Monday, December 12, 2011

Mak Cik dan Tempe..


Sudah lama jari ini tidak menari di papan kekunci laptop mengisi ruang teratak Citra Ayume. Bukan tiada niat untuk menulis tapi masa itu mencemburi. Alhamdulillah hari ini Allah memberikan ana keluangan masa untuk berkongsi dengan teman-teman. Hari ni ana nak cerita tentang tempe. Siapa suka makan tempe? Angkat kaki.. hehe.. Ini bukan kisah panglipur lara atau dogeng nusantara. Tapi ia sebuah kisah kehidupan seorang mak cik tua di pedalaman Tanah Jawa. Mak cik tua ini sangat kuat beribadat dan taat kepada Allah. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjual di pasar setiap hari. Itu adalah satu-satunya sumber pendapatan mak cik ini untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya setiap hari adalah tempe hasil tangannya sendiri.

Pada suatu pagi seperti biasa dia akan membawa tempe yang dibuatnya untuk di jual di pasar. Semasa dia sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar bahawa tempe yang diperbuatnya daripada kacang soya itu masih belum menjadi. Hanya separuh jadi. Kebiasaannya tempe yang dia buat telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemua tempenya hari itu belum benar-benar masak seperti biasa.

Dia berasa amat sedih kerana didapati tempenya masih belum menjadi. Dia berfikir bahawa kemungkinan tinggi tempenya tidak laku hari itu. Jika tidak laku maka tiadalah rezekinya untuk hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa, Allah dapat melakukan perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah, Aku memohon kepada-Mu Tuhan yang Maha Kuasa agar kacang soya ini akan menjadi tempe. Ameen.”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan olehnya dengan sepenuh hati. Sesungguhnya dia sangat yakin bahawa Allah pasti akan memakbulkan doanya. Dengan tenang mak cik tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempenya dengan hujung jarinya. Dia kemudiannya membuka sedikit demi sedikit bungkusan tempenya. Disangkanya kejaiban telah berlaku. Kacang soyanya telah bertukar menjadi tempe. Namun apa yang diharapkan tidak berlaku. Dia termenung dan berfikir seketika. Apakah ikhtiar lain yang boleh dia lakukan? Kenapa doanya tidak diterima?

Dia tidak berputus asa. Dia berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula, lalu berdoa lagi. “ Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe ini kerana ia satu-satunya mata pencarianku. Aku mohon agar dijadikan kacang soyaku ini kepada tempe. Ameen.”

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun membuka sekali lagi bungkusan tempenya. Dibukanya sedikit demi sedikit. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila didapati tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu, hari pun semakin meninggi. Dia kira sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Disebabkan keyakinan yang sangat tinggi terhadap bantuan Allah, dia bercadang untuk tetap pergi juga ke pasar membawa barang jualannya. Mak cik itu pun berserah pada Allah dan meneruskan hasratnya untuk ke pasar sambil berdoa. Dia berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar ke semua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat tangannya untuk berdoa lagi.. “ Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku, jadikanlah tempe ini. Ameen..” Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya. Dia menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit demi sedikit daun pembungkus dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Hatinya sudah mula marasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dimakbulkan.

Dia merasakan Tuhan tidak adil padanya. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya, cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya. Dia merasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu, hari semakin petang dan pasar sudah mulai sepi. Para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe. Tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa hari itu dia tidak akan mendapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia terkejut dengan teguran seorang wanita. “ Maaf ya, saya ingin bertanya, Mak cik ada tak jual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum jumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah ada seorang pelanggan pun yang mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya, “ Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarkanlah tempe ini seperti asalnya. Ameen..”

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia rasa gembira dan bersyukur pada Allah. Wanita itu memborong habis ke semua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita itu pergi, dia sempat bertanya kepada wanita itu, “ Mengapa hendak membeli tempe yang belum menjadi?”

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum menjadi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan Allah. Allahuakhbar.....

Berdasarkan cerita tersebut ada beberapa mesej yang tersulam indah. Apa yang ana ingin sampaikan dan kongsi dalam cerita ini adalah falsafah atau mesej disebalik cerita tersebut. Betapa Allah Maha bijaksana, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita berdoa. Allah memakbulkan. Dia memakbulkan setiap doa hambanya yang soleh dengan cara yang berbeza. Tidak semua benda yang kita harap, kita dapat sama seperti apa yang kita pohon pada-Nya. Allah lebih tahu apa yang kita perlu dari apa yang kita mahu. Bersangka baiklah dengan Allah. Bila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu. Bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, “Aku bersama sangkaan hamba-Ku, sekiranya sangkaannya terhadap-Ku baik, maka baginya kebaikan, maka janganlah bersangka terhadap Allah swt melainkan yang baik.” Jika kita berdoa kepada Allah, maka hendaklah bersangka baik dengan Allah jika hajat kita tidak dimakbulkan. Mungkin Allah swt mahu memberi yang lebih baik dari apa yang kita minta. Sekiranya kita ditimpa musibah, hendaklah kita yakin bahawa di sebalik musibah yang diterima ada hikmahnya yang tersendiri. Wahai sahabat, bersangka baiklah kepada Allah dalam apa jua keadaan pun.. kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaan-Nya. Muslim itu bila diuji dia bersabar, bila diberi nikmat dia syukur. Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberi tahu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan sekiranya engkau kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Ibrahim: 7).

Kita ada Allah. Ingatlah Allah dalam apa jua keadaan. Kita diajar di dalam Islam agar sentiasa bergantung kepada Allah, nescaya kita dapati Allah sentiasa bersama kita. Sabda Nabi saw kepada Ibnu ‘Abbas ketika itu dia masih kecil, maksudnya: Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya engkau dapati dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon, pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah daripada Allah (riwayat al-Tirmizi, hadith 2516). Hadith tersebut menjelaskan kepada kita, apabila seseorang itu menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana diititahkan perintah Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah dekat dan bersama dengannya dalam semua urusan.

Persoalannya kenapa ada orang merasa jauh dengan Allah? Jawapannya kawan-kawan.. kerana merekalah yang menjauhkan diri daripada Allah. Merekalah yang menyusun bata, membina tembok menjauhi diri dari Allah. Sesungguhnya amal kebaikan yang dilakukan anak adam akan mendekatkan mereka kepada Allah namun kemaksiatan yang dilakukan menyebabkan mereka jauh dari Allah. Semoga perkongsian ini bisa memberi makna dan hikmah pada hati-hati insan yang membacanya. Ameen ya rab. Positiflah dalam niat, pemikiran dan tindakan. Bersangka baiklah dengan Allah. Berdoa dan terus berdoa. Insyaallah setakat ini sahaja perkongsian ana dan untuk akan datang, insyaallah ana akan kongsikan tentang mengapa doa kita tidak dimakbulkan.. mengapa dan bagaimana menyelesaikannya. Ya Allah moga aku istiqamah di jalan-Mu. Berikanlah aku kekuatan dan mudahkan lah urusan kami semua. Ameen. Wassalam...

~Ana Ayume: 12/12/11 18.54~

1 comment:

  1. Imam Hafizh Ibnu Hajar  berkata bahwa Qusyairy meriwayatkan dalam kitab Ar-Risalah tentang perbedaan pendapat dalam masalah berdoa mana yang lebih baik berdoa atau diam tidak berdoa dan rela menerima ketentuan takdir. Sebagian ulama bependapat bahwa lebih baik berdoa sebab dalil-dalil tentang doa banyak sekali dan berdoa sebagai bukti sikap rendah diri dan rasa memerlukan

    Sebagian yang lainnya berpendapat bahwa diam dan rela menerima putusan takdir lebih baik daripada berdoa sebagai bukti penyerahan dan kerelaan penuh dalam menerima pembagian dan karunia Allah. Orang yang berdoa tidak tahu apa yang telah diputuskan untuknya jika Allah telah mentakdirkan apa yang sedang diminta berarti memohon sesuatu yang sudah diberikan, dan apabila Allah tidak mentakdirkan apa yang diminta berarti melawan kehendak.


    Jawaban dari masalah tersebut sebagai berikut:

    Doa adalah bagian dari ibadah sebagai bukti ketundukkan dan bukti kelemahan kita dihadapan Allah. Jika dia berkeyakinan bahwa tidak akan terjadi kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan, bukan berarti berdoa adalah tindakan melawan takdir akan tetapi untuk memperlihatkan rasa ketundukan kepada Allah. Karena berdoa memiliki beberapa keutamaan ; antara lain mendapatkan pahala dari Allah atau untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin terjadi kecuali harus berdoa, karena Allah menjadikan setiap sesuatu dengan sebab-sebabnya. [Fathul Bari 11/98]

    ReplyDelete