Saturday, January 7, 2012

Dari Sesuatu.. Untuk Sesuatu.. Hargainya..


Jika kamu memancing ikan..
Setelah ikan itu terlekat di mata kail..
Hendaklah kamu mengambil terus ikan itu..
Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja..
Kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu..
Dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang..
Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya..
Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja,.
Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu..
Dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi ia masih hidup.

Jika kamu menadah air biarlah berpada..
Jangan terlalu mengharap pada takungannya..
Dan janganlah menganggap ia begitu teguh..
Cukuplah sekadar keperluanmu..
Apabila sekali ia retak..
Tentu sukar untuk kamu menampalnya semula..
Akhirnya ia dibuang..
Sedangkan jika kamu cuba membaikinya..
Mungkin ia masih boleh digunakan lagi.

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya..
Janganlah kamu terlalu menganguminya..
Dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa..
Anggaplah dia manusia biasa..
Apabila sekali dia melakukan kesilapan..
Bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya..
Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya..
Sedangkan jika kamu memaafkannya..
Boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya.

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi..
Yang kamu pasti baik untuk dirimu..
Mengenyangkan. Berkhasiat..
Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain..
Terlalu ingin mengejar kelazatan..
Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya..
Kamu akan menyesal..

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan..
Yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu
Menyayangimu.. Mengasihanimu..
Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain..
Terlalu mengejar kesempurnaan..
Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain.
Kamu juga akan juga menyesal.

Hargailah apa yang kamu miliki.Tidak semua orang memiliki apa yang kamu miliki. Gunakan 5 kesempatan sebelum tiba 5 perkara. Rasulullah s.a.w. bersabda, " rebutlah 5 perkara sebelum tiba 5 perkara, muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Ana percaya setiap daripada kita memiliki sebahagian dari kesempatan itu.. maka hargailah peluang dan kesempatan yang anda miliki sebaiknya.. Kesempatan itu mungkin hanya datang sekali.. kadangkala apabila kita miliki sesuatu kita tidak menghargainya tapi bila kita kehilangannya baru kita sedari betapa ia berharga.. renung-renungkan.. fikir-fikirkan.. =)

~Ana AyuMe~
7 Januari 2012

Monday, January 2, 2012

Kucing Jadi Singa?


Tidak ada perkara yang mudah dalam hidup ini. Mudah atau susah itu terletak pada persepsi dan penilaian yang berpusat pada minda. Ada pepatah yang berbunyi begini, “What you think? Is you are. Jika kamu berfikir kamu adalah singa. Kamu adalah singa. Jika kamu berfikir kamu adalah kucing. Kamu adalah kucing. Ada orang pernah bertanya kepada ana bolehkan kucing menjadi singa? Ada orang jawab. Kucing-kucing la.. Mana boleh jadi singa. Tapi bagi ana kucing boleh menjadi singa. Persoalannya bagaimana? Caranya ialah apabila kucing itu berfikir atau merasakan dia adalah singa. Maka dia akan bertindak dan bertingkah seperti singa. Sedangkan dia tetap kucing. Agaknya apa kaitan analogi kucing dan singa yang ingin ana sampaikan pada kawan-kawan semua. Ana percaya anda punya jawapan yang tersendiri. Dan setiap jawapan anda pastinya betul mengikut logik rasional akal masing-masing.

Tahun baru yang baru bermula ini sebenarnya ana nak sampaikan tentang kucing yang ingin menjadi singa! Hehe.. bukan.. bukan.. tapi tentang insan lemah yang menjadi hebat. Anda nak jadi hebat tak? Sudah tentu kan.. Setiap kita nak jadi hebatkan. So hari ini, sempena tahun baru ana nak kongsi tips dengan rakan-rakan tentang menjadi insan hebat menggunakan pendekatan psikologi berteraskan elemen islamik. Insya allah sama-sama kita berusaha ke arah itu.

Berbalik kepada cerita kucing dan singa tadi. Kucing itu tangkas dan hebat seperti harimau apabila dia merasakan dia harimau. Begitu juga kita. Apabila kita merasakan diri kita berharga, bernilai, berkemampuan dan mampu berjaya. Kita akan menjadi orang yang berjaya. Pernahkah ada bertanya kepada seorang yang berjaya? Adakah dia yakin dia akan berjaya? Sudah pasti jawapannya ya, bukan. Setidaknya terlafas di bicaranya perkataan insyaallah dia boleh berjaya. Dan kenapa pulaa suatu ketika dahulu negara kita sibuk dengan slogan “Malaysia boleh”, “Kita boleh” dan “Aku Boleh!” atau dalam erti kata lain YAKIN BOLEH!.. Apakah agenda di sebalik slogan ini. Adakah ianya hanya satu retorik kosong yang tiada makna? Ianya bukan suatu retorik kosong tapi satu misi mengubah cara fikir orang kita. Sebab cara fikir itu boleh menentukan tindakan yang diambil dan mencerna strategi bijaksana. Akhirnya, lahirlah produk kereta jenama tempatan. Proton Saga namanya. Ada yang pada ketika itu cakap, “kita mana boleh bina kereta sendiri, sedangkan tin sardin pun kita tak mampu cipta sendiri. Inikan pula kereta. Semua itu tin kosong. Angan-angan kosong.” Sekarang, cuba lihat angan-angan yang kononnya kosong itu menjadi kenyataan. Malah bukan satu jenis kereta tetapi bervariasi jenisnya.

Macam mana mereka mampu melakukannya? Sebab mereka yakin dengan kemampuan diri dan mereka berusaha membuktikanya. Mereka pecahkan tembok tidak percaya kepada yakin jaya. Mereka tidak hadkan kemampuan mereka. Jadi mereka boleh pergi jauh. Meneroka potensi yang ada tanpa rasa takut untuk gagal. Bagi mereka gagal itu bermakna. Mereka belajar perkara yang baru di sebalik kegagalan yang berlaku. Jika mereka tidak pernah mencuba maka tidak ada lah kejayaan yang luar biasa. Berfikirlah di luar kotak konvensional dan tradisional kepada kotak yakin dan cuba. Bermakna ambil langkah untuk berusaha. Mulakan dengan niat yang betul. Letakkan setiap apa yang anda lakukan kerana Allah. Insyaallah, Allah akan mudahkan. Islam mengajar umatnya tentang keyakinan jauh lebih awal dari terciptanya teori Barat tentang, what they call, “BLIVE” or “ POSITIVE THINKING”. Allah lebih awal mengajarnya pada asal keturunan kita yakni Adam dan Hawa tentang konsep ini. Mereka bukan sekadar percaya bahawa Allah itu pencipta kita tapi yakin. Malah syaitan itu juga yakin bahawa Allah itu Maha Kuasa dan menciptakannya. Bukankan konsep itu telah lama wujud sejak penciptaan manusia yang pertama lagi. Cuma istilah itu rancak dikomersialkan apabila apabila tokoh-tokoh Barat mengaitkan ia dengan teori-teori motivasi dan potensi diri.

Islam itu juga terbina atas 5 rukun Islam dan 6 rukun Iman. Bukankah ia berkait rapat dengan keyakinan yang jitu. Jika sekadar percaya ia tidak mampu menghasilkan impak yang jitu dalam tindakan. Islam itu sendiri bermakna tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Iman pula ialah membenarkan dengan hati, mengaku dengan lidah dan melaksanakan dengan perbuatan. Di situ jelas bukan? Ia sangat berkait rapat dengan konsep yakin. Kita yakin Allah itu ada. Kita yakin bahawa Allah itu maha kuasa dan Dia lah yang menciptakan kita. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah dengan indera tapi kita dapat merasakan Allah itu ada melalui bukti yang ada pada alam semesta, malah pada diri kita sendiri. Saintis Barat pernah berusaha mencipta darah berdasarkan pengetahuan mereka berdasarkan gabungan komposisi kimia yang ada padanya. Namun mereka gagal walaupun mereka miliki teknologi tinggi. Sebab yang menciptakan kita itu sesuatu yang terlalu hebat. Yakni ALLAH. Terlalu berkuasa dan tidak sebanding dengan manusia.

Berbalik kepada persoalan yakin. Jika seseorang itu tidak yakin. Allah itu ada. Malaikat itu ada. Hari pembalasan itu ada.. Pastinya dia akan melakukan apa sahaja yang dia suka. Walaupun perkara itu salah. Berbeza dengan orang yang yakin dengan semua itu. Dia tahu Allah itu ada dan sentiasa melihatnya. Dan malaikat itu ada, dan malaikat yang tugasnya mencatatkan amal baik dan buruk perbuatan manusia. Dan dia tahu dan yakin hari pembalasan itu wujud. Dan dia juga tahu syaitan itu musuh utamanya. Anda kira adakah dia berani menjalani hidupnya tanpa berada di landasan yang benar? Anda ada jawapannya. Fikir-fikirkan.

Ada juga yang akan bertanya, ada juga orang yang percaya adanya Allah tapi masih masih berani melakukan maksiat; mencuri, merompak, berzina, membunuh dan sebagainya. Ada juga yang solat tapi masih mendedahkan aurat dan melakukan maksiat yang pastinya perbuatan yang terlarang. Pelik bukan. Islamkah? Anda jangan hairan. Islam pun ada dua jenis. Islam pada nama dan Islam pada perbuatan? Moga kita adalah golongan yang Islam pada perbuatan. Ameen. Indikator solat pula adalah pada kusyuk. Bukan mudah untuk kusyuk. Tapi kita sentiasa perlu berusaha untuk kusyuk. Jika percaya dengan yakin itu berbeza. Solat kusyuk dan tidak kusyuk itu juga berbeza. Berbeza impaknya. Di sini dapat lihat bahawa solat yang kusyuk itu kaya dengan elemen yakin. Solat yang biasa itu pula sekadar bersandar pada elemen percaya. Sebagai contoh. Orang yang yakin Allah itu pastinya juga percaya Allah itu ada. Atas dasar keyakinannya dia akan melakukan perkara yang dituntut Allah dan meninggalkan larangan Allah.. Berbeza dengan orang yang sekadar percaya. Dia hanya percaya Allah itu ada tapi belum tentu dia melakukan apa disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Langkah utama dalam melakar kejayaan di dunia dan di akhirat adalah ubah cara anda berfikir Daripada percaya kepada yakin. Dan letakkan keyakinan itu bukan sekadar kemampuan diri semata-mata tapi kepada keyakinan kepada Allah. Ana kongsikan kisah anak murid imam al-Ghazali untuk difikirkan bersama. Direnung bersama. Ana kurang pastinya namanya. Tapi ana kira kisah ini sangat menarik untuk kita selami hikmahnya bersama. Dia tidak sesempurna orang lain. Sebelah matanya buta. Suatu hari dia ingin menyertai pertandingan memanah. Maka dia menemui gurunya. Lalu diluahkan rasa gelisah di hatinya. “ Tuan guru. Esok ana akan menyertai pertandingan memanah tetapi ana kurang yakin kerana sebelah mata ana buta jika dibandingkan dengan pemanah yang lain. Sudah tentu pemanah yang bermata sempurna sasaran mereka lebih tepat berbanding ana yang serba kekurangan ini. Apa yang seharusnya ana lakukan ya Tuan guru?”. Imam al-Ghazali membalas, “ letakkan tawakal mu kepada Allah bukan tawakal pada matamu.” Imam Al-Ghazali mengajar anak muridnya tentang keyakinan kepada Allah bukan keyakinan yang diletakkan pada mata. Dengan izin Allah anak muridnya itu menang dalam pertandingan tersebut. Kerana dia telah belajar bahawa letakkanlah keyakinan pada Allah bukan pada mata. Matanya sudah tentu buta tapi Allah itu mampu merubahnya. Keyakinan pada mata itu, hanya sekadar keyakinan pertimbangan akal rasional. Sesungguhnya kejayaan itu milik Allah. Dia berhak memberikan kepada seiapa yang dia kehendaki. Berdoalah kepada Allah, nescaya dia akan mendengar dan memakbulkan doamu.

Disebalik keyakinan itu ada keyakinan yang lebih hebat iaitu keyakinan pada pertolongan Allah setelah kita berusaha. Jadi tidak hairanlah semasa perang Badar kaum muslim seramai 313 orang berjaya mengalahkan 1000 orang tentera musyrikin yang berpengalaman dan lengkap bersenjata. Jika dilihat dari aspek rasional akal sudah tentu bilangan tentera yang besar dan lengkap bersenjata bisa menewaskan bilangan tentera yang kecil dan kurang dari aspek persenjataan. Tapi, kerana iman mereka yang teguh. Kerana keyakinan mereka yang teguh. Mereka yakin dengan janji dan bertolongan dari Allah. Akhirnya, kemenangan milik mereka. Daripada kisah tersebut maka tidak mustahil untuk kucing menjadi singa. Tidak mustahil untuk insan lemah menjadi insan yang hebat. Yang penting ubah cara anda berfikir.

Jangan limitkan pemikiran anda. Berusahalah. Berfikirlah secara positif. Bersangka baik lah kepada Allah, sesungguhnya dia juga bersangka baik pada mu. Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, “Aku bersama sangkaan hamba-Ku, sekiranya sangkaannya terhadap-Ku baik, maka baginya kebaikan, maka janganlah bersangka terhadap Allah swt melainkan yang baik.”

Persepsi, pandangan, andaian atau jangkaan itu adalah suatu proses yang mendekatkan kita dengan gol atau matlamat. Apa yang kita fikir itulah kita akan jadi. The POWER of MIND. Keyakinan berlandaskan niat yang ikhlas dan usaha yang jitu akan membuahkan hasil yang bermutu. Mudah bukan? Tapi awas jangan sekadar yakin atau erti kata lain tawakal membuta tanpa usaha. Itu bermakna anda telah bersedia memulakan langkah untuk tewas bukan untuk berjaya. Semoga ia bisa memberi suatu perkongsian yang bermakna yang menghadirkan hikmah. Ana bukan insan yang terbaik tetapi ana berusaha untuk menjadi yang terbaik. Selamat tahun baru. Selamat membuka lembaran baru. Moga catatan tahun ini lebih baik dari tahun lalu. Ya Allah kurniakan lah kami petunjuk di jalanmu agar kami sentiasa dekat dengan Mu. Jangan kau bolak balikkan hati ini setelah kau berikan kami hidayah-Mu. Tetapkanlah keyakinan kami pada-Mu Ya Rabb.. Ameen..

1 Januari 2011 ~ AyuMe~

Tentang Aku


Alhamdulillah, tahun baru menjelang tiba. Ku panjatkan syukur pada pencipta yang masih memberikan ku kesempatan untuk terus bernafas di buminya. Menghirup udaranya sehingga saat ini. Begitu pantas masa berlalu. Ku hitung-hitung hari, hampir 4 bulan ana di Darus Sakeenah. Sebuah kediaman berwajah tarbiyah. Membawa ukhwah menyemai kasih kerana Allah. Memang sakeenah.. Ketenangan di sebalik lembayung hidayah dan hikmah. Sesungguhnya ku bahagia di sini. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Syukur yang tidak dapat ku jelaskan melalui kata-kata.

Terima kasih ya Allah kerana Kau memberikan aku peluang dan kesempatan ini. Peluang menjadi sebahagian daripada penghuni Darus Sakeenah atau singkatannya Ds. Menjadi sebahagian dari mereka untuk menjuang di jalan-Mu. Sesungguhnya kaulah yang mengerakkan hati ini. Mengilhamkan keinginan ini. Yang menggerakkan aku untuk memilih jalan ini. Aku tahu jalan ini berduri dan payah tapi aku tahu di hujung jalan ini aku bisa temui sesuatu yang tidak mampu dibayar dengan jutaan wang yang manusia miliki. Sesungguhnya aku dambakan redha dan rahmatmu di sepanjang perjalanan kehidupan ini sehingga aku kembali menemui-Mu. Di alam hakiki yang pasti. Kau pernah berfirman, “ sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6). Janji itu pasti. Dan aku yakin dengan janji-Nya. Motivasi dari Allah untuk hambanya. =)

1 JANUARI 2012 ~AyuMe~

Tuesday, December 20, 2011

Peta Kehidupan

Kembara Kehidupan


Tersebutlah al kisah seorang pengembara yang pergi mengembara seorang diri ke sebuah hutan belantara. Sedang sang pengembara itu berusaha untuk meneroka seluruh hutan itu, tiba-tiba tersedarlah dia bahawa dia sedang diperhatikan oleh seekor singa. Maka, berlarilah sang pengembara itu sekuat hati hatinya, dengan harapan dapat melarikan diri daripada singa tersebut. Semakin dia berlari, semakin pantas singa itu mengejarnya.

Sang pengembara berlari dan terus berlari, sang singa itu juga tak berputus asa mengejar bakal hidangan tengah harinya. Mengejar dan terus mengejar, berlari dan terus berlari.. Akhirnya sampailah sang pengembara itu ke suatu tempat di dalam hutan. Di situ terdapat sebuah perigi.

Tanpa membuang masa, dia pun masuk ke dalam perigi tersebut. Dia berpaut pada tali yang terikat kemas pada mulut perigi itu, dengan harapan untuk berlindung dari singa yang kelaparan. Namun, sang singa yang gagal menangkap sang pengembara itu, masih tidak berputus asa menunggu mangsanya di luar perigi.

Di sebalik ketenangan yang dicari, sang pengembara terdengar bunyi kocakan air yang kuat dari bahagian bawah perigi. Dia menoleh ke bawah dan alangkah terkejutnya dia. Dua ekor buaya yang kelihatan sangat lapar sedang menunggunya di bawah. Sang pengembara semakin berdebar. Dup! Dup! Dup! Keadaan sang pengembara ketika itu, ibarat terlepas mulut singa, masuk mulut buaya.

Dia terus bertahan pada tali yang terikat kemas pada mulut perigi itu. Tidak lama kemudian, muncullah seekor tikus hitam di mulut perigi. Tikus itu menggigit tali yang dipaut sang pengembara. Tali itu dirasakan tidak selamat lagi. Hati sang pengembara semakin gentar. Tidak cukup dengan itu, muncul pula seekor tikus putih menggantikan tempat tikus hitam tadi. Tikus itu turut menggigit tali itu, bahkan mereka silih berganti.

“Alahai tikus-tikus ni, dah la tali ni je harapan aku, kurang asam betullah,” rintih sang pengembara di dalam hatinya. Hati sang pengembara semakin cemas dengan situasi kritikal yang menimpa dirinya ketika itu. Tiada apa yang mampu dilakukannya, selain berharap tali itu terus kukuh menampung bebannya.

Sedang sang pengembara menghadapi segala kekalutan yang menimpa dirinya, tiba-tiba muncullah sekawan lebah yang menitiskan madu ke dalam mulut sang pengembara. Kerana manisnya madu yang hinggap pada deria rasa sang pengembara, dia lupa akan ancaman-ancaman yang sedang dia hadapi. Dia lupa lupa akan singa garang di luar perigi, lupa akan dua ekor buaya di dalam perigi, lupa akan tali yang menunggu masa untuk putus dek gigitan tikus hitam dan putih tadi. Lupa akan NYAWA nya yang terancam hanya kerana setitis madu yang manis.

Agak-agak apa kesudah cerita ini.. Apa yang terjadi pada pengembara tersebut? Pendapat kamu ada betulnya.. tapi sebenarnya cerita ni tiada ending. Kerana bukan pengakhirannya yang menarik di sini, sebaliknya watak-watak dalam kisah ini. Ianya adalah satu analogi kehidupan manusia.

Sang Pengembara: lambang kepada manusia yang diutuskan ke alam ini. Kita adalah pegembara/ musafir di dunia ini. Dunia hanyalah suatu persinggahan. Tempat untuk kita memungut bekalan ke ‘negeri akhirat’.

Sang Singa: melambangkan ajal dan maut yang sentiasa mengejar kita. Semakin pantas manusia itu berlari di pentas kehidupan ini, semakin pantas ia mengejar kita.

Sang Buaya: Dua buaya yang menunggu sang pengembara di dasar perigi pula merupakan malaikat munkar dan nangkir yang sentiasa menanti kita untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Tikus Hitam dan Putih: Simbol kepada malam dan siang yang silih berganti. Kehadirannya, menjadi penanda aras semakin singkat masa yang masih berbaki buat manusia di dunia ini.

Setitis Madu: Setitis madu yang masuk ke dalam mulut sang pengembara itu adalah nikmat dunia yang sedikit dan tidak bersifat hakiki. Namun setitik nikmat itu mampu mengalpakan sang pengembara (kita) tentang ancaman-ancaman yang sedia menanti di hadapannya.

KESIMPULAN

Kita sebagai manusia tahu bahawa ajal dan maut sentiasa mengejar kita. Pergerakan masa adalah indikator berkurang masa yang kita ada untuk terus beramal. Namun nikmat dunia yang tidak seberapa itu, meragut keinsafan kita untuk terus mengumpul bekalan untuk dibawa ‘ke sana’.

Dan Allah sesekali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Munafiqun: 11).

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan , maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadikan kamu kerana nikmatnya bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (Ali Imran: 103).

By: AyuME

Monday, December 12, 2011

Mak Cik dan Tempe..


Sudah lama jari ini tidak menari di papan kekunci laptop mengisi ruang teratak Citra Ayume. Bukan tiada niat untuk menulis tapi masa itu mencemburi. Alhamdulillah hari ini Allah memberikan ana keluangan masa untuk berkongsi dengan teman-teman. Hari ni ana nak cerita tentang tempe. Siapa suka makan tempe? Angkat kaki.. hehe.. Ini bukan kisah panglipur lara atau dogeng nusantara. Tapi ia sebuah kisah kehidupan seorang mak cik tua di pedalaman Tanah Jawa. Mak cik tua ini sangat kuat beribadat dan taat kepada Allah. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjual di pasar setiap hari. Itu adalah satu-satunya sumber pendapatan mak cik ini untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya setiap hari adalah tempe hasil tangannya sendiri.

Pada suatu pagi seperti biasa dia akan membawa tempe yang dibuatnya untuk di jual di pasar. Semasa dia sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar bahawa tempe yang diperbuatnya daripada kacang soya itu masih belum menjadi. Hanya separuh jadi. Kebiasaannya tempe yang dia buat telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemua tempenya hari itu belum benar-benar masak seperti biasa.

Dia berasa amat sedih kerana didapati tempenya masih belum menjadi. Dia berfikir bahawa kemungkinan tinggi tempenya tidak laku hari itu. Jika tidak laku maka tiadalah rezekinya untuk hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa, Allah dapat melakukan perkara ajaib, bahawa bagi-Nya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah, Aku memohon kepada-Mu Tuhan yang Maha Kuasa agar kacang soya ini akan menjadi tempe. Ameen.”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan olehnya dengan sepenuh hati. Sesungguhnya dia sangat yakin bahawa Allah pasti akan memakbulkan doanya. Dengan tenang mak cik tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempenya dengan hujung jarinya. Dia kemudiannya membuka sedikit demi sedikit bungkusan tempenya. Disangkanya kejaiban telah berlaku. Kacang soyanya telah bertukar menjadi tempe. Namun apa yang diharapkan tidak berlaku. Dia termenung dan berfikir seketika. Apakah ikhtiar lain yang boleh dia lakukan? Kenapa doanya tidak diterima?

Dia tidak berputus asa. Dia berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula, lalu berdoa lagi. “ Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe ini kerana ia satu-satunya mata pencarianku. Aku mohon agar dijadikan kacang soyaku ini kepada tempe. Ameen.”

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun membuka sekali lagi bungkusan tempenya. Dibukanya sedikit demi sedikit. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila didapati tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu, hari pun semakin meninggi. Dia kira sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Disebabkan keyakinan yang sangat tinggi terhadap bantuan Allah, dia bercadang untuk tetap pergi juga ke pasar membawa barang jualannya. Mak cik itu pun berserah pada Allah dan meneruskan hasratnya untuk ke pasar sambil berdoa. Dia berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar ke semua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat tangannya untuk berdoa lagi.. “ Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku, jadikanlah tempe ini. Ameen..” Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya. Dia menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit demi sedikit daun pembungkus dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Hatinya sudah mula marasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dimakbulkan.

Dia merasakan Tuhan tidak adil padanya. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya, cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya. Dia merasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu, hari semakin petang dan pasar sudah mulai sepi. Para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe. Tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa hari itu dia tidak akan mendapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia terkejut dengan teguran seorang wanita. “ Maaf ya, saya ingin bertanya, Mak cik ada tak jual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum jumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah ada seorang pelanggan pun yang mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya, “ Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarkanlah tempe ini seperti asalnya. Ameen..”

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia rasa gembira dan bersyukur pada Allah. Wanita itu memborong habis ke semua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita itu pergi, dia sempat bertanya kepada wanita itu, “ Mengapa hendak membeli tempe yang belum menjadi?”

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum menjadi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan Allah. Allahuakhbar.....

Berdasarkan cerita tersebut ada beberapa mesej yang tersulam indah. Apa yang ana ingin sampaikan dan kongsi dalam cerita ini adalah falsafah atau mesej disebalik cerita tersebut. Betapa Allah Maha bijaksana, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita berdoa. Allah memakbulkan. Dia memakbulkan setiap doa hambanya yang soleh dengan cara yang berbeza. Tidak semua benda yang kita harap, kita dapat sama seperti apa yang kita pohon pada-Nya. Allah lebih tahu apa yang kita perlu dari apa yang kita mahu. Bersangka baiklah dengan Allah. Bila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu, bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu. Bila Dia tidak memakbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman, “Aku bersama sangkaan hamba-Ku, sekiranya sangkaannya terhadap-Ku baik, maka baginya kebaikan, maka janganlah bersangka terhadap Allah swt melainkan yang baik.” Jika kita berdoa kepada Allah, maka hendaklah bersangka baik dengan Allah jika hajat kita tidak dimakbulkan. Mungkin Allah swt mahu memberi yang lebih baik dari apa yang kita minta. Sekiranya kita ditimpa musibah, hendaklah kita yakin bahawa di sebalik musibah yang diterima ada hikmahnya yang tersendiri. Wahai sahabat, bersangka baiklah kepada Allah dalam apa jua keadaan pun.. kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaan-Nya. Muslim itu bila diuji dia bersabar, bila diberi nikmat dia syukur. Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberi tahu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan sekiranya engkau kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih.” (Ibrahim: 7).

Kita ada Allah. Ingatlah Allah dalam apa jua keadaan. Kita diajar di dalam Islam agar sentiasa bergantung kepada Allah, nescaya kita dapati Allah sentiasa bersama kita. Sabda Nabi saw kepada Ibnu ‘Abbas ketika itu dia masih kecil, maksudnya: Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya engkau dapati dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon, pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah daripada Allah (riwayat al-Tirmizi, hadith 2516). Hadith tersebut menjelaskan kepada kita, apabila seseorang itu menjaga agamanya, memelihara tanggungjawabnya sebagaimana diititahkan perintah Allah kepadanya, maka dia akan merasa betapa Allah dekat dan bersama dengannya dalam semua urusan.

Persoalannya kenapa ada orang merasa jauh dengan Allah? Jawapannya kawan-kawan.. kerana merekalah yang menjauhkan diri daripada Allah. Merekalah yang menyusun bata, membina tembok menjauhi diri dari Allah. Sesungguhnya amal kebaikan yang dilakukan anak adam akan mendekatkan mereka kepada Allah namun kemaksiatan yang dilakukan menyebabkan mereka jauh dari Allah. Semoga perkongsian ini bisa memberi makna dan hikmah pada hati-hati insan yang membacanya. Ameen ya rab. Positiflah dalam niat, pemikiran dan tindakan. Bersangka baiklah dengan Allah. Berdoa dan terus berdoa. Insyaallah setakat ini sahaja perkongsian ana dan untuk akan datang, insyaallah ana akan kongsikan tentang mengapa doa kita tidak dimakbulkan.. mengapa dan bagaimana menyelesaikannya. Ya Allah moga aku istiqamah di jalan-Mu. Berikanlah aku kekuatan dan mudahkan lah urusan kami semua. Ameen. Wassalam...

~Ana Ayume: 12/12/11 18.54~

Sunday, August 21, 2011

FAKIRNYA SEORANG GABENOR

Semalam ana menghadiri Ijtimak Ramadhan IKRAM Selangor (ISIS) di Masjid Wilayah Persekutuan. Perhimpunan penuh barakah yang dihadiri oleh para ikhwan dan ikhwah yang berjuang di jalan dakwah. Alhamdulillah banyak perkongsian yang menghadirkan hikmah. Tertarik ana tentang kisah seorang sahabat yang berjawatan gabenor tetapi adalah seorang fakir. Mungkin ada di antara kita yang pernah mendengar kisah ini, namun bagi ana ianya adalah suatu input yang baru. Maka jejari kecil ini pantas berlari di papan kekunci laptop untuk berkongsi dengan anda semua. Bagi ana kisah sahabat ini tidak ada diceritakan di dalam buku teks sejarah sama ada di peringkat PMR, SPM mahupun STPM. Jadi ana kira perkongsian ilmu tentang sahabat ini adalah suatu yang wajar. Kisah teladan yang terhasil dari peribadi murni para sahabat generasi al-Quran diharap bisa meniup roh kesedaran dalam diri insan. Mari kita telusuri bersama kisah sahabat yang bernama Saad bin Amir Al-Jumahi.

Saad bin Amir Al-Jumahi telah dilantik menjadi Gabenor di Hims (daerah berhampiran Madinah) oleh Khalifah Umar Al-Khattab. Saidina Umar telah memanggil Saad dan berkata "Wahai Saad, kami telah melantik engkau sebagai gabenor Hims. Lalu saad membalas, "Wahai Umar, aku memohon agar engkau tidak mendorong diriku condong kepada dunia.". Lalu dengan marahnya Khalifah Umar membalas, "Celakalah engakau! Engkau meletakkan amanah pimpinan dibahuku, lalu engkau membiarkan aku sendirian." Lalu dijawab oleh Saad, " Demi Allah! aku tidak akan membiarkan engkau sendirian."

Selepas beberapa lama Hims ditadbir oleh Saad, pada suatu hari Umar mengutuskan delegasi ke Hims untuk menyenaraikan golongan fakir di sana sebagai penerima zakat. Sekembalinya deligasi tersebut ke Madinah, Umar memeriksa nama golongan fakir dan mendapati terdapat nama Saad bin Amir. Lalu Umar bertanya kepada deligasi tersebut, " Adakah Saad yang dimaksudkan ini merupakan Gabenor Hims." Lalu mereka menjawab, " Ya." Menitis air mata Saidina Umar sehingga membasahi janggutnya. Beliau kemudiannya menyuruh deligasi tersebut menghadiahkan 1000 dinar untuk keperluan Saad. Sememangnya Saad terlalu miskin sehingga jiran-jirannya mengkhabarkan pelita pun tidak ada di rumah beliau. Untuk membeli minyak dan sumbu pelita pun beliau tidak mampu kerana terlalu miskin. Beliau tersenarai sebagai orang miskin kerana setiap kali menerima gajinya dia pasti akan membahagi-bahagikan gajinya kepada orang miskin dan susah.

Apabila wang tersebut sampai kepada Saad, maka berubah air muka beliau. Perkara tersebut diperhatikan oleh isterinya lalu beliau bertanya, "Adakah Khalifah Umar telah wafat?" Jawab Saad, "Bahkan lebih buruk." "Adakah kaum muslimin kalah dalam peperangan?" "Bahkan lebih", jawab Saad. "Jadi, apakah yang terjadi?", isterinya bertanya lagi. "Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku," Jawab Saad bin Amir. Maka isteri beliau menjawab, " maka jauhilah ia." Lalu Saad pun membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin.

Inilah contoh manusia yang benar-benar ehsan. Melakukan sesuatu kerana inginkan keredhaan Allah bukan kerana inginkan penghormatan manusia. Gabenor sepatutnya mempunyai rumah besar dan hidup mewah tetapi beliau memilih untuk hidup sederhana demi redha Allah. Pemimpin yang zuhud ini perlu menjadi contoh ikutan para pemimpin kita. Hak rakyat lebih diutamakan berbanding hak peribadi. Hal ini berbeza pada zaman kita? renung-renungkan. Fikir-fikirkan para sahabat kerana kitalah generasi yang bakal menentukan jatuh bangunnya negara. Kitalah generasi yang akan membangunkan semula pemerintahan khulafa di era modenisasi ini.

Jiwa ini bergetar bila mendengar kisah gabenor yang hidupnya sederhana demi kesenangan orang lain. Ku impikan pemimpin kini mampu dilahirkan zuhud seperti Saad. Zuhud dan adil seperti Saidina Umar al-Khattab dan cucunya Umar Abdul Aziz. Bilakah impian ini bisa menjadi realiti? Antara realiti dan harapan. Ya Allah jika aku tidak mampu melihat era pemerintahan khulafa moden ini ya Allah, izinkanlah zuriat keturunanku nanti bisa melaluinya dan menjadi sebahagian daripadanya. Ya Allah, kurniakanlah aku pemimpin hidup yang cintanya hanya pada-Mu ya rab, agar kami mampu melahirkan generasi sehebat para sahabat ya Allah. Ameen ya rabbal alamin. Padamu ku mendambakan harapan. Pada-Mu berserah. Kibaran bendera kemenangan ISLAM itu pasti tiba. Hanya masa yang bisa menentukannya.

Sahabat yang dikasihi marilah kita sama-sama berusaha mencari redha Allah. Jalan dakwah itu memang berliku. Kau tidak akan dihamparkan permaidani merah tapi duri-duri tajam yang akan dijejakimu. Adakala kau perlu terluka tapi yakinlah bahawa parut di medan juang itu suci dan balasannya adalah syurga Allah yang lebih hakiki. Ramadhan pun sudah berada di fasa ketiga. Fasa pembebasan dari api neraka. Moga kem tarbiyah Ramdhan kita kali ini bisa membuahkan takwa. Insyaallah. Selamat beramal.

~AyuMe, 22 Ramadhan 1423 Hijriah~