Assalamualaikum. Apa
khabar iman kita hari ini teman-teman? Moga sihat luar biasa di bawah lembayung
rahmat-Nya. Sedar tak sedar tahun 2012 sudah di fasa Februari. Fasa di mana
usia ana sudah bertambah dalam bilangan numerical
nya.. Tapi bertambahkah iman dan kematangan ana.. Ku renung dalam memahami
makna di sebalik persoalan itu. Ya Allah moga iman dan kematangan ku bertambah
seiring putaran waktu yang berlalu. Ameen.. Alhamdulillah kita masih diberi
kesempatan dipertemukan Allah di alam maya ini. Berkongsi menerusi frequensi
gelombang dan kelajuan cahaya melalui transformasi tenaga. Itu maknanya ada
jodoh namanya walaupun jarak dan masa memisahkan kita. Hari ini ana ingin
berkongsi satu isu yang menarik dengan anda semua. Tentu anda semua tertarik
dan sememangnya de Bom dalam kalangan anda. Malah isu ini juga hebat
diperbincangkan dalam kalangan akhwat dan ikhwah kita. Bila satu tahun berlalu
maka hadirnya tahun baru. Maka bertambahlah angka umurku dan umurmu. =)
Ana seperti tidak
percaya tahun ini usia ana sudah 24 tahun. Rasa macam baru semalam sweet seventeen. Hehe.. Rasa seperti masih remaja. Rasa
seperti baru semalam ana meninggalkan alam persekolahan dan baru menjejakkan
kaki ke universiti. Rupanya ana sudah dewasa. Alhamdulillah, ana sudah berjaya
memperoleh ijazah pertama pada 25 september tahun lalu. Selesai sudah misi yang
pertama. Namun impian ana dalam dunia akademik masih jauh. Insyaallah ana akan
teruskan perjuangan ini. Hari ini ana nak kongsi dengan teman-teman tentang
topik Jodoh. Bila usia makin dewasa topik macam ni menjadi semakin hangat.
Lebih panas dan laku berbanding goreng pisang panas atau lebih moden lagi KFC
panas.. hehe..
Setiap orang
mendambakan jodoh yang terbaik sebagai penyeri kehidupan pada masa akan datang.
Setiap orang punya cita rasa yang tersendiri dalam memilih pasangan suami atau
isteri idaman. Manusia hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Walaupun
Allah yang menentukan namun manusia perlu berusaha mencarinya. Kalau kita tak
mulakan langkah pertama untuk mencarinya, peluang kita untuk menjumpainya akan
rendah. Itulah hukum kebarangkalian yang pernah ana pelajari dalam subjek
matematik di sekolah malah di dalam
kuliah analisis dan penyelesaian masalah yang ana pelajari di universiti. Jadi
kalau kita sudah mula mengorak langkah mencari. Bagaimanakah ciri atau pasangan
yang perlu dicari agar ia seiring dengan tuntutan Islam? Pilihan kita untuk
membina baitul muslim yang ada elemen baitul jannati wal hasanah itu perlu
teliti. Memilih bakal suami atau bakal isteri bukan seperti memilih ikan di
pasar. Asal ikan dan boleh makan. Beli sajalah. Memilih pasangan yang sesuai
penting sebab ia melibatkan soal jangka masa panjang. Soal masa depan. Bukan
untuk hidup sehari tapi untuk hidup bersama selagi hayat di kandung badan.
Insyaallah.
Daripada Abu Hurairah,
nabi bersabda “Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya,
keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang
beragama nescaya kamu bahagia.” Hadis ini bukan sahaja ditujukan kepada kaum
adam malah pada kaum hawa sebagai rujukan memilih pasangan. Berdasarkan hadis
ini jelaslah bahawa ciri utama yang mesti ada pada pasangan kita menurut ISLAM
adalah perihal agama. Jika kamu memilih pasangan kerana harta semata-mata,
harta akan habis. Jika kamu memilih pasangan hanya kerana keturunan belum tentu
keturunan boleh menjamin pasangan yang dipilih berakhlak mulia. Jika kamu memilih
pasangan hanya sekadar pada kecantikan luaran dia akan tua dan akan di makan
usia. Semua itu bersifat sementara melainkan kamu pilih pasangan yang beragama.
Dengan agama semua yang di atas pasti kamu miliki. Dalam surah Al-Baqarah ayat 122, Allah
menegaskan bahawa, “ Janganlah kamu nikahi wanita musyrik sebelum mereka
beriman. Sesungguhnya wanita yang mukmin lebih baik daripada wanita musyrik
walaupun ia menarik hatimu.”
Jika seorang memilih
pasangan kerana agamanya, cinta yang hadir adalah cinta yang murni. Cinta yang
hadir adalah cinta yang ikhlas kerana Allah. Cinta beginilah akan kekal lama
kerana ia terlahir dari rasa tanggungjawab dan pengabdian diri kepada Allah. Menurut
teori cinta yang dikemukan oleh ahli psikologi sosial Stenberg. Menurut beliau
cinta tersebut adalah selari dengan makna consummate
love yang dikemukan olehnya.. Comsummate
love adalah cinta yang terhasil dari gabungan intimacy, passion dan commitment.
Menurut Strenberg lagi cinta tersebut adalah cinta yang paling sempurna. Teori
yang dikemukan beliau ini adalah selari dengan pandangan Islam. Comsummate love hanya akan terhasil
apabila cinta yang terbentuk adalah beracuan agama Islam. Cinta kepada
seseorang kerana Allah. Sternberg's Triarchic Theory of Love.
Indah bukan cinta yang begitu?
Sebagai manusia biasa, kita pastinya mendambakan cinta manusia walaupun cinta Allah
itu cinta pertama dan utama. Setiap orang akan berusaha mencari pasangan yang
terbaik. Itu fitrahnya. Nak ke kita pasangan yang tak baik? Tepuk dada tanya
iman. Mat dan minah rempit di kaki lima pun bila ditanya pasangan yang
bagaimana mereka inginkan? Laju sahaja di mulut isteri yang solehan. Suami yang
soleh jawabnya. Inikan kita, teman-teman. Tapi, bagaimana kita ingin mencari
pasangan yang sebegitu? Ana bukan pakar cinta tapi ana ingin berkongsi dengan
teman-teman agar kita memperoleh manfaatnya bersama. Ana harap input ini bisa
memberi panduan kepada insan-insan di luar sana yang masih mencari-cari jawapan.
Jawapan ini ana kutip hasil pengetahuan, pemerhatian dan pengalaman ana di sepanjang
perjalanan kehidupan ini. Walaupun pengalaman ana cetek jika nak dibandingkan
dengan orang-orang yang telah lama makan garam dahulu tetapi ana yakin ianya
bisa memberi perkongsian yang bermakna. Ku kongsikan rahsia ini bersama. Bukan
sekadar dikongsi tapi boleh diaplikasi. Insyaallah.
Pada ana ada dua cara
kita boleh gunakan untuk mencari pasangan yang terbaik. Adakah melalui couple? Couple test and break? Try
and error? Tak ok, break dan cari yang baru sehingga dirasakan sesuai? Anda
rasa adakah itu jawapannya. Kajian membuktikan bahawa teknik tersebut diminati
dan diamalkan ramai namun hasilnya? Anda sendiri tahu jawapannya bukan. Ramai
yang tersasar di tengah jalan, kandas dalam memburu cinta. Bahagia yang dikejar
namun derita yang diperoleh. Kenapa keadaan ini berlaku? Jawapannya mudah
kerana cinta yang dibina bukan atas dasar kasih sayang kerana Allah tapi atas
garisan nafsu yang infiniti. Dua cara yang boleh kita gunakan dalam mencari pasangan
yang terbaik; pertama berusaha untuk menjadi yang terbaik, kedua mewakilkan orang
yang baik (agama, akhlak dan memahami diri kita) untuk memilih pasangan yang terbaik untuk
kita. Kita perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik jika kita inginkan
pasangan yang terbaik. Allah berfirman dalam surah An-Nur yang bermaksud," Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahad untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. (an-Nur: 26). Itu janji Allah. Janji Allah adalah janji yang pasti.
Kedua-dua wasilah ini
boleh digabungkan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Kenapa ana kata
kedua idea ini merupakah wasilah yang terbaik dalam usaha mendapatkan pasangan
yang terbaik? Sebab diri anda umpama magnet. Diri anda mampu menjadi “magnet”
yang menarik bakal pasangan anda kepada anda. Sifat magnet ialah menarik
sesuatu yang mendekati medan magnetnya. Menarik sesuatu yang mempunyai
persamaan dengannya. Magnet hanya menarik bahan logam atau besi. Magnet tidak
menarik kayu atau plastik. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa individu yang
baik (agama dan akhlaknya) akan menarik individu yang juga mempunyai
persamaannya dengannya. Individu yang
berkawan dengan pembuat minyak wangi, dia juga turut berbau wangi namun individu yang berkawan dengan tukang
besi ia juga akan turut merasa bahangnya api. Analogi ini menjelaskan bahawa
individu yang baik akan berkawan dengan orang yang baik. Baik dalam konteks ini
merujuk kepada baik agama dan akhlaknya.
Cuba anda fikirkan
secara logik, adakah seorang yang kaki masjid akan berkawan dengan seorang yang
kaki botol? Jika ada. Aneh bukan. Kerana kedua-dua ciri tersebut terlalu kontra.
Dalam hal mencari jodoh atau pasangan ini juga begitu. Jika anda seorang yang
baik adakah anda akan tertarik hati atau berminat kepada orang yang tidak baik.
Secara logiknya jika anda mewakilkan orang yang baik untuk mencari jodoh anda
mana mungkin dia akan mencari jodoh yang tidak baik kepada anda? Biasanya
lingkungan rapatnya juga orang baik. Jadi yakinlah dengan pertimbangan dan
wasilah ini walaupun ada yang dalam kalangan kita yang tidak memahami
mengatakan cara ini cara kuno. Cara orang zaman dahulu. Biar apa pun komentar
mereka anda tahu bahawa cara ini adalah cara yang terbaik untuk anda. Malah
cara ini juga diamalkan oleh nabi Muhammad dan para sahabat. Mereka berusaha
mencari yang terbaik dan mewakilkan orang yang baik untuk memilih pasangan yang
sesuai. Jika anda ingin kepastian berdasarkan pengalaman cubalah sendiri cara
ini dan ana yakin anda akan menemui hikmah dan buktinya. Insyaallah.
Apakah ciri pasangan
terbaik yang boleh melengkapi hidup kita? Pilihlah agama sebagai yang utama,
nescaya kamu akan bahagia. Kita sudah tahu ciri pasangan yang boleh menjadi
pertimbangan dan juga wasilahnya tetapi bagaimana
pula kita hendak memastikan bahawa orang yang ditemui itu benar-benar jodoh
kita? Bukan mudah untuk menjawab persoalan ini. Soal jodoh adalah rahsia Allah,
tapi Allah menghadiahkan kita sesuatu yang sangat berharga dalam mengenal cinta
Allah dan cinta manusia iaitu gerak hati. Hati yang sentiasa dekat kepada Allah
mempunyai daya kepekaan yang tinggi dalam mengenal betul dan salah. Gerak hati
orang yang beriman sering kali benar dalam memberi jawapan. Yakinlah. Cara
mengenal insan yang ditemui itu jodoh kita, pertamanya ialah melalui gerak
hati. Hati kita akan berdebar pada denyutan yang luar biasa. Hati itu seolah
memahami apa yang dialami pemilik diri. Kita mungkin menemui perempuan cantik
mahupun lelaki hensem dalam kehidupan tetapi ia gagal menarik hatimu kerana dia
buka jodoh kamu. Anda setuju dengan kenyataan ana? Deria hati memang hebat.
Masyaaallah. Maha sempurna ciptaanmu. Dan hati itu dikurniakan kepada setiap
makhluk hidup yang bernama manusia.
Gerak hati boleh
dijadikan pertimbangan yang pertama. Bagaimana cara untuk mengukuhkan gerak
hati ini dan meyakini pilihan yang dibuat? Kita boleh lakukan solat istikharah. Berdoalah supaya Allah teguhkan hati dalam
membuat keputusan. Daripada Aishah r.a meriwayatkan daripada Abu Bakar bahawa Nabi
s.a.w apabila hendak melakukan sesuatu perkara baginda berdoa, “ Ya Allah
berikanlah kebaikan kepadaku dan pilihlah untukku.” Doa ini juga boleh kita
jadikan amalan. Agar segala pilihan yang kita buat itu adalah pilihan dari
Allah bukan pilihan berdasarkan nafsu.
Antara tips lain yang boleh digunakan untuk mengenali jodoh kita adalah 3M. Apa itu 3M? 3M itu merujuk kepada perkataan MEMAHAMI, MEMAAFKAN dan MEMOTIVASIKAN. Individu yang memiliki ciri tersebut selain geraj hati mampu menjadi petanda dia adalah jodoh kita. Pasangan yang baik mestilah saling memahami antara satu sama lain. Saling melengkapi. Tak faham dan tak kenal maka tak cinta. Untuk kenal dan faham mestilah melalui proses ta'ruf yang berterusan. Mampu menerima kelemahan dan kelebihan pasangan serta berusaha untuk saling melengkapi dengan memperbaiki diri bersama. Menghargai pasangan seadanya. Sifat memaafkan juga penting dalam memastikan hubungan kekeluargaan itu bisa kekal lama. Pasangan yang jujur dan ikhlas pasti berani untuk mengaku salah dan menegur pasangan. mereka juga sedia memaafkan pasangan. Selain itu, pasangan yang baik adalah pasangan yang mampu memotivasikan dan menghormati pasangannya. Sanggup susah dan senang bersama. Saling sokong menyokong antara satu sama lain. Pasangan suami isteri itu ibarat simbiosis bukan parasit. Simbiosis itu sifatnya saling berkongsi dan keduanya memperoleh manfaat bersama manakala parasit pula menindas satu pihak yang lain untuk kepentingan diri sendiri. Ciri itu hanya sebahagian yang ana boleh kongsikan dan ada banyak lagi. Bagaimana untuk mendapatkan lebih input? Maka banyakkanlah membaca. Membaca itu kunci gedung ilmu =)
Diharapkan perkongsian itu mampu menghadirkan hikmah. "Ya Allah kurniakanlah kami pasangan yang bisa mendekatkan kami pada-Mu bukan yang menjauhi kami dari agama-Mu. Lindungilah kami dari jurang nafsu yang melalaikan. Bimbinglah kami Ya Rab, bukakanlah pintu hati kami untuk mengenal jodoh kami. Temukanlah kami dengan pasangan yang soleh/solehah pada masa dan tempat yang sesuai. Ameen ya rab. Pada-Mu kami berharap.
~by: Ana AyuMe~
~by: Ana AyuMe~
Salam
ReplyDeleteAna Ayume perkongsian yang sgt berinformasi... bila nak kongsi ttg hikmah yang kita perolehi semasa perjalanan kita mendaki sebuah gunung di Pahang ^_^. Tak sabar menunggu untuk membaca dan menghayatinya.... R J