Sunday, April 1, 2012

Pasu yang ReTaK



Assalamualaikum. Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan izin-Nya kita masih diberikan kesempatan menikmati udaranya. Berkongsi idea dan bicara di alam maya. Merentasi frequensi dan gelombang. Akhirnya kita bertemu di paparan skrin laptop mahupun komputer masing-masing. Alhamdulillah. =) Hampir satu bulan lebih ana tidak mengemas kini post terbaru ana di teratak Citra Ayume. Bukan tiada niat di hati untuk menulis dan berkongsi dengan teman-teman tapi masa terlalu mencemburui. Hari ini alhamdulillah ana diberikan kelapangan masa. Maka jejari ini pantas berlari di papan kekunci menyusun bicara. Bicara dengan bahasa maya untuk kita kongsi bersama. Hari ini ana nak kongsi dengan teman-teman tentang cerita pasu yang retak. Ana kira kisah ini sangat menarik. Kali pertama ana mendengarnya dalam satu majlis ilmu di Darus Sakeenah atau singkatannya Ds. Rumah akhwat yang mengajar ana erti ukhwah dan persahabatan. Memang sakeenah. =) Teman-teman kalau diberi pilihan nak pasu yang retak atau nak pasu yang sempurna? Ana percaya teman-teman pasti ada jawapan masing-masing.. Sebelum kalian membuat keputusan muktamad mari kita telusuri bersama memahami kisah pasu yang retak ini.


Cerita ni tentang seorang wanita tua. Rutin hariannya mengangkut air dari sungai ke rumah untuk kegunaan harian. Pada waktu itu belum ada paip lagi. Maka mengangkut air dari sungai menjadi keperluan orang ketika itu. Wanita tua ini mempunyai dua bekas pasu air. Pasu itu di gantung di setiap setiap penjuru galah dan dibawanya saban hari untuk mengangkut air. Salah satu pasu tersebut telah retak sedikit sementara pasu yang satu lagi masih elok dan selalu dapat mengisi air dengan penuh. Pada akhir perjalanan yang jauh dari sungai ke rumahnya, pasu yang retak tersebut hanya dapat sampai dengan separuh air yang penuh sahaja. Keadaan ini berlaku setiap hari selama dua tahun. Wanita tua itu hanya dapat membawa satu setengah pasu yang berisi air sahaja.

Pasu yang sempurna tersebut semestinya sangat berbangga dengan pencapaiannya. Hal yang sebaliknya berlaku pada pasu yang retak itu. Pasu yang retak itu berasa sangat malu atas ketidaksempurnaanya dan berasa sedih kerana ia hanya mampu membawa separuh air daripada sepatutnya. Setelah dua tahun berlalu dengan perasaan kepahitan dan kegagalan, pasu retak tersebut berbual dengan wanita tua itu di tepi sungai. “Aku rasa sangat malu dengan diriku, kerana diriku yang retak ini menyebabkan air tertumpah di sepanjang perjalanan ke rumahmu”. Wanita tua itu tersenyum dan berkata.. “Sedarkah kamu akan bunga-bunga yang mekar di bahagian laluan kamu, tetapi tidak di laluan pasu yang lagi satu?” Wanita itu menambah lagi katanya, “Itu kerana aku selalu menyedari kekurangan dirimu, oleh itu, aku telah menyemai benih-benih bunga di bahagian laluan kamu. Setiap hari apabila kita pulang dari sungai, tanpa kamu sedari, kamu telah menyiram benih-benih bunga itu. Selama dua tahun, aku berpeluang untuk memetik bunga-bunga yang cantik ini untuk menghiasi meja kediamanku. Sekiranya kamu tidak menjadi dirimu sendiri, mungkin tiada keindahan sebegini di rumah ini.”



Agak-agak apakah mesej yang ingin disampaikan melalui cerita ini teman-teman? Tidak kisah cerita ini datang dari sumber mana tapi bagi ana mesej cerita ini sangat berguna dan bermakna. Cerita pasu yang retak ini adalah satu analogi tentang diri kita. Setiap daripada kita bukanlah insan yang sempurna walaupun kita berusaha untuk menjadi sempurna. Berusaha untuk menjadi sempurna dengan pelbagai cara yang berbeza. Namun kesempurnaan itu kita tidak akan mampu mencapainya jika tidak tahu dan mahu untuk memahami fitrah manusia. Manusia sifatnya lemah, namun lemah itu bukan alasan untuk mencipta perubahan dan menjadi lebih baik dari semalam. Sebab kita punya pilihan untuk berubah. Menjadi insan yang cemerlang dalam hidup, kita perlu memahami kekuatan dan kelemahan kita. Memahami kekuatan bukan untuk dibanggakan. Memahami kelemahan bukan untuk rasa tewas dan lemah. Apabila kita memahami kelebihan yang ada pada diri kita, kita boleh jana ia menjadi satu tenaga luar biasa. Kelebihan yang boleh disalurkan untuk perjuangan ummah. Jika kita tahu di mana kelemahan kita. Maka mudahlah kita membaikinya. Ia umpama mencari titis air di atap yang bocor. Jika kita tidak tahu di mana lubangnya, mana bisa kita menampalnya di tempat yang betul. Bagaimana kita ingin menghentikan atap yang tiris tersebut? Begitu juga dengan diri kita. Selamilah diri kita. Fahamilah diri kita sebelum kita cuba untuk memahami orang lain.

Setiap kita mempunyai kekurangan yang tersendiri namun sahabat yang baik itu umpama penampal pada atap yang bocor itu. Manusia itu sifatnya saling melengkapi. Sahabat yang baik umpama penawar pada kekurangan kita. Bila salah ditegur dan dibimbing. Saling menghargai dan memahami. Menerima kita seadanya kerana sifatnya sahabat yang baik itu saling melengkapi. Tidak ada orang yang benar-benar sempurna dalam hidup ini. Kesempurnaan itu hanya milik Allah. Keretakan dan kekurangan kita itu sebenarnya  menjadikan hidup kita istimewa dan bermakna. Bila ada orang senang, ada juga orang susah. Orang senang itu ada peranannya. Orang susah itu juga ada peranannya. Orang senang apabila melihat orang susah maka perlu diberi bantuan. Perlu diberi pertolongan berdasarkan kemampuan. Orang susah bila diuji. Maka dikayakan dia dengan sifat sabar. Orang senang bila diuji dikayakan dia dengan sifat penyayang dan pemurah. Perkongsian dalam hidup ini menjadikan kita sempurna. Saling melengkapi antara satu sama lain.Perkongsian hidup kita amat menarik dan bermanfaat.


Terimalah setiap manusia seadanya dan melihat kebaikan di dalam diri mereka dan cuba membantu insan lain selagi terdaya. Sesungguhnya kita sama di sisi Allah melainkan ketakwaan.  Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 13 bermaksud, “ Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Setiap manusia ada kelebihan dan peranannya dalam menjadikan dunia ini harmoni. Hargailah apa yang anda miliki kerana ia anugerah yang istimewa dari Ilahi. Kenali diri, fahami potensi. Insyaallah kita mampu menjadi insan menyenangkan sesiapa sahaja. Dicampak ke lautan menjadi pulau. Di campak ke daratan menjadi benua. Moga perkongsian ini mampu menghadirkan hikmah pada insan yang berfikir. Jzkk. =)



http://www.youtube.com/watch?v=IpMjfmHSDwM


By: Ana AyuMe =) 

No comments:

Post a Comment