Friday, February 17, 2012

Dimensi Masa



Alhamdulillah, Syukur pada pencipta yang maha agung, yang masih memberikan ana kesempatan untuk terus bernafas di buminya. Terus menghirup udaranya. Malah memberikan ana kesempatan untuk terus menulis. Begitu pantas masa berlalu. Kadang-kadang ana rasa macam tak terkejar dek dimensi masa itu. Terfikir seketika. Jika ana duduk dan hanya memerhatikan masa yang berlalu apakah yang bisa berlaku? Macam mana ya ana boleh perhatikan masa, sebab masa itu bukan objek tapi ia adalah dimensi waktu. Kita menyedari perubahan yang berlaku sedang kita tidak dapat menyentuhnya. Suatu dimensi yang abstrak, konseptual atau dalam erti kata yang lain masa itu bukanlah bersifat konkrit. Walaupun masa itu tidak nampak secara konkrit oleh indera tapi kita menyedarinya bukan.

Anda nak tahu macam mana masa yang abstrak itu boleh dilihat secara konkrit? Caranya mudah sahaja. Setiap hari ana lakukannya. Sebab ia rutin harian ana apabila pergi dan balik dari kerja.. hehe.. Apabila kita menunggu bas di tepi jalan raya, kita akan lihat banyak kenderaan yang bergerak bukan? Kenderaan yang lalu di hadapan kita itu ibarat masa. Jika kita tidak memilih untuk menaiki salah satu kenderaan yang lalu itu, kita akan ketinggalan. Dan terus ketinggalan. Ditinggalkan oleh masa yang sentiasa bergerak. Jika anda memilih untuk menjadi penunggu yang tiada reaksi, maka masa itu tidak akan mempedulikan anda. Kesimpulannya kita yang akan rugi. Hargailah masa yang kita miliki sebaiknya, kerana bersama masa itu ada ruang dan peluang. Rebutlah kesempatan itu untuk mencari makna kehidupan. Bekalan dunia dan akhirat. Mencari redha Allah.

Orang Melayu kata masa itu umpama emas, sangat berharga. Orang cina kata masa itu umpama wang. Jika kamu gagal menggunakan masa dan peluang itu kamu akan rugi. Orang Arab kata masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu. Apa pula kata anda tentang masa? Bagi ana masa itu umpama CINTA. Kenapa ana katakan masa itu umpama cinta? Jika kita meletakkan cinta pada tempat yang salah kita akan derita. Jika kita meletakkan ia pada tempat yang sesuai kita akan gembira dan bahagia. Begitu juga dengan masa. Jika kita menggunakan masa dengan sebaiknya. Melakukan aktiviti yang berfaedah kitalah yang memperoleh manfaatnya. Jika kita membuang masa, kitalah yang akan derita di kemudian hari.

Teringat ana pada kuiz imam Al-Ghazali yang pernah suatu ketika dahulu ana baca. Dia bertanya anak muridnya apakah yang paling berharga dalam kehidupan manusia selain nikmat Islam? Maka jawabnya perkara yang paling berharga selain nikmat Islam adalah masa lalu. Kita tidak mampu membeli masa lalu. Walaupun dia seorang jutawan dia tidak boleh membeli masa lalu. Dia tidak mampu memutarkan masa yang berlalu kembali kepada waktu asalnya. Sebab masa itu sifatnya sentiasa berputar seiring gerakan bumi. Regulasi waktu, putaran siang malam itu akan terus berlaku sehingga hari pengakhiran yang ditetapkan Allah. Semuanya berlaku dengan izinnya. Subhanallah.

Sabda nabi, rebutlah 5 perkara sebelum tiba 5 perkara. Masa muda sebelum tua. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum miskin. Masa lapang sebelum sempit dan masa hidup sebelum mati (Diriwatkan oleh at-Tirmidzi dan muslim daripada Amru bin Maimun). Allah juga turut menekankan tentang pentingnya seorang muslim itu menjaga waktunya. Surah Al-‘Asr ayat 1 hingga 3. Allah bersumpah. “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. Muslim yang hebat adalah muslim yang istiqamah dalam menjaga waktunya. Melakukan perkara berfaedah untuk dirinya dan perjuangan ummah. Selamat beramal. Jzkk.. =)


~by: Ana AyuMe~

No comments:

Post a Comment