Saturday, September 4, 2010

Orientasi Sebuah Kehidupan


Johan tahu dia tidak sesempurna orang lain. Dia tahu bahawa kakinya cacat dan tidak dapat berjalan cepat seperti orang lain. Majid selalu mengusiknya di dalam kelas terutamanya apabila waktu pendidikan jasmani. Johan hanya mampu melihat kawan-kawannya bermain bola di padang sekolah. Johan menganggap ejekan dan usikan rakan-rakannya sebagai satu cabaran untuk terus berjaya. Falsafah hidup Johan, “Hendak Seribu Daya Tak Hendak Seribu Dalih”.

Johan belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan kebolehannya. Jauh di sudut hatinya, dia mahu mengubah nasib keluarganya yang serba kekurangan. Dia tidak mahu menghampakan harapan ibu bapanya yang telah banyak berkorban untuk memberi pelajaran kepadanya. Kesempitan hidup membangkitkan lagi semangatnya untuk terus berjaya.

Johan bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. Dia belajar dengan tekun dan gigih untuk mencapai impiannya. Dalam kesibukkan mengulangkaji pelajaran, Johan tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Johan turut membantu ibu dan ayahnya menjaga warung di samping menjaga adik-adiknya


Hari demi hari telah berlalu. Kini tiba hari Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Johan menjawab soalan peperiksaan dengan tenang. Sehari sebelum peperiksaan tiba, dia telah membuat persediaan fizikal, mental dan rohani secukupnya. Johan menatap helaian biru dengan senyuman setelah selesai menjawabnya. Dua minit kemudian pengawas peperiksaan mengutip kertas jawapan. Johan keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh keyakinan. Hari peperiksaan telah berlalu. Kini tiba hari yang dinanti-nantikan, keputusan peperiksaan akan diumumkan.

Rakan-rakan Johan sibuk beratur untuk mendapatkan slip peperiksaan, tetapi Johan hanya berjalan dengan tenang untuk beratur mendapatkan slip peperiksaannya. Kini tiba giliran Johan untuk mendapatkan slip peperiksaan. Cikgu Azran mengucapkan tahniah kepada Johan sebelum menyerahkan slip peperiksaan. Johan menatap slip peperiksaannya dengan seribu senyuman. Ungkapan pertama yang terucap di bibir Johan ialah “terima kasih cikgu”.Johan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, berbeza dengan Majid yang hanya mendapat keputusan atas pagar sahaja. Majid terkejut setelah mendapat tahu berita kejayaan Johan yang di luar jangkaannya. Majid dengan rasa malu mengucapkan tahniah kepada Johan dan meminta maaf akan kesilapannya yang lalu.


Sebulan setelah mendapat mendapat keputusan peperiksaan, Johan banyak mendapat surat tawaran untuk ke universiti. Johan dalam dilema untuk memilih yang mana satu pilihan terbaik untuk dirinya. Kini soal kewangan bukan lagi menjadi masalah kerana dia mendapat tajaan daripada badan swasta. Akhirnya Johan memilih universiti tempatan, walaupun mendapat tawaran dari universiti luar negara. Johan percaya akan kebolehan Malaysia, negara tempat tumpah darahnya.


Johan melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Setelah lima tahun bertukus-lumus menelaah pelajaran, Johan berjaya menjadi pelajar cemerlang dalam Ijazah Sarjana Pendidikan. Kini Johan telah berjaya menjadi seorang pensyarah berkat ketabahan dan kesungguhannya. Johan berjaya mengubah kehidupan keluarganya.

Nukilan: AyuMe

No comments:

Post a Comment