Tersebutlah al kisah seorang pengembara yang pergi mengembara seorang diri ke sebuah hutan belantara. Sedang sang pengembara itu berusaha untuk meneroka seluruh hutan itu, tiba-tiba tersedarlah dia bahawa dia sedang diperhatikan oleh seekor singa. Maka, berlarilah sang pengembara itu sekuat hati hatinya, dengan harapan dapat melarikan diri daripada singa tersebut. Semakin dia berlari, semakin pantas singa itu mengejarnya.
Sang pengembara berlari dan terus berlari, sang singa itu juga tak berputus asa mengejar bakal hidangan tengah harinya. Mengejar dan terus mengejar, berlari dan terus berlari.. Akhirnya sampailah sang pengembara itu ke suatu tempat di dalam hutan. Di situ terdapat sebuah perigi.
Tanpa membuang masa, dia pun masuk ke dalam perigi tersebut. Dia berpaut pada tali yang terikat kemas pada mulut perigi itu, dengan harapan untuk berlindung dari singa yang kelaparan. Namun, sang singa yang gagal menangkap sang pengembara itu, masih tidak berputus asa menunggu mangsanya di luar perigi.
Di sebalik ketenangan yang dicari, sang pengembara terdengar bunyi kocakan air yang kuat dari bahagian bawah perigi. Dia menoleh ke bawah dan alangkah terkejutnya dia. Dua ekor buaya yang kelihatan sangat lapar sedang menunggunya di bawah. Sang pengembara semakin berdebar. Dup! Dup! Dup! Keadaan sang pengembara ketika itu, ibarat terlepas mulut singa, masuk mulut buaya.
Dia terus bertahan pada tali yang terikat kemas pada mulut perigi itu. Tidak lama kemudian, muncullah seekor tikus hitam di mulut perigi. Tikus itu menggigit tali yang dipaut sang pengembara. Tali itu dirasakan tidak selamat lagi. Hati sang pengembara semakin gentar. Tidak cukup dengan itu, muncul pula seekor tikus putih menggantikan tempat tikus hitam tadi. Tikus itu turut menggigit tali itu, bahkan mereka silih berganti.
“Alahai tikus-tikus ni, dah la tali ni je harapan aku, kurang asam betullah,” rintih sang pengembara di dalam hatinya. Hati sang pengembara semakin cemas dengan situasi kritikal yang menimpa dirinya ketika itu. Tiada apa yang mampu dilakukannya, selain berharap tali itu terus kukuh menampung bebannya.
Sedang sang pengembara menghadapi segala kekalutan yang menimpa dirinya, tiba-tiba muncullah sekawan lebah yang menitiskan madu ke dalam mulut sang pengembara. Kerana manisnya madu yang hinggap pada deria rasa sang pengembara, dia lupa akan ancaman-ancaman yang sedang dia hadapi. Dia lupa lupa akan singa garang di luar perigi, lupa akan dua ekor buaya di dalam perigi, lupa akan tali yang menunggu masa untuk putus dek gigitan tikus hitam dan putih tadi. Lupa akan NYAWA nya yang terancam hanya kerana setitis madu yang manis.
Agak-agak apa kesudah cerita ini.. Apa yang terjadi pada pengembara tersebut? Pendapat kamu ada betulnya.. tapi sebenarnya cerita ni tiada ending. Kerana bukan pengakhirannya yang menarik di sini, sebaliknya watak-watak dalam kisah ini. Ianya adalah satu analogi kehidupan manusia.
Sang Pengembara: lambang kepada manusia yang diutuskan ke alam ini. Kita adalah pegembara/ musafir di dunia ini. Dunia hanyalah suatu persinggahan. Tempat untuk kita memungut bekalan ke ‘negeri akhirat’.
Sang Singa: melambangkan ajal dan maut yang sentiasa mengejar kita. Semakin pantas manusia itu berlari di pentas kehidupan ini, semakin pantas ia mengejar kita.
Sang Buaya: Dua buaya yang menunggu sang pengembara di dasar perigi pula merupakan malaikat munkar dan nangkir yang sentiasa menanti kita untuk menjalankan tanggungjawabnya.
Tikus Hitam dan Putih: Simbol kepada malam dan siang yang silih berganti. Kehadirannya, menjadi penanda aras semakin singkat masa yang masih berbaki buat manusia di dunia ini.
Setitis Madu: Setitis madu yang masuk ke dalam mulut sang pengembara itu adalah nikmat dunia yang sedikit dan tidak bersifat hakiki. Namun setitik nikmat itu mampu mengalpakan sang pengembara (kita) tentang ancaman-ancaman yang sedia menanti di hadapannya.
KESIMPULAN
Kita sebagai manusia tahu bahawa ajal dan maut sentiasa mengejar kita. Pergerakan masa adalah indikator berkurang masa yang kita ada untuk terus beramal. Namun nikmat dunia yang tidak seberapa itu, meragut keinsafan kita untuk terus mengumpul bekalan untuk dibawa ‘ke sana’.
Dan Allah sesekali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiqun: 11).
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan , maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadikan kamu kerana nikmatnya bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imran: 103).
By: AyuME
No comments:
Post a Comment