Saturday, September 25, 2010

RAMUAN PENCUCI DOSA

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, Hasan al-Basri telah bercerita. Pada suatu hari beliau bersama seorang pemuda yang suka melakukan amal ibadah berjalan-jalan mengelilingi pekan melalui lorong-lorong kecil di Basrah. Tiba-tiba mereka berdua telah bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi. Di depannya ada beberapa orang lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka. Setiap mereka meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat dan penawar bagi penyakit masing-masing.

Lalu Hasan al-Basri maju ke depan tabib tersebut dan bertanya, ‘Tuan tabib, adakah tuan mempunyai ramuan ubat yang boleh mencuci dosa, serta dapat menyembuhkan hati?’

Tabib tersebut menjawab; ‘Ya, saya ada,’

Lalu pemuda yang bersamanya segera berkata; ‘Berilah kepada saya,’

Tabib itu berkata; Ambillah 9 perkara dari saya sebagai ramuan, iaitu;

1. Kamu ambillah akar kayu FAKIR dan akar kayu TAWADDHUK.

2. Campurkan dengan pencuci kotoran perut yang bernama TAUBAT.

3. Masukkan ke dalam lesung REDHA dan giling sehingga halus dengan penggiling QANAAH (berpuas hati dan berpada).

4. Kemudian masukkan ke dalam periuk TAQWA dan tuangkanlah ke dalamnya air MALU.

5. Lalu didihkanlah dengan api MAHABBAH.

6. Setelah mendidih, pindahkan ke dalam mangkuk SYUKUR.

7. Sejukkan dengan kipas angin RAJAK (harapan semata-mata kepada Allah).

8. Kemudian minumlah dengan sudu PUJIAN.

9. Jika engkau melakukan semuanya itu, ia akan memberi manfaat untuk dirimu bagi melindungimu dari segala penyakit serta bala di dunia dan di akhirat.

Tanda-tanda yang menunjukkan taubat seseorang itu diterima ialah;

1. Hatinya akan tenang setelah bersungguh-sungguh memohon keampunan.

2. Mudah menitiskan air mata bila mengadap Allah seorang diri pada malam hari.

3. Tidak pernah berputus asa mengharap rahmat dan keampunan Ilahi.

4. Kenangan dan kesalahan lampau yang mengusik ingatan menjadi sempadan dan pengajaran yang berharga.

5. Sikapnya berubah ke arah yang lebih baik.

6. Sentiasa mengingati Allah dalam semua kerja yng dilakukan.

15 cara untuk beristiqamah dan memelihara iman serta memeliharanya dari ancaman serta cabaran pada zaman moden dan globalisasi mutakhir ini ialah:

1. Sentiasa mesra dengan Al-Quran, menghafal serta merenung maksudnya. Ia merupakan rujukan dan sumber utama bagi umat Islam.

2. Mesti beriltizam dengan segala syariat Allah dan sentiasa melakukan amal soleh dalam apa juga keadaan.

3. Mempelajari dan menghayati kisah para Nabi dan Rasul kerana terlalu banyak pengajaran dan tauladan yang amat bernilai untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

4. Mestilah sentiasa berdoa kepada Allah supaya diperteguhkan keimanan, diampunkan dosa-dosa dan diberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Sesungguhnya doa ialah senjata ampuh bagi orang mukmin dan bertakwa.

5. Sentiasa mengingati Allah (zikir) walau di mana saja berada, sama ada di rumah, di pejabat, dalam perjalanan dan sebagainya.

6. Sentiasa berusaha melalui jalan yang benar dan diredhai Allah SWT. Berani menengakkan kebenaran dan tidak takut serta mahu kepada Allah untuk melanggar perintah-Nya.

7. Bersungguh-sungguh menuntut ilmu dalam segenap bidang setakat termampu, sama ada agama, politik dan sebagainya.

8. Meyakini setiap perbuatan yang baik yang dilakukan dengan penuh semangat dan optimis.

9. Berdakwah menyampaikan perkara yang baik kepada orang lain dengan bijaksana dan kasih sayang.

10. Mendekati orang-orang yang berilmu, para ulama serta orang yang boleh memberi tunjuk ajar. Jalinkan ukhuwwah serta sayang dengan mereka.

11. Yakinlah dengan pertolongan Allah serta yakinlah bahawa hanya Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat kelak.

12. Mengenali hakikat kejahatan, kemaksiatan dan kemungkaran supaya tidak mudah terpedaya dengannya.

13. Mengamalkan akhlak Islamiyyah dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dengan mengamalkan sifat sabar, ikhlas, amanah, jujur dan sebagainya.

14. Selalu meminta khidmat nasihat dan orang yang soleh dan berilmu.

15. Sentiasa mengingati mati, azab neraka dan nikmat syurga yang akan mendorong kita melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

No comments:

Post a Comment