkan kita dengan bisikan yang melalaikan dan melupakan kita dari tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Mereka mempunyai misi yang besar iaitu menjadikan umat Islam teman penghuni neraka bersama mereka. Mahukah anda menjadi sebahagian daripada perencana misi mereka? Saya percaya anda akan mengatakan tidak, tapi pernahkan anda bermuhasabah diri, benarkah anda bukan pengikut mereka? Benarkah cara hidup kita hari ini benar-benar mengikut al-Quran dan al-Sunnah? Sedar atau tidak hidup kita ini dipenuhi dengan zon-zon kelabu. Putih itu zon mukmin dan hitam itu zon kafir. Jika kelabu bermakna kita berada di tengah-tengahnyanya. Antara Islam dan kafir. Bila-bila masa boleh tertarik ke zon hitam. Jika beralih ke zon putih alhamdulillah, jika ke zon hitam nauzubillah. Semoga Allah menjauhkan kita dari segala bentuk kesesatan. Mereka tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak adam walaupun sesaat hinggalah hari kiamat. Mereka melupakan kita bahawa akan wujud satu hari yakni hari pertemuan manusia dengan pencipta-Nya. Segala amal akan dihitung. Segala kebaikan akan diberi balasan dan segala keburukan juga akan diberi balasan setimpal dengannya. Pada hari itu tiada sesiapa yang dapat membantu kita. Hanya amal menjadi saksi ketaatan kita pada pencipta. Mulut terkunci mati.

Perkara batil dilihat sebagai sesuatu yang hak. Kebatilan yang tersusun bisa mengalahkan kebenaran yang berselerak. Pernahkah anda berfikir tentang ini? Yang batil itu dilihat sebagai yang betul dan yang hak itu dilihat sebagai sesuatu yang salah. Mereka berjaya menghuru-harakan persepsi manusia melalui media massa dan media elektronik yang dikawal oleh mereka. Dunia kini dipenuhi dengan pelbagai sandiwara. Banyak boneka-boneka iblis berdiri megah kononnya memperjuangkan keadilan. Merekalah polis dunia. Mereka bongkak dan mengatakan merekalah yang berkuasa. Mereka berselindung disebalik tembok-tembok maya yang mereka cipta. Mereka berjaya membutakan mata dan hati umat manusia supaya sibuk mengejar material. Pernahkan kita fahami dengan hati isi yang terkandung dalam al-Quran? Sesungguhnya ia petunjuk yang nyata. Mukjizat agung untuk umat Muhammad. Jika kita selami sirah nabi terdahulu telah berlaku peristiwa yang sama, maka Allah membinasakan mereka kerana kekufuran mereka. Umat nabi Musa dan nabi Lut yang yang kufur telah dimusnahkan oleh Allah sebagai balasan di atas kekufuran mereka. Sesungguhnya terdapat pengajaran yang nyata dalam al-Quran itu. Pernahkah kita menjadikannya sebagai manual dalam kehidupan?

Kita jadikan kitab al-Quran kitab hiasan di dalam almari. Jika kita bacapun ianya sekadar suatu amalan harian, tapi pernahkah kita cuba fahami dan mendalami makna dan mesej yang terkandung di dalamnya? Kita umat yang sangat rugi jika kita mengabaikan isi kandungan al-Quran. Al-Quran itu benteng kekuatan kita. Al-Quran itu mengandungi petunjuk dan ilmu yang tak terhidung nilainya. Mereka memisahkan kita dengan pengetahuan bahasa Arab dalam rencana memisahkan kita dari kitab suci ini. Sistem pembelajaran anak-anak kini berjaya disekularkan. Mereka memisahkan al-Quran dalam bidang ilmu. Sedar tidak sedar kita telah diasuh dengan acuan palsu. Kita bangga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaaan awam. Kita berbangga dengan gelaran mahasiswa dan segulung ijazah. Kita berbangga dengan pangkat dan gelaran ciptaan manusia, tetapi adakah kita berbangga memiliki status seorang Islam yang memiliki kitab agung? Adakah anda pemilik ijazah al-Quran? Mungkin ada yang tertawa jika saya berkata begini bukan? Inilah realiti kehidupan kita kini. Fikir-fikirkanlah. Siapa kita dan untuk apa kita diciptakan? Apakah tindakan yang mampu kita lakukan untuk agama tercinta ini? Jangan tanya apa yang telah Islam sumbangkan untuk anda tapi tanyalah apa sumbangan anda untuk Islam.

Islam Is Way of Life
KU Impi RedhaMU

~AYUME~ [21/03/10]


Sunday, March 14, 2010

Jangan bersedih jika itu takdir Dia untuk mu..


Perihal takdir Allah swt termasuk dalam hal yang disebut sebagai tauqifiyah (diberhentikan perbicaraan mengenainya hanya sekadar pada dalil yang sampai dari kitab dan sunnah).

“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Hud : 123).

Nabi salallahualaihiwasa lam pernah berdoa dengan menyebut : "Dan Aku mohon berikanlah aku menjadi redha kepada Qadar" (hadith sahih diriwayatkan oleh Nasaie dan Hakim dan disepakati oleh Adz-Zahabi).

Juga baginda bersabda lagi : " Sesungguhnya telah hancur golongan sebelum kamu kerana berselisihnya mereka dengan para nabi mereka dan tidaklah sekali-kali beriman seorang di antara kamu selagi dia tidak beriman dengan qadar kesemuanya sama ada yang baik atau yang buruk" (Hadith hasan lihat dalam Kitab Sunnah oleh Ibn Abi Asim).

Bagaimanakah berlakunya takdir itu ?

Disebut dalam hadith yang sahih bahawa takdir itu yang berlaku ke atas hamba-hamba Allah yang ditetapkan oleh Allah menjadikan segala sesuatu itu terjadi takdir yang berlaku secara sudah tertulis sejak awal.

Adapun begitu amal dan perbuatan tetap menjadi kiraan kerana sesuatu takdir itu menimpa di atas amal yang dilakukan dan amal itu berlaku berasaskan takdir yang telah ditentukan.

Hadith Umar ra yang bertanya nabi tentang amal dengan mengatakan : " Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan apakah ianya sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : "Sesungguhnya telah pun ditetapkan segala sesuatu pada setiap perkara" maka di balas oleh Umar : "Apakah kita harus menyerah sahaja kalau demikian ? Maka bersabdalah baginda nabi : "Beramallah wahai anak Khattab, segala sesuatu itu sudah dipermudahkan adapun barangsiapa yang tergolong dari ahli kebaikan (syurga) maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan barangsiapa yang tergolong dalam ahli siksa maka dijadikan dia beramal jahat untuk neraka " (Hadith sahih, riwayat Ahmad 29 Jilid 1).

Demikianlah juga kisah yang berlaku dalam Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa as kepada Adam as dan lain-lain riwayat yang menunjukkan kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.

Seseorang itu mendapat takdir yang menimpanya ialah berdasarkan perbuatannya dan perbuatannya itu sudah pun ditakdirkan oleh Allah swt akan apa yang akan dilakukan dan dia sendiri tidak menyedarinya.

Kita (lelaki) misalnya akibat kebodohan kita, keegoan dan pelbagai lagi kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kita kehilangan perempuan yang kita kasihi dan sesungguhnya perbuatan kita itu menjadi sebab berlakunya takdir (perpisahan) yang menyedihkan tetapi perbuatan kita (melukakan hati perempuan yang dikasihi dan lain-lain kesilapan) juga sebenarnya merupakan sesuatu yang sudah ditakdirkan.

“Dikalangan mereka (manusia) ada yang celaka dan ada yang bahagia”
(Hud : 105).

Kerana itu Orang yang beriman dan berilmu mengetahui dan beriman dengan segala takdir Allah swt baik yang suka atau yang pahit. Mereka mengerti kesilapan yang dilakukan itu adalah kerana ditakdirkan dan akhirnya membawa satu takdir yang wajib diimani.

Nabi salallahualaihiwasa lam bersabda : "Adapun ahli syurga dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka" (Hadith sahih dengan ijal yang siqah dikeluarkan oleh Al-A'jari ).

Lalu mereka (orang yang beriman) segera bertaubat memohon kepada Allah swt supaya dipilih untuk termasuk dalam kalangan yang dipermudahkan kepada amalan kebaikan dan dipilih supaya termasuk di kalangan mereka yang diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.

Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasa lam kerap membaca doa : “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkanny a sebagaimana yang dikehendaki- Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Bagaimana Mahu Menghadapi Takdir Allah yang Pedih dan Sedih dan Cara mendapat takdir yang baik dan menghindari dari Takdir yang Buruk ?

Melalui penjelasan ringkas sebelum ini sudah memberi kesedaran dan pemahaman bahawa takdir itu sudah ditetapkan oleh Allah swt sejak dalam perut ibu lagi kepada hamba-hamba- Nya ini seperti yang disebut dalam hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).

Maha suci Allah hanya kepada-Nya kita kembali dan memohon perlindungan dari takdir yang buruk dan pengakhiran yang tidak baik.

Sesungguhnya hendaklah kita berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan dengan berusaha meminta dan memohon kepada Allah swt tanpa henti dan tangguh supaya termasuk di kalangan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.

Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan :

1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah : "Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi) .

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Memperbanyakkan amalan Soleh seperti sedekah

Dari riwayat Anas bin Malik ra bahawa rasulullah salallahaulaihiwasa lam bersabda : " Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan Al-Rabb (Allah)" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 664).

2) Bersabar serta bersangka baik kepada Allah swt dan mengharap rahmat-Nya serta tidak berputus asa di atas segala derita yang menimpa dan takut serta harap kepada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Sabda baginda salallahualaihiwasa lam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

“ Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk” (Al-Baqarah : 45).

3) Bertawakal kepada Allah swt selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk Allah dan rasul dan bersangka baik serta menyerah kepada takdir Allah swt dengan penuh keredhaan dan lapang hati serta yakin.

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadith dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasa lam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :

“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu :

Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau,

jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah.

Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan

jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau.

Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan)” (Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).

Bahkan turut disebut dalam Hadith yang lain riwayat Anas bin Malik bahawa baginda sentiasa membaca doa “ Dengan nama Allah aku bertawakkal hanya kepada Allah” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no.2724 ).

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Surah Ali-Imran : 159).

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

Rujukan :

i) Tafsir Al-Qur’an
ii) Kitabul Sunnah oleh Ibn Abi Asim (wafat 287 Hijrah)

Qoute :

Sesungguhnya tulisan ini ditulis sebagai meringankan beban batin yang menekan bagi sesiapa
yang diuji dalam kehidupan moga beroleh penyelesaian dan pemahaman.
Oleh : Ustaz Emran

Dipetik dari laman web taman2syurga kiriman Mohd Naim Mohd Zain

Renung-renungkan lah.. Jangan bersedih jika itu takdir Allah untukmu, tapi carilah sinar hikmah yang tersembunyi disebalik derita yang kau alami. Kesabaranmu menghadapi ujian meletakkan kamu pada suatu tingkat keimanan yakni redha kerana Allah.. Setiap kejayaan itu dimulakan dengan langkah pertama. Jika kau jatuh kau harus bangun dan bangun.. betulkan niat, usaha,doa, tawakal dan redha dengan ketentuannya.

~AyuMe~

Friday, March 12, 2010

Ujian Kehidupan Bagi Manusia


Jiwa seorang mukmin itu pastinya ditarbiyyah untuk berhadapan dengan pelbagai ujian dan kesukaran. Ada kalanya ujian yang menimpa berbentuk kesenangan – kemewahan hidup, kejayaan dan sebagainya.

Kesenangan seperti ini walau dilihat bukanlah sesukar ujian kepayahan dan keperitan hidup, namun hakikat ujian ini tidak kurang cabarannya. Seseorang yang diuji dengan kemewahan hidup, memiliki harta yang melimpah ruah dan kekayaan yang berganda tentu sahaja perlu memikirkan bagaimana dan ke mana perlu disalurkan wang dan harta yang dimiliki. Adakah untuk kegunaan sendiri dan keluarga semata-mata atau terfikirkah untuk menginfakkan ke jalan Allah?

Kesukaran dan kepayahan dalam hidup juga sebahagian dari ujian. Walau nyata berbeza sebagaimana ujian berbentuk kesenangan, realitinya ini adalah ujian, yang akan menguji tahap keimanan seorang hamba. Perjalanan hidup bagi seorang manusia lazimnya akan melalui berbagai cabaran dan dugaan. Untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang insan, memerlukan perjuangan yang berterusan tanpa noktah. Hatta untuk mendapatkan sesuap nasi bagi mengalas perut sekalipun, memerlukan perjuangan, berkorban tenaga dan masa. Itulah perjuangan yang menuntut infiniti pengorbanan.

Firman Allah :
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah : 156)

Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, dan Dialah yang berkehendak untuk melakukan apa jua perkara ke atas makhluk ciptaanNya. Manakala hamba yang diciptakan ini perlu menghadapi segala yang telah diaturkan dengan sempurna oleh Maha Pencipta dengan cara yang termampu olehnya.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (al-Ankabut : 2)

Mukmin itu tidak cukup hanya dengan ungkapan beriman dan mengaku sebagai Islam sahaja, tanpa memenuhi tuntutan sabar dan tabah hati mengharungi ujian, sama ada ujian berupa perintah – melaksanakan kewajipan dan perintah, mahupun ujian berupa larangan yang perlu dijauhi. Begitu juga ujian kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri. Di sinilah ukuran keimanan yang sebenar bagi seorang mukmin.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (al-Mulk : 2)

Kehidupan merupakan satu medan ujian bagi hamba yang beriman, sehinggalah saat dan tikanya lambaian kematian menjelma. Kematian juga adalah sebahagian dari ujian setelah melalui detik perjalanan sebuah kehidupan yang telah ditetapkan. Kematian inilah saat yang tak mungkin dimungkiri dan dihindari walau seorang menteri, pegawai tinggi, hinggalah rakyat biasa.

"Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu. Kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka mengatakan : "Ini adalah dari sisi Allah", dan sekiranya mereka ditimpa sesuatu bencana, maka mereka berkata : "Ini datangnya dari sisi kamu (Muhammad)." Katakanlah : "Semuanya datang dari Allah." Maka mengapa orang-orang yang hampir tidak memahami nasihat sedikitpun?" (Al-Nisa’ : 78)

Apakah dikira segala hutang yang masih belum dilangsai, persengketaan yang belum lagi terlerai, janji yang tak tertunai, cita-cita yang masih tak tercapai, kejayaan yang belum sempat digapai mampu menangguhkan saat dan ketentuan ajal yang datang? Tidak kira sesiapapun, maut tetap datang menjemput. Sama ada ahli keluarga yang tercinta, sahabat handai yang dikasihi, guru-guru yang dihormati, rakan-rakan seuniversiti, dekat mahupun jauh, ataukah diri kita sendiri yang masih terkapai dalam pencarian ini, andai telah ditentukan saatnya, akan pergi jua akhirnya meninggalkan dunia yang fana, bukan untuk seminit dua, bahkan untuk selama-lamanya. Waktu yang tak mungkin dapat diundur, lalu tinggallah segala kegembiraan yang pernah dikecapi, abadilah segala kenangan bersama, detik suka mahupun duka akan berputar kembali memenuhi ruang fikiran teman-teman yang ditinggalkan.

Saat ini disedari betapa tinggi dan bernilainya sebuah uhkuwwah dan persahabatan yang terbina. Tika ini jualah mengerti dan menghargai seorang insan yang takkan dapat lagi hidup bersama di dunia. Seterusnya, penyesalan demi penyesalan yang tidak punyai makna apa-apa…

Saidatina ‘Aisyah berkata : Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesiapa yang suka bertemu Allah, nescaya Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya. Aku bertanya: Wahai Nabi Allah! Apakah kita perlu membenci mati? Di mana kami semua membenci mati. Baginda bersabda: Bukan begitu. Seseorang mukmin apabila diberitahu berita gembira dengan rahmat Allah, keredaan-Nya dan Syurga-Nya nescaya dia pasti suka untuk bertemu Allah dan Allah juga suka bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir apabila diberitahu adanya seksa serta murka Allah, dia tidak akan suka bertemu Allah dan Allah juga tidak suka bertemu dengannya." (Sohih Muslim, bab Do’a, Taubat & Istighfar, 4845)

Cukuplah mati sebagai peringatan buat diri seorang mukmin. Padanya tiada yang lebih berharga di dunia, keluarga, pangkat, mahupun harta melainkan keredhaan dariNya, dan pengharapan agar dapat dipertemukan dengan Yang Maha Pencipta, pemilik segala hati manusia. Apabila mati menjadi peringatan, terlerailah segala persengketaan, bersemilah ukhuwwah dan terbinalah persaudaraan, tertunailah segala janji yang dipatri, terlaksanalah tanggungjawab dan amanah Allah, kan terlangsailah jua hutang yang terkumpul.

Peringatan buat diri yang sentiasa alpa, leka dengan nikmat dunia yang bersifat sementara, agar memperteguhkan iman dan ilmu, memperbanyakkan amal sebagai bekal, menuju ke satu destinasi yang pasti dan abadi. Bangkit dari lena, teruslah bermujahadah, thabatkan diri dalam perjuangan yang suci ini, walau diri lemah dan tidak berdaya, walau diri tidak punya apa-apa, tetapi tenanglah duhai hati seorang mukmin, yakinlah dengan janji Ilahi, kesabaran menghadapi ujian membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan……!

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? " (Ali ‘Imran : 142)

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar." (Ali ‘Imran : 146)

Oleh : Umm Habibah
dipetik dari laman web tamanSyurga: kiriman Mohd Naim Mohd Zain

"Kehidupan ini adalah ladang ujian. Jadilah kita manusia yang gagah menongkah gelombang, yang tak karam dirempuh badai dan tak tersasar di ditiup taufan. Jika kompas al-Quran dan Sunnah sentiasa menjadi petunjuk jalan, Insyaallah bahtera kehidupan ini bisa sampai ke destinasinya"

-AYUME-