Hujan renyai-renyai
membasahi bumi. Menyegarkan pohonan yang dahagakan rintik hujan. Angin lembut
menghembuskan alunannya. Menyegarkan suasana petang, menghasilkan rasa damai
pada sekeping hati. Sedar tidak sedar.. tahun 1433 hijrah sudah di
penghujungnya. Masuknya waktu maghrib tahun ini, bermakna tahun baru telah
melabuhkan tirainya. Peristiwa semalam
telah menjadi catatan sejarah dalam kanvas kehidupan dan lukisan baru bakal di
corak pada kembara kanvas masa depan. Ya Allah mudahkanlah perjalanan ini.
Sesungguhnya aku tahu bahawa jalan menuju redhaMu ini tidak akan dihidangkan
dengan permaidani merah mahupun sepatu cinderella.. Apa yang di depannya adalah
gelombang cabaran yang menggoyangkan. Pengorbanan yang tidak mengenal erti putus
asa dan kecewa. Aku hanyalah insan biasa yang cuba untuk menjadi rijal luar
biasa dalam membangunkan ummah ini. Ya Allah mudahkanlah perjalanan ini.
Tetapkanlah hati ini agar berada dalam barisan hambaMu yang berusaha
mengembalikan kegemilangan Islam. Satukanlah hati-hati kami, pemikiran dan
tindakan kami dalam menegakkan amanah syahadah yang kami pegang ini Ya Rab.
Jika aku khilaf dalam mengatur langkah, menyusun ayunan rentak perjalanan ini.
Tegurlah daku ya Allah. Sama ada melalui
tarbiyyah langsung dari Mu atau melalui insan-insan yang dekat dengan Mu ya
Rab. Hanya Engkau Tuhan yang aku sembah, Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Pemberi
Petunjuk. Mudahkanlah perjalanan ini. Ameen ya Rabbal Alamin. ..Menolog
sekeping hati...
Mentari
senja membenamkan cahaya jingganya di ufuk Barat. Azan Maghrib berkumandang di
dada langit menandakan masuknya tahun baru. Terasa begitu pantas masa berlalu.
Menurut hukum masa jika sesuatu tidak bergerak seiring detiknya ia bakal
ditinggalkan oleh roda masa yang sentiasa berputar laju. Tiada siapa yang dapat
menghentikan putarannya melainkan pemilik-Nya, Allah. Masa aku yang dulu dan
hari ini terasa begitu berbeza. Sedangkan detik masanya sama dalam sehari.
86400 detik sehari, bersamaan 24 jam. Hakikat masa itu tidak berubah, yang
berubah hanya aktiviti yang dilakukan untuk mengisi masa itu. Orang yang bosan
atau sedih merasakan masa itu terlalu panjang. Sedangkan orang yang sibuk atau
dalam emosi gembira pula merasakan masa itu terlalu pendek. Siapakah yang meletakkan
neraca masa itu panjang dan pendek? Jawapan mudah. Tentulah orang yang
berhadapan dengan masa itu sendiri bukan?
Masa
seorang murabbi begitu berharga. Murabbi itu bukan membina bangunan kaku tapi
membina insan bernama manusia. Sifatnya tidak kaku seperti batu mahupun
konkrit. Mutarabbi itu sensitif sifatnya. Perlu disentuh dengan sentuhan seni.
Perlu diadun dengan belaian kasih. Perlu disantuni dengan jiwa bersih.
Memerlukan kesabaran tahap super maksima. Bukan mudah untuk menjadi murabbi
berjiwa kental, berhati waja. Semuanya tidak mustahil dengan tarbiyyah yang
terbina. Murabbi itu bukan menyuapkan mulut mutarabbi itu dengan hidangan ilmu
enak yang hanya sedap dihidu atau dipandang mata. Ilmu yang dihidangkan itu
perlu diadun dengan nilaian fikrah dan
amal. Perlu dihadam dan bergerak dalam seluruh urat nadi dan menjadi serasi
dengan hati, akal dan jasad mutarabbi. Sebati dalam menghasilkan kualiti.
Membina bukan atas dasar ilmu semata tapi berdasarkan rukun faham dan amal.
Murabbi itu hadir untuk membentuk insan yang soleh wal muslih. Yang faham
tentang tujuan penciptaannya. Yang tahu dia adalah abid dan khalifah di muka
bumi Allah ini. Yang sentiasa mendokong perjuangan mengembalikan khilafah
Islamiyyah. Yang berusaha mengembalikan Islam dipuncak rujukan. Agar ia kembali
menjadi role order dunia. Menjadi
rujukan seluruh alam (ustaziyatul alam).
Tanggungjawab
murabbi bergelar daei’ itu besar, menggalas dakwah illallah. Mengajak manusia
kepada mengesakan Allah.
“
Katakanlah, Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak
(kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tiadalah
termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yusuf: 108).
Membawa misi para rasul
Allah. Menyeru manusia kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Apabila
tugas yang digalas setanding misi para rasul, adakah amalnya sekadar cukup
seperti orang biasa-biasa. Sepatutnya dia dengan Allah lebih dekat. Lebih dekat
dia dengan manusia maka dia sepatutnya lebih dekat dengan Allah.
Berhadapan
dengan insan bergelar manusia yang bermacam latar belakang, bermacam ragam dan personaliti
memerlukan murabbi yang mampu beradaptasi. Beradaptasi dalam membentuk magnet. Insan
magnet yang bersifat positif itu bukan sahaja boleh menarik orang yang memang
sedia baik tetapi menarik orang yang sedang cuba menjadi baik dan sedia
berubah. Umpama magnet.. Magnet yang positif akan menyediakan medan elektromagnetik
yang sedia menarik perkara postif. Begitu juga dengan manusia bernama murabbi.
Untuk menghasilkan daya tarikan positif, murabbi itu yang pertamanya perlu
menjadi hamba kepada Allah dan khalifah kepada manusia. Tarbiyyah diri dan
mentarbiyyah mutarabbi itu perlu seiring agar rantaian generasi pewaris
syahadah itu terus teguh menyusun barisan rijal umpama al-Fateh dan Sallehuddin
al-Ayubi. Jika itu misinya dan indikatornya. Insyaallah kita akan menang suatu
hari nanti.
Wahai
insan yang bergelar murabbi dalam arena tarbiyyah berwasilah usrah. Yakinlah
bahawa yang memiliki hati manusia itu Allah. Yang memiliki hati dan jiwa kita
ini Allah. Mendapatkan sesuatu yang datang dari Allah, kita kena kembali kepada
Allah. Bersabarlah dalam membina mutarabbi yang diamanah Allah ini. Bajailah
mereka dengan rasa izzah terhadap Islam. Jangan pernah rasa penat dan kecewa
dalam perjalanan yang panjang ini. Ketahuilah bahawa sunnatullah penegak al haq
(kebenaran) itu berliku dan penuh onak cabaran. Ketahuilah bahawa usaha yang dilakukan itulah yang dinilai Allah
bukan natijahnya.
Dan
tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada
(mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta mengerjakan amal soleh, sambil
berkata, “sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri!” (Fussilat:
33)
Yakinlah janji Allah.
Allah akan menghadiahkan tempat terbaik untuk hambanya yang berjuang untuk
agamanya, yakni syurga yang penuh kenikmatan. Kenikmatan yang tidak sebanding
dengan nikmat fatamorgana yang dikejar manusia wahan.. Muhasabah dalam memburu
cinta Allah. =)
Nukilan
Ayume
1
Muharam 1434 H
15
Nov 2012
No comments:
Post a Comment