Saturday, September 4, 2010

Ilmu Ikhlas


"Mari kuajarkan kamu tentang ilmu ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.
"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."
"Tak payah, bawa sahaja karung guni."
"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
"Mari kita ke pasar!"

Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
"Kutib batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temuai sepanjang jalan.
"Cukup?"
"Belum. Isi sampai penuh karung guni itu."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar keluar.
" Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?"
"Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?"
"Ya, ya.." kata si murid, agak kelelahan.

" Banyak beli barang,tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan dengan guni yang kelihatan berat itu.
"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya! Banyak sungguh barang yang mereka beli," kata seseorang.
"Agaknya, mereka hendak buat kenduri besar kot," kata yang lain pula.

Sebaik sahaja kembali di tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi-batu-batu tadi.
"Oh, letih sungguh.. apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni tuan guru?"
"Tak buat apa-apa."
"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.
"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas."
"Ikhlas?" Si murid kehairanan.
" Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."
"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu."

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"
"Ya, hanya berat sahaja ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi ALLAH. Yang kamu dapat, hanya penat."

"Ya, sekarang saya faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar sang murid.

Sumber: majalah solusi

Amalan yang dilakukan tanpa keikhlasan umpama memikul batu yang berat tapi tiada nilainya. Amalan tanpa keikhlasan adalah sia-sia. Dalam surah Al-Baqarah Allah mengumpamakan orang yang melakukan amalan tanpa keikhlasan umpama batu yang licin. Pada awalnya batu (amalan) itu bertanah (berpahala) namun apabila ditimpa hujan (sifat riyak atau tidak ikhlas) batu itu menjadi licin (amalan yang sia-sia, terhapusnya pahala kerana sifat riyak).

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah mu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah di hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu yang licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun daripada apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
(Al Baqarah: 263-264)

Melakukan suatu amalan dengan penuh keihklasan bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Jika kita tidak mahu amalan kita umpama memikul batu kerikil berusahalah untuk ikhlaskan diri. Melakukan amalan semata-mata kerana inginkan keredhaan Allah. Sifat ikhlas dan pemurah dalam diri perlu dilatih. Dengan latihan berterusan ia mampu meresap ke dalam jiwa maka terzahirlah ia melalui perbuatan. Jika kita sukar untuk ikhlas berdoalah kepada Allah agar hati ini dibukakan untuk ikhlas dalam setiap perbuatan. Mulakan harimu dengan niat yang ikhlas. Tingginya nilai sebuah keikhlasan. Hati yang ikhlas mampu mencairkan benteng ego. Menggetarkan hati yang kaku kerana di situ terselitnya kasih sayang. Kasih yang terlahir kerana Allah.

Bagaimana menilai Keikhlasan? Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam di malam yang kelam. Keikhlasan itu sukar dinilai melalui luaran tapi mampu dirasai dengan rasa hati.. Hanya Allah yang lebih mengetahui sejauhmana keikhlasan individu.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah mangetahui."
(Surah Ali Imran: 29)

Sabda Rasulullah: " Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang diniatkan.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Kritis AyuMe

No comments:

Post a Comment