Sunday, July 8, 2012

Si Kecil dan Piano



Sudah lama ana tidak update post di teratak Citra AyuMe. Bukan tiada niat di hati untuk menulis tapi masa terasa mencemburui. Moga perkongsian dalam masa yang singkat ini mampu menghadirkan hikmah kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Aameen.. Hari ini ana nak kongsikan satu kisah dengan teman-teman. Kisah tentang Si kecil dan piano. Apakah signifikan cerita ini dengan kehidupan kita? Renung-renungkan.. Fikir-fikirkan.. Ana tinggalkan persoalan ini kepada teman-teman untuk difikirkan. Moga lepas anda membaca cerita ini teman-teman akan menemui jawapannya. Insyaallah.


Kisah ini menceritakan tentang seorang ayah yang mempunyai seorang putera yang berusia lebih kurang 5 tahun. Ayah tersebut menghantar puteranya ke sekolah muzik untuk belajar piano. Ayahnya inginkan anaknya kelak menjadi seorang pianis terkenal.


Pada suatu hari, di kota tempat tinggal mereka, datang  seorang pionis yang sangat terkenal dan tiket persembahan pianis tersebut habis dijual dengan cepat sekali. Sang ayah sempat membeli dua tiket persembahan itu untuk dirinya dan putera kesayangannya. Pada hari persembahan tersebut. Sebelum satu jam persembahan dimulakan, semua kerusi di dalam dewan persembahan telah hampir penuh diduduki oleh penonton. Sang ayah duduk  disamping puteranya di sisi. Kebiasaan kanak-kanak tidak lah betah duduk diam dalam jangka masa yang agak lama. Dalam keasyikkan sang ayah menunggu persembahan dimulakan, anak kecil ini sudah hilang dari kerusinya. Dia menyelinap ke suatu arah jauh di sudut pentas.


Ketika lampu diredupkan cahayanya sebelum persembahan dimulakan, Sang ayah terkejut menyedari bahawa puteranya sudah tiada disampingnya lagi. Lebih mengejutkan lagi, sang ayah melihat puteranya sedang berjalan menuju ke piano yang terdapat di atas pentas persembaan. Tanpa rasa takut dan didorong oleh rasa ingin tahu dia terus melangkah dan mengambil tempat di hadapan piano. Si kecil ini mula memaikan sebuah lagu. Lagu kanak-kanak yang sering didengarnya, iaitu "twinkle-twinkle little star."


Operator lampu sorot terkejut mendengar suara piano dan berfikir bahawa persembahan telah dimulakan. Lalu ia menyorot lampu ke tengah pentas di mana letaknya piano tersebut. Seluruh penonton terkejut kerana melihat kanak-kanak kecil yang bermain piano bukannya seorang pianis yang terkenal. Sang pianis juga terkejut dan ia bergegas naik ke atas pentas. Melihat kanak-kanak tersebut, sang painis tidak marah, ia tersenyum seraya berkata, " teruslah bermain." Sang pianis duduk di samping kanak-kanak tersebut dan mulai bermain piano bersama bagi mengimbangi muzik yang dimainkan oleh kanak-kanak tersebut. Akhirnya tercipta satu alunan muzik yang indah. Bahkan, mereka seakan bersatu dalam bermain piano. Ketika selesai persembahan, seluruh penonton memberikan tepukan yang gemuruh dan banyak jambangan bunga dilemparkan ke atas pentas.


Kanak-kanak tersebut berkata sendirian, " Wah, baru sebulan belajar piano sudah jadi hebat!" Kanak-kanak tersebut lupa bahawa yang disoraki tadi adalah sang pianis tersebut yang mengisi semua kekurangannya dan menjadikan alunan muziknya sempurna.


Jadi, apa signifikan cerita ini dengan kehidupan kita? kadangkala, kita bangga akan segala rencana hebat yang kita lakukan, segala aktiviti besar yang sempurna kita laksanakan dan juga apa yang berjaya kita lakukan. Pernahkah kita terfikir adakah kerana perancangan yang teliti dan kegigihan kita sahaja membuatkan apa yang kita rancang berjalan dengan sempurna? Adakah sekadar itu? Tidak teman-teman. Di setiap kejayaan atau kegagalan yang berlaku itu adalah dengan izin ALLAH.  Allahlah yang berada di samping kita. Kita umpama kanak-kanak tersebut dan tanpa Allah di samping kita, semua yang kita lakukan akan menjadi sia-sia. Tapi.. apabila Allah di samping kita, sesederhana apapun hal  yang kita lakukan tersebut akan menjadi hebat dan baik, bukan sahaja mendatangkan faedah buat diri kita malah kepada orang lain di sekitar kita. Masyaallah.. Hebat bukan. Semoga kita tidak pernah lupa bahawa Allah ada di samping kita sentiasa mengisi setiap kelemahan yang terdapat dalam diri kita. Allah berfirman yang bermaksud:


"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu, maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan. Kemudian apabila Dia telah menghilangkan kemudaratan itu daripada kamu, tiba-tiba sebahagian dari kamu mempersekutukan Tuhannya denga (yang lain). Biarlah mereka mengingkari nikmat yang telah kamu berikan kepada mereka; maka bersenang-senanglah kamu, kelak kamu akan mengetahui (akibatnya)." (An-Nahl:53-55).


Teman-teman ana pasti anda telah mengetahui jawapan di sebalik cerita yang ana kongsikan ini bukan. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita, yang menyempurnakan apa yang kita rancang adalah Allah. Jika dia berkata jadi maka jadilah. Semuanya berlaku dengan  izin-Nya. Jangan kita jadi orang yang lalai dan alpa apabila kita berjaya kecapi apa yang kita ingini. Namun kita lupa kepada siapa yang menyempurnakan hajat dan usaha kita. Sesungguhnya Dialah Allah yang Maha Sempurna lagi Maha Pemurah. Dia lah yang melengkapkan dan menyusun puzzle hidup kita dengan penuh hikmah. Lukisan puzzle kehidupan kita sudah terlakar indah namun kitalah yang perlu berusaha untuk meletakkan ia pada susunan yang sesuai. Hidup akan lebih bererti bila kita kenal erti syukur dan menikmati apa yang kita miliki. Dan yang lebih best bila kita kenal pencipta kita. Kita kenal Allah, kita kenal Islam. Bukan sekadar tahu tapi kita faham daan praktiskan ia dalam bentuk amal. Hidup lebih tenang bila Islam bersemadi dalam diri. Akhlak yang indah akan menghiasi diri tercermin dari nilai takwa kepada ilahi. Sempurnakan hidupmu dengan Islam yang sempurna. Selamat beramal. =) Memaknai hidupmu dengan kalam ilahi. Menyemai cinta Ilahi.


~Ana AyuMe~ 26 Syaaban 

No comments:

Post a Comment