Semalam ana menghadiri Ijtimak Ramadhan IKRAM Selangor (ISIS) di Masjid Wilayah Persekutuan. Perhimpunan penuh barakah yang dihadiri oleh para ikhwan dan ikhwah yang berjuang di jalan dakwah. Alhamdulillah banyak perkongsian yang menghadirkan hikmah. Tertarik ana tentang kisah seorang sahabat yang berjawatan gabenor tetapi adalah seorang fakir. Mungkin ada di antara kita yang pernah mendengar kisah ini, namun bagi ana ianya adalah suatu input yang baru. Maka jejari kecil ini pantas berlari di papan kekunci laptop untuk berkongsi dengan anda semua. Bagi ana kisah sahabat ini tidak ada diceritakan di dalam buku teks sejarah sama ada di peringkat PMR, SPM mahupun STPM. Jadi ana kira perkongsian ilmu tentang sahabat ini adalah suatu yang wajar. Kisah teladan yang terhasil dari peribadi murni para sahabat generasi al-Quran diharap bisa meniup roh kesedaran dalam diri insan. Mari kita telusuri bersama kisah sahabat yang bernama Saad bin Amir Al-Jumahi.
Saad bin Amir Al-Jumahi telah dilantik menjadi Gabenor di Hims (daerah berhampiran Madinah) oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Saidina Umar telah memanggil Saad dan berkata "Wahai Saad, kami telah melantik engkau sebagai gabenor Hims. Lalu saad membalas, "Wahai Umar, aku memohon agar engkau tidak mendorong diriku condong kepada dunia.". Lalu dengan marahnya Khalifah Umar membalas, "Celakalah engakau! Engkau meletakkan amanah pimpinan dibahuku, lalu engkau membiarkan aku sendirian." Lalu dijawab oleh Saad, " Demi Allah! aku tidak akan membiarkan engkau sendirian."
Selepas beberapa lama Hims ditadbir oleh Saad, pada suatu hari Umar mengutuskan delegasi ke Hims untuk menyenaraikan golongan fakir di sana sebagai penerima zakat. Sekembalinya deligasi tersebut ke Madinah, Umar memeriksa nama golongan fakir dan mendapati terdapat nama Saad bin Amir. Lalu Umar bertanya kepada deligasi tersebut, " Adakah Saad yang dimaksudkan ini merupakan Gabenor Hims." Lalu mereka menjawab, " Ya." Menitis air mata Saidina Umar sehingga membasahi janggutnya. Beliau kemudiannya menyuruh deligasi tersebut menghadiahkan 1000 dinar untuk keperluan Saad. Sememangnya Saad terlalu miskin sehingga jiran-jirannya mengkhabarkan pelita pun tidak ada di rumah beliau. Untuk membeli minyak dan sumbu pelita pun beliau tidak mampu kerana terlalu miskin. Beliau tersenarai sebagai orang miskin kerana setiap kali menerima gajinya dia pasti akan membahagi-bahagikan gajinya kepada orang miskin dan susah.
Apabila wang tersebut sampai kepada Saad, maka berubah air muka beliau. Perkara tersebut diperhatikan oleh isterinya lalu beliau bertanya, "Adakah Khalifah Umar telah wafat?" Jawab Saad, "Bahkan lebih buruk." "Adakah kaum muslimin kalah dalam peperangan?" "Bahkan lebih", jawab Saad. "Jadi, apakah yang terjadi?", isterinya bertanya lagi. "Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku," Jawab Saad bin Amir. Maka isteri beliau menjawab, " maka jauhilah ia." Lalu Saad pun membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin.
Inilah contoh manusia yang benar-benar ehsan. Melakukan sesuatu kerana inginkan keredhaan Allah bukan kerana inginkan penghormatan manusia. Gabenor sepatutnya mempunyai rumah besar dan hidup mewah tetapi beliau memilih untuk hidup sederhana demi redha Allah. Pemimpin yang zuhud ini perlu menjadi contoh ikutan para pemimpin kita. Hak rakyat lebih diutamakan berbanding hak peribadi. Hal ini berbeza pada zaman kita? renung-renungkan. Fikir-fikirkan para sahabat kerana kitalah generasi yang bakal menentukan jatuh bangunnya negara. Kitalah generasi yang akan membangunkan semula pemerintahan khulafa di era modenisasi ini.
Jiwa ini bergetar bila mendengar kisah gabenor yang hidupnya sederhana demi kesenangan orang lain. Ku impikan pemimpin kini mampu dilahirkan zuhud seperti Saad. Zuhud dan adil seperti Saidina Umar al-Khattab dan cucunya Umar Abdul Aziz. Bilakah impian ini bisa menjadi realiti? Antara realiti dan harapan. Ya Allah jika aku tidak mampu melihat era pemerintahan khulafa moden ini ya Allah, izinkanlah zuriat keturunanku nanti bisa melaluinya dan menjadi sebahagian daripadanya. Ya Allah, kurniakanlah aku pemimpin hidup yang cintanya hanya pada-Mu ya rab, agar kami mampu melahirkan generasi sehebat para sahabat ya Allah. Ameen ya rabbal alamin. Padamu ku mendambakan harapan. Pada-Mu berserah. Kibaran bendera kemenangan ISLAM itu pasti tiba. Hanya masa yang bisa menentukannya.
Sahabat yang dikasihi marilah kita sama-sama berusaha mencari redha Allah. Jalan dakwah itu memang berliku. Kau tidak akan dihamparkan permaidani merah tapi duri-duri tajam yang akan dijejakimu. Adakala kau perlu terluka tapi yakinlah bahawa parut di medan juang itu suci dan balasannya adalah syurga Allah yang lebih hakiki. Ramadhan pun sudah berada di fasa ketiga. Fasa pembebasan dari api neraka. Moga kem tarbiyah Ramdhan kita kali ini bisa membuahkan takwa. Insyaallah. Selamat beramal.
~AyuMe, 22 Ramadhan 1423 Hijriah~
No comments:
Post a Comment