Saturday, September 4, 2010

Hadiah Terbaik untuk Diri Sendiri


Setiap daripada kita biasanya tidak dapat lari dari mengalami saat-saat sukar dan getir dalam kehidupan. Ada masa-masa sukar dalam kehidupan sebagai pelajar, berkarier, kesihatan atau kehidupan peribadi yang dilambung badai. Sesungguhnya, boleh dikatakan semua orang berpendapat bahawa detik-detik sukar ini bukanlah keadaan yang diinginkan. Sebahagian daripada kita bahkan berdoa, agar seboleh-sebolehnya dielakkan daripada dihampiri oleh situasi yang menyukarkan. Namun, tidak kurang juga yang cuba melarikan diri sejauh-jauhnya daripada kesukaran dalam hidup ini.

Bagaimanapun, hakikatnya sejauh mana kita cuba lari dan menjauhi daripada kesukaran, ia tetap akan menyentuh kehidupan kita pada waktu-waktu di mana ia harus kita rasai. Hakikat kehidupan seperti ini, memang berlaku pada setiap manusia, tidak kira apapun pangkat, kedudukan dan darjatnya. Jika kita menyedari akan hakikat ini, kita patut mendidik diri untuk ikhlas ketika kesukaran dan kesulitan itu datang berkunjung.

Bersyukur dan masih mampu untuk tersenyum biarpun situasi ketika itu memang sukar. Kesukaran itu tidak membuat kita rasa sakit dan kecewa sudah cukup membuatkan kita bersyukur. Kesedaran tentang hakikat kehidupan bagai menjadi penawar ketika kesukaran bagi menghumban diri kita ke dalam gaung yang amat dalam. Sakitnya sudah pasti terasa, tapi kerana kesukaran itu memang sudah saatnya datang dan kita tidak punya pilihan lain kecuali menempuhya dengan tabah. Walau bagaimana terpaksa sekalipun hanya keikhlasan saja satu-satunya yang mampu mengawal keadaan.

Senyuman tanda menerima kesukaran yang datang memang terasa pahit di bibir. Kesukaran yang bertandang itu memang terasa bagai membakar diri, seperti disemburkan bahang panas ke tubuh kita. Atau, mungkin saja rasa pedihnya bagi seluruh kulit di tubuh kita disiat mentah-mentah! semua kita tahu, walaupun kita mampu untuk terus berdiri gagah di tengah serangan kesukaran itu, tetapi tetap saja ada sisa-sisa ketakutan dan bahkan mungkin trauma -yang membuat kita ingin segera terhindar daripada kesukaran itu.

Luka! walaupun selebar mana atau sekecil manapun luka yang dicalar oleh kesukaran itu, ada makhluk yang amat berguna dan amat diperlukan dalam menempuh pengalaman yang menyakitkan ini-yakni sahabat. Tidak semua sahabat mampu memberi nasihat. Tetapi dengan kesediaannya untuk mendengar, dengan wajah simpatinya, kesediaan untuk menyimpan segala rahsia, sahabat seperti ini sudah cukup layak menjadi permata berlian yang amat berguna.

Sahabat tak akan dapat dinilai melalui taraf, kedudukan atau darjatnya. Apa yang lebih penting adalah keprihatinan terhadap persahabatan yang dijalin Maka sedarkah kita bahawa sahabat adalah hadiah paling berharga yang boleh kita berikan kepada diri sendiri. Terutama di saat kita ditimpa kesukaran yang tinggi menggunung. Kita perlu renungkan seketika, jika kita perlu mengumpul sepenuh perhatian, simpati, dan cinta buat para sahabat. Ini bukan bererti kita menggadaikan kehidupan kerana persahabatan. Dalam erti sebenar berbudi pada yang mengerti.

Dalam dunia persahabatan, apabila memberi kita sebenarnya sudah diberi. Bahkan, setiap sahabat yang memberi perhatian pada sahabatnya, ketika itu juga dia mengalami ‘the joy of giving.’ Ketika itu juga seperti ada beban di bahu yang berkurangan beratnya.

Memang ada orang yang memiliki begitu ramai teman. Ke mana-mana pun pergi ada yang mengenalinya. Cuma, sedikit di antara semua teman yang ramai itu mampu menjadi sahabat. Bercermin dari kenyataan inilah, maka kita harus lebih memusatkan diri untuk mencari dan membina sahabat. Jumlahnya memang tidak akan pernah banyak. Bahkan ia lebih sedikit dari jumlah bilangan jari tangan kita. Walau sedikit manapun jumlahnya, sahabat tetap hadiah terbaik yang boleh diberikan untuk diri sendiri.

Kereta mewah memang boleh membawa kita ke tempat yang jauh dengan penuh bergaya. Rumah mewah memang mampu meningkatkan keselesaan sekali gus meningkatkan taraf hidup. Segulung ijazah juga boleh meningkatkan kepercayaan diri. Akan tetapi, baik kereta mewah, rumah mewah mahupun segulung ijazah tidak mampu menghadirkan perhatian yang menyentuh hati ke dalam diri kita. Lebih-lebih lagi ketika kesukaran datang menghimpit dari segenap arah

Memang… sesungguhnya semua daripada kita mengharapkan ada seseorang yang akan berkata, “ Saya berbangga jadi sahabat anda.” Inilah hadiah terbaik yang boleh kita hadiahkan untuk diri sendiri. Hadiah ini tidak perlu dibalut dengan kertas warna-warni, tidak hanya datang pada waktu-waktu tertentu sahaja. Yang sebenarnya dia sering datang ketika kita amat memerlukannya.

Renunglah sekilas kata-kata indah Confucius : ‘Manusia yang berbuat salah itu biasa, tetapi mengambil pelajaran dari kesalahan adalah luar biasa.’ Hargailah sahabat anda sesungguhnya dia mampu membuat anda bahagia di kala duka.

Sumber: Rodin:Majalah Blues untuk Aku

No comments:

Post a Comment