Saturday, September 4, 2010

Katakan Tak Nak kepada Rokok !

Di mana-mana saja ada orang yang menghisap rokok. Tak kira muda atau tua, lelaki atau perempuan. Asap rokok memenuhi ruang udara. Bagi yang merokok, tentu tak rasa apa-apa walaupun diri mereka dikelilingi oleh kepulan asap rokok. Tapi sebaliknya pula bagi yang tak merokok, bau asapnya sudah meloyakan tekak!

Sekarang zaman dah jauh berubah. Orang tua di kampung pun dah pandai hisap rokok pelbagai jenama atau hisap cerut. Dah moden! Bila bercakap tentang ‘moden’, ada pula yang menyalah tafsirkan istilah ‘moden’ itu sendiri. Kononnya kalau nak kelihatan moden, kenalah bersikap dan mempamerkan ciri-ciri orang yang moden. Salah satunya, dengan merokok. Amboi! baru saja menjejakkan kaki ke sekolah menengah, dah mula berjinak-jinak dengan asap rokok . kononnya nak jadi orang moden! Betul ka cara tu?

Bila masuk saja ke sekolah menengah budak-budak lelaki mulalah nak tunjuk siapa yang macho dan siapa yang lebih ‘besar’. Dah pandai kongsi beli rokok. Kemudian sanggup curi-curi hisap rokok dalam tandas yang berbau hapak! Kalau balik sekolah pula, mulalah nak tunjuk ‘terror’ menghisap rokok di khalayak ramai walaupun masih berpakaian unifrom sekolah! Bila ramai yang memandang, makin tinggi pula ego diri mereka. Kononnya mereka nie dah cukup besar, dah boleh merokok! Tiada sesiapa yang boleh larang mereka. Di kalangan remaja sendiri, merokok bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah ada yang seawal 12 tahun sudah berjinak-jinak dengan rokok! Kata mereka, rokok itu membawa imej ‘macho’. Bila ditanya, kata mereka barulah betul-betul anak jantan kalau berani merokok! Hai adakah merokok ukuran kejantanan, kemodenan, atau kemachoan seseorang?

Bayangkanlah, betapa teruknya penyakit gila merokok menular di kalangan masyarakat. Walaupun sudah sedia maklum dengan kandungan rokok yang terdiri daripada bahan berbahaya seperti Ammonia (pencuci lantai), Karbon Monoksida, Kadmium Metanol (bahan api roket), Nikotin, Arsenik, Butane (minyak lighter), Tar, Naphtalene (ubat gegat), Aceton (penanggal cat), Toluidine (pelarut industri), DDT (ubat pembunuh serangga) dan sebagainya tetapi bilangan perokok masih tetap tidak berkurangan.

Alah, hisap rokok saja, bukannya hisap ganja! Ya, hisap rokok sahaja. Tapi rokok adalah penyebab kepada pelbagai jenis penyaki berbahaya. Firman Allah : Katakanlah, ‘tidaklah sama yang buruk dengan yang baik meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu.’ Jika anda berfikiran sihat, merokok termasuk dalam perkara yang buruk dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Secara umumnya sudah ramai yang mengetahui bahawa asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia yang mana 200 daripadanya adalah beracun dan 63 adalah penyebab kanser (karsinogenik) serta sering dikaitkan dengan 40 jenis penyakit serius seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, Emfisima, TB, Kanser Trakea, Kanser Bibir, Kanser Tekak, Kanser Pankreas, Kanser Hati, Kanser Buah Pinggang, Kanser Zakar, Leukemia, Strok (angin ahmar), Bronkitis, Lelah, Kanser Paru-paru, Kanser Bronkus, Kanser Mulut, Kanser Salur Pemakanan, Kanser Perut, Kanser Pundi Kencing, Kanser Prostat, Kanser Pangkal Rahim, dan sebagainya. Tetapi semuanya tidak mengerunkan remaja kerana mereka bertanggapan penyakit ini hanya akan menyerang orang dewasa dan mereka boleh berhenti merokok pada bila-bila masa.

Merokok juga sebenarnya boleh mendatangkan kesan jangka pendek. Para remaja ingatlah merokok menyebabkan seseorang itu kurang stamina, kerosakan pada gusi serta mulut berbau busuk. Gigi pula kekuningan, berkarat, dan berjelaga. Bibir mudah menjadi biru kehitaman. Ini akan mengurangkan ketampanan atau kejelitaan yang ingin dimiliki malahan penampilan pula kelihatan tidak ‘macho’ seperti yang disangkakan.

Berdasarkan kajian yang dibuat, angka kematian akibat merokok telah meningkat dari tahun ke tahun. Ini disebabkan ketika seseorang merokok dia menghisap dan menyimpan sekitar 80% atau 90% asap dalam badannya. Sisa-sisa pembakaran tembakau akan tersimpan dalam saluran pernafasan. Akibatnya ia boleh merosakkan paru-paru dan juga jantung.

Ketagihan sebenarnya disebabkan oleh kandungan nakotin yang terkandung di dalam sebatang rokok. Malah, ia juga merupakan dadah yang paling kuat yang boleh mempengaruhi otak dan sistem saraf. Nikotin dapat menambahkan kecepatan denyutan jantung dan menyerang pembuluh-pembuluh darah. Yang akhirnya boleh berlaku kematian dengan cepat. Di dalam rongga ‘trakea’ mempunyai satu lapisan penapis yang dikenali sebagai ‘cilia’. Ia merupakan bulu-bulu halus yang berfungsi untuk menghakis segala kotoran yang disebabkan oleh merokok. Maka disebabkan itu terjadilah kahak yang terkumpul di bahagian tekak. Yang menjadi masalah besar di sini ialah kebanyakan perokok menghisap rokok dengan cara berbahaya! Teknik ‘tarik’ yang dikatakan memberi kepuasan itu sebenarnya mengundang bahaya! Akibatnya berjuta-juta belon kecil yang dikenali sebagai ‘alveoli’ akan mulai pecah dan meletup. Dan akibatnya seseorang itu mudah mengalami lelah kerana bekalan oksigen yang dibekalkan oleh ‘alveoli’ ke dalam darah tidak mencukupi.

Dari segi ekonomi pula amalan merokok merupakan suatu kerugian. Remaja yan kebanyakkannya masih di bangku sekolah menggunakan wang saku untuk membeli rokok. Apabila ketagih, tidak peliklah mereka akan mencari wang dengan jalan mencuri atau menipu. Bagi mereka yang sudah bekerja pun, amalan merokok akan menyebabkan pembaziran wang. Bayangkan sekotak rokok harganya paling tidak, tiga atau empat ringgit. Jika sekotak rokok sehari, sebulan berapa? Tanpa disedari anda telah menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk mengumpulkan asap di dalam badan, sekali gus mencipta penyakit dan mempercepatkan kepada kematian. Tidak ada bahaya yang lebih membahayakan kesihatan, dibandingkan dengan bahaya merokok ini.

Lihat contoh terbaik yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Misalnya, Perdana Menteri sendiri iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang telah melancarkan Kempen Anti Rokok. Contohilah beliau, sebagaimana kita sedia maklum, beliau tidak merokok. Begitu juga bila ditanya kepada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, bagaimana beliau dapat menjaga kesihatan dengan baik. Jawabnya ialah dengan tidak merokok. Keperibadian yang baik selalunya tidak mengamalkan merokok dalam hidipnya. Sekarang terpulang kepada anda untuk memilih cara hidup yang sihat.

KENAPA KAMU TAK PATUT MEROKOK:
  1. Merokok tidak menampakkan kedewasaan.
  2. Dengan merokok seseorang tidak mudah mendapat kawan.
  3. Merokok bukanlah satu sumber ilham.
  4. Perokok sebenarnya tidak ‘macho’ dan ‘trendy’.
  5. Merokok tidak mengekalkan kelangsingan badan.

KEBAIKAN TIDAK MEROKOK:
  1. Berketrampilan, segak,matang dan disegani.
  2. Sihat,cergas dan berstamina.
  3. Cemerlang dalam pelajaran.
  4. Ceria dan mempunyai ramai kawan.
  5. Semua ajaran agama melarang penganutnya melakukan perbuatan merosakan diri.
Perokok mengalami kemungkinan 3 kali ganda untuk mati lebih awal berbanding orang orang yang tidak merokok. Pada puratanya perokok kehilangan 22 tahun dari jangka hayat biasa.Setiap batang rokok akan memendekkan umur perokok sebanyak sekurang-kurangnya 5.5 minit. Ini sama dengan tempoh masa perokok menghisap sebatang rokok.

Bagaimana untuk menahan diri agar tidak merokok? Jawapannya ada dalam diri anda sendiri. Keinsafan dan kesedaran itu mestilah bermula dari dalam diri. Kata orang, usaha membendung biarlah dari usia muda. Bila usia makin meningkat, sejuta nasihat tidak berguna lagi. Umpama ‘mencurah air ke daun keladi’. Katakan TAK NAK kepada rokok, kesihatan terpelihara masa depan terjamin.


By: AyuMe (sumber rujukan majalah karangkraf)

No comments:

Post a Comment